[ Pejuang Pena ]

Tuesday, January 17, 2012

Perkara yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi wasallam.


Dengan dukungan daripada Allah, baginda Sollallahu ‘alaihi wasallam berkemampuan menghukum puak penyembah berhala * Baginda membebaskan akal daripada segala bentuk kesilapan dan khurafat * Lalu menumpukan akal kepada meneliti alam semesta sebagai ganti penyembahan terhadap fenomena semula jadi (at-Tobai-‘iyyun)* Langkah awal yang diambil adalah dengan melalui jalan ilmu dan penyingkapan (kebenaran) * Berjaya mengumpulkan orang Arab yang letih disebabkan perang saudara * Lalu menjadikan mereka raja-raja di serata dunia lepas berlakunya pemisahan dan perpecahan * Baginda menyelesaikan kezaliman dan pemerintahan kejam yang menimpa rakyat jelata * Dan menjadikan peraturan berorentasi sistem syura tatkala wahyu belum turun * Baginda menghapuskan undang-undang pengkastaan dan perbezaan kaum * Dan menjadikan kaedah melebihi orang lain (dalam kebaikan) sebagai khidmat masyarakat dan satu amalan kebaikan * Baginda tidak membiarkan sesuatu harta berada di tangan satu kelompok yang menindas kelompok lain * Kerana pada setiap harta itu ada hak yang mesti diberi kepada orang faqir dan bagi mereka yang memerlukan * Baginda tak pernah memberi kebebasan penuh kepada penguasa wang seperti dilakukan oleh puak kapitalis * Tapi tidak juga sesekali menyekat kehendak pemilikan seperti yang disasarkan puak komunis * Baginda membendung jenayah dengan membanteras punca-punca masalah sosial * Dan menghukum penyalahguna kuasa dengan memberi jaminan tiada perlindungan * Baginda mengajarkan perkara yang berhak untuknya dan ke atasnya daripada urusan agama dan dunia * Dan apabila Allah menjadi penjaga baginya maka baiklah niat serta amalannya * Baginda mengharamkan penipuan, monopoli, judi, dan perniagaan berunsur riba * Lalu menentukan satu peraturan yang selamat daripada riba malah membantu orang papa * Baginda menyelamatkan golongan perempuan dari kezaliman dan menjadikannya penjaga bagi institusi kekeluargaan * Dan mengamanahkanya dengan sepenting-penting pekerjaan iaitu mendidik anak-anak * Dan juga membiar mereka tumpu pada pendidikan yang penting itu * Lelaki pula ditanggungjawabkan dengan hal-hal umum yang lain termasuk memberi nafkah * Baginda mengharamkan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan), tabarruj (melampau dalam perhiasan), dan berkhalwat dengan ajnabi (orang yang harus dikahwini) * Semua ini agar dapat memelihara kemuliaan, nama baik, dan umpatan orang terhadap khabar angin * Islam mencantas pucuk pangkal rasuah, bertawakkal tanpa usaha, dan pilih kasih * Dan melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam rundingan tersebut.


Selawat dan Salam Allah kepada orang yang mengatakan, “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam.”
Selawat dan Salam Allah kepada orang yang mengatakan, “Bukan dari kalangan kami bagi sesiapa yang menyeru kepada perkauman (assabiah), yang memerangi perkauman, dan yang mati dalam memperjuang perkauman.”

Selawat dan Salam Allah kepada orang yang mengatakan, “Tidakku tinggalkan selepas hayatku suatu fitnah yang lebih teruk terhadap lelaki melainkan perempuan, dan lebih teruk terhadap perempuan melainkan lelaki.”

Ya Allah, limpahkanlah Selawat, Salam, serta berkat kepada baginda dan juga ahli keluarganya.

Monday, January 9, 2012

Anwar bebas, tidak bersalah.

anwar-dan-isteri
anwar-melambai-ke-arah-penyokong















KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium, empat tahun lalu.


Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati wujudnya elemen tiada integriti dalam sampel DNA.

Keputusan itu disambut dengan sorakan oleh lebih 6,000 penyokongnya yang membanjiri parkir Kompleks Mahkamah Jalan  Duta di sini.

Keputusan diumumkan sekitar 9.21 pagi.

Terdahulu dengan memakai baju biru dan seluar hitam, Anwar memasuki bilik perbicaraan mahkamah yang penuh sesak diiringi isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak kira-kira jam 8.50 pagi.

Anwar, 64, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Kesesakaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ruang mahkamah dipenuhi anggota keluarga Anwar dan beberapa anggota Parlimen, dan para wartawan tempatan serta asing.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

"Tidak ada bukti yang menyokong keterangan Saiful.

“Oleh kerana ini adalah jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan hanya berdasarkan keterangan Saiful. Tertuduh oleh itu, dibebas dan dilepaskan,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Saiful tidak ada di mahkamah hari ini.
Anwar tersenyum semasa keputusan itu dibacakan dalam mahkamah yang penuh sesak manakala anggota keluarganya kelihatan berpelukan sambil ada yang menitiskan air mata.

Dalam pada itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata, keputusan hari ini adalah berdasarkan merit dan pendakwa tidak harus mengemukakan rayuan.

"Ia satu kemenangan yang baik bagi Anwar," kata beliau yang juga Pengerusi DAP.

Ini adalah kes liwat kedua melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat ini selepas didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun pada Ogos 2000 kerana meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun selepas itu, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusuf Zainal Abiden berkata, mereka belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Kami belum buat keputusan. Kami akan berbincang,” katanya lagi.

Beliau berkata, mereka mempunyai 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
Sumber : Sinar Harian.

Tuesday, January 3, 2012

Tarbiah vs Akademik.


Assalamualaikum.

Setiap manusia pasti melalui proses tarbiah, tidak kira satu jenis tarbiah atau pun banyak, tarbiah yang baik mahupun buruk. Proses itulah yang bakal menentukan hala tuju hidup seseorang, sama ada berjaya atau sebaliknya. Boleh saya ertikan tarbiah itu sebagai suatu pendidikan lahiriah dan batiniah, yang mensasarkan apa-apa tujuan dalam melayari bahtera hidup, sama ada berlandaskan tuhan atau syaitan, ilmu atau nafsu, maknawi atau material, logika atau halusinasi, realiti atau ilusi, hakiki atau fantasi, ukhrawi atau duniawi. Semestinya proses tarbiah yang betul sahaja membawa dan membuka kebahagiaan yang abadi begitu juga tarbiah yang salah akan mengarus dan menjerumus kepada kesengsaraan.

Siapakah pentarbiah? Jika di rumah ibu bapalah, jika di sekolah gurulah, jika di masjid imamlah, jika di universiti pensyarahlah, begitu juga selanjutnya. Ya, kamu juga penyumbang kepada tarbiah; kepada adik-beradik, rakan-rakan, masyarakat dan lain-lain. Akhlak dan kelakuan yang kamu bawa itulah hasil tarbiah. Jika baik akhlak kamu, saya boleh katakan kamu seorang pentarbiah, jika teruk akhlak kamu saya tak teragak menyenarai kamu sebagai penyumbang, bukan itu sahaja malah perosak.

Jika tuhan diangkat sebagai sasaran, insya Allah sehebat mana onak dan duri yang ditempuhi pasti akan kembali ke pangkal jalan. Jika syaitan, maka seindah mana pun hidup yang dirasai, dengan segala macam kemewahan dan keseronokan binasalah jua. Ada pelalu tarbiah solehah tetap juga senang tanpa cabaran, ada juga perlu melangkaui beberapa ujian pahit tapi tetap juga berpatah ke asal tujuan. Namun percayalah bahawa ada pelalu tarbiah tolehah secantik mana lukisan pemandagannya, tetap kembali ke sehina-hina tempat pemergian. Kerana kebahagiaan sebenar bukanlah di dunia fana ini, hanyasanya akhiratlah jua.

Apa guna kamu ada pencapaian akademik yang cemerlang tapi melabur kepada keruntuhan sosial dan akhlak? Pergaulan bebas, zina, rogol, arak, negative social, balaci (budak mentah makan gaji@kuli kelas bawah kaki), lurus bendul, bodoh. Apa guna kamu ada prestasi kerja yang gemilang tapi melabur kepada kehancuran institusi kekeluargaan dan kemelesetan ekonomi? Bunuh, kelab malam, robot suruhan, penindas, pengemis, premis judi. Apa semua ini?! Itulah jadi bila agama tak jadi pegangan, itulah jadi bila ulamak diketepikan malah hiburan (cth : artis) didewakan, itulah jadi bila kehendak nafsu diutamakan, itulah jadi bila tarbiah solehah tak dilaksanakan.

Bila-bila masa sahaja tarbiah boleh dimulakan. Sekarang pun masih tak terlambat, bina dan terus bina, jangan rasa susah mencari dan terus mencari. Jangan syok mengejar dunia, maka perhentian-perhentian yang dilalui itu semuanya tipu belaka, kerana matlamat utamanya ialah dunia. Tapi lekalah mengejar akhirat, maka perhentian-perhentian yang dilalui itu semuanya benar belaka, kerana matlamat utamanya ialah akhirat.




Iklan.


&


Perbincangan dibuka.