[ Pejuang Pena ]

Tuesday, November 1, 2011

Kisah Sahabat 1 - Abu Ayyub al-Ansari.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kaifa halukum jami'an? Semoga Sang Pemikir dan seluruh Sang Pengembara sentiasa dilimpahi kurnia dan nikmat agung dari Sang Pengkuasa hendaknya. Sang Pemikir nak tanya pada semua Pembloin, kenal tak sahabat Rasulullah yang bernama Abu Ayyub al-Ansari? Siapakah gerangan sahabat ini? Tahniah pada siapa yang dah kenal, kalau belum kenal atau nak tambah pengetahuan lagi mari teruskan kembara. Jom!

Betapa mulia catatan sejarah hidup sahabat ini. Terpancar keutamaan di atas rumah Khalid Ibn Sa’id yang dipanggil sebagai Abu Ayyub tatkala unta Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam duduk berhenti di hadapan rumahnya. Hal ini membuat semua orang mengarah pandangan mata kepadanya, bukan saja orang Ansar bahkan seluruh penduduk Madinah. Kehormatan seperti itu amat diharapkan oleh setiap orang Ansar yang dilaluinya.

Mereka berdiri di depan rumah masing-masing selama beberapa saat, menunggu lalunya Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam. Mereka semua ingin mengajak baginda berkunjung ke rumahnya, namun setiap kali Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam lalu di hadapan rumah kaum Ansar, tuan rumahnya berdiri di hadapan unta Nabi sambil memegangi kekangnya (tali) seraya berkata kepada Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam :

"Ya Rasulullah, singgahlah sejenak ke rumah kami."

Rasulullah menolaknya, baginda berkata sambil memberi isyarat kepada untanya :

"Biarkan ia meneruskan perjalanannya, sebenarnya ia telah diperintahkan demikian.”


Tiba Rasulullah di salah sebuah rumah bapa saudara baginda, baginda menjawab dengan ungkapan seperti di atas ketika mereka berusaha menghentikan kekang untanya. Setelah ramai orang melepaskan kendali unta agar boleh melanjutkan perjalanan sendiri, unta tadi berjalan sambil melihat ke kanan dan ke kiri. Akhirnya sampailah ia ke rumah Malik Ibn an-Najjar. Unta tadi berhenti sebentar lalu berdiri dan berjalan lagi beberapa langkah, lantas untuk yang kali kedua, ia berhenti di depan rumah Abu Ayyub al-Ansari, lekuk lehernya menyembah di tanah dan mengeluarkan suara tanpa membuka mulut.

Kaum Ansar tampak iri hati terhadap Abu Ayyub yang membawa tali unta Rasulullah masuk ke rumahnya yang terbina dua tingkat. Abu Ayyub berserta keluarganya tinggal di tingkat atas, sedang Rasulullah di tingkat bawah. Hal demikian adalah kerana khuatir menyusahkan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam berpenat naik-turun tangga.

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam terus tinggal di rumah Abu Ayyub Al-Ansari selama tujuh bulan. Selama itu Abu Ayyub membuatkan makanan Nabi dan menghantar kepada baginda. Beliau selalu menunggu Nabi selesai makan, kemudian beliau dan isterinya memakan sisa makanan baginda kerana mengharapkan berkat.


Suatu petang Abu Ayyub menghantar makanan kepada Nabi. Dalam makanan tersebut ada bawang merah dan bawang putih. Tapi Rasulullah tidak memakannya sedikit pun. Ketika Abu Ayyub melihat makanan tersebut tidak berkurang, beliau segera turun berjumpa Rasulullah seraya berkata :


"Ya Rasulullah, demi ayah dan ibumu, aku tidak melihat bekas tanganmu dari makanan malam yang aku sediakan kepadamu. Padahal jika engkau makan makanan itu, kami akan makan makanan sisamu demi mengharapkan berkat darimu.”


Jawab Nabi : "Aku lihat dalam makanan itu sejenis tumbuh-tumbuhan (bawang merah dan bawang putih), padahal Jibril memberitahu supaya menghindarinya. Adapun bagimu, maka boleh engkau memakannya."


Selanjutnya Abu Ayyub berkata : "Makanan itu lalu kami makan, kemudian kami tidak lagi membuatkan makanan kepada Nabi yang mengandungi bawang merah dan bawang putih."

Setelah agak lama Rasulullah SAW menggunakan waktunya untuk tinggal di rumah Abu Ayyub al-Ansari, baginda memutuskan untuk membangunkan masjid dan membina beberapa rumah bagi para Ummahat al-Muslimin di sekitarnya. Seluruh kaum muslimin ikut bantu bekerja membangunkan masjid tersebut. Setelah selesai, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam pindah ke tempatnya yang baru di sekitar masjid itu.


Pelbagai peristiwa berlalu begitu cepat, sedang kaum Quraisy berusaha terlibat dalam peperangan dengan kaum muslimin. Sekarang kaum muslimin semakin bersedia berjuang menghadapi kaum musyrik dan kafir, sehingga kalimat Allah mencapai kedudukan yang paling tinggi dan kalimat orang kafir menjadi rendah.

Peperangan terjadi silih berganti. Abu Ayyub ikut serta dalam pertempuran tersebut, tidak ketinggalan satu peperangan pun. Beliau tidak pernah tinggal diam dalam berjuang fi sabilillah. Bahkan beliau berjuang bersama Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam sebagaimana jihadnya orang yang mencari mati syahid. Beliau tidak takut mati. Jihadnya penuh semangat untuk berjumpa kepada Allah.

Di samping Abu Ayyub merupakan pahlawan perang di masa Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam, beliau juga seorang pejuang di masa Khulafa-ur-Rasyidin. Beliau ikut dalam perang melawan orang-orang murtad, membunuh para musuh Allah dan musuh agama Islam. Beliau hidup membela kehormatan Islam. Dalam tiap kali peristiwa pertempuran beliau akan sentiasa menuju ke barisan depan.


Ketika muncul fitnah antara Saidina Ali ra. dan Muawiyah Ibn Abi Sufyan, Abu Ayyub tanpa ragu-ragu bergabung dalam barisan Ali kerana beliau tahu bahawa Ali berada di pihak yang benar, pilihan Abu Ayyub berjuang di pihak Ali karramallahu wajhah itu berterusan sehingga Ali ra. mati syahid.


Abu Ayyub kental berjuang, tidak ketinggalan pertempuran bersama kaum muslimin yang lain, hatta tragedi perang Konstantinopel pun. Beliau menerjah barisan musuh hingga badannya penuh luka pedang dan merasakan bahawa ajalnya telah dekat. Beliau berkata kepada orang-orang di sekitarnya :


"Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur, dan di akhirat nanti aku mendengar derap kaki kuda dan gemerincingnya pedang."


Beliau mengharap kehidupan akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Pada saat keadaannya sudah kritikal akibat cedera parah, beliau masih lagi bersemangat mengibarkan bendera Islam dan mengharap agar memperoleh kemenangan.


Setelah beliau meninggal dunia, kaum muslimin menunaikan kehendaknya. Mereka menanam mayatnya berdekatan medan pertempuran agar jiwanya sentiasa dapat menghirup bau jihad dan bersenang-senang di alam akhirat kerana memperoleh pertolongan Allah.

Inilah dia kisah-kisah insan pejuang. Hayya bil jihad ya syababal muslimin!!!

3 comments:

  1. sedar dtg follow.. suka dgn blog ni.. hope kisah sahabt tu dpt dilanjut ke ke sahabt2 seterusnya.. nice :)

    ReplyDelete
  2. Allahuakbar...besar pngorbanan..para shbat.

    ReplyDelete
  3. Insya Allah akan ada lagi entry tentang sahabat@sahabiah akan datang, nantikan.

    Terima kasih banyak-banyak BUJANG SUSAH :)

    ReplyDelete