Ramai orang kurang mengetahui tentang Hari Kiamat (as-Sa‘ah). Hampir setiap orang telah mendengar satu dua perkara mengenainya dan beberapa hal lain tentang kengerian keadaan hari tersebut. Akan tetapi, kebanyakan orang cenderung untuk tidak bereaksi serius terhadapnya sebagaimana sikap mereka terhadap perkara-perkara lain yang tidak kurang pentingnya, iaitu, mereka tidak ingin membicarakannya bahkan ada juga tak mahu memikirkannya. Mereka berusaha dengan sangat keras agar tidak memikirkan kedahsyatan yang akan mereka alami pada Hari Kiamat. Mereka tidak sanggup menahan keprihatinan yang mengingatkan pada Hari Kiamat, yang mana padanya terdapat suatu berita mengenai kecelakaan yang mengerikan atau berita tentang suatu bencana. Mereka menghindarkan diri dari memikirkan fakta bahawa hari itu pasti akan datang. Mereka tidak mahu mendengar orang lain membicarakan tentang hari yang luar biasa itu, atau membaca tulisan-tulisan tentangnya. Mungkin agaknya ini adalah sebahagian cara yang diguna supaya terlepas dari merasai kengerian Hari Kiamat.
Ramai orang bersungguh-sungguh tak mempercaya bahawa Hari Kiamat itu sedang menjelang. Kita diberi tanda-tanda tentang hal ini dalam sepotong ayat di dalam surah al-Kahfi, tentang seorang pemilik kebun anggur yang kaya raya :
Dan aku tidak mengira Hari Kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu. (al-Kahfi ayat 36)
Ayat di atas memberitahu mentaliti seseorang yang mengaku percaya kepada Allah namun menghindari dari memikirkan tentang kenyataan Hari Kiamat dan mengajukan pernyataan yang bertentangan dengan sebahagian ayat al-Quran. Ayat yang lain menceritakan keraguan dan ketidakpastian yang melingkari orang kafir mengenai waktu terjadinya detik terakhir.
Dan apabila dikatakan (kepadamu) : “Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar dan hari kebangkitan itu tidak ada keraguan padanya,” seraya kamu menjawab : “Kami tidak tahu apakah Hari Kiamat itu, kami sekali-kali tidak lain hanyalah menduga-duga saja dan kami sekali-kali tidak meyakininya. (al-Jathiyah ayat 32)
Sebahagian orang menyangkal sepenuhnya bahawa Hari Kiamat sedang menjelang. Mereka yang berpendapat seperti ini disebutkan dalam al-Quran sebagai berikut :
Bahkan mereka mendustai Hari Kiamat. Dan Kami sediakan neraka yang menyala-nyala bagi sesiapa yang mendustai Hari Kiamat. (al-Furqan ayat 11)
Sumber yang dapat membimbing jalan kita dan menunjukkan pada yang hak adalah al-Quran. Tatkala kita lihat apa yang dikatakannya, kita mempelajari fakta-fakta yang jelas. Mereka yang menipu dirinya sendiri mengenai Hari Kiamat, mereka ini melakukan kesalahan yang berat, kerana Allah memberi wahyu di dalam al-Quran bahawa tidak terdapat keraguan bahawa Kiamat itu sudah dekat.
Dan sesungguhnya as-Sa‘ah (Hari Kiamat) itu pastilah datang, tak ada keraguan padanya… (al-Hajj ayat 7)
Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, melainkan benar belaka. Dan sesungguhnya as-Sa‘ah (Hari Kiamat) itu pasti akan datang. (al-Hijr ayat 85)
Sesungguhnya as-Sa‘ah (Hari Kiamat) pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya… (al-Mukmin ayat 59)
Mungkin ada sebahagian orang yang berfikir bahawa pesanan yang disampaikan al-Quran mengenai Hari Kiamat ini diwahyukan lebih dari 1400 tahun yang lalu dan ini adalah sebuah jangka waktu yang panjang dibandingkan dengan panjangnya umur seorang manusia. Namun ini adalah tentang akhir dunia, matahari dan bintang-bintang — pendek kata — alam semesta. Bila kita fikirkan dengan mendalam bahawa alam semesta ini usianya sudah berbilion tahun, empat belas abad adalah sebuah kurun waktu yang sangat singkat.
Seorang ulama besar pada masa kini, Bediuzzaman Said Nursi, merumus masalah ini dengan demikian :
Al-Quran mengatakan, “as-Sa‘ah itu telah dekat.” (al-Qamar ayat 1) iaitu Hari Kiamat belum datang setelah seribu tahun atau bertahun-tahun ini tidaklah mengurangkan kedekatan waktunya. Kerana Hari Kiamat adalah waktu yang ditetapkan atas dunia, dan dalam kaitannya dengan umur dunia ini seribu atau dua ribu tahun adalah bagaikan satu atau dua minit sahaja jika dibandingkan dengan setahun. Waktu Kiamat bukanlah semata-mata detik-detik yang ditetapkan atas umat manusia, setiap perkara perlu dikaitkan dengannya dan dilihat dari pandangan jauh.
*Catatan Sang Pemikir : Karya di atas ditulis oleh Harun Yahya, seorang penulis Turki yang mempunyai lebih 180 judul tulisan. Banyak karya beliau telah diterjemah ke bahasa-bahasa lain, termasuklah Bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia. Saya, Sang Pemikir menyunting bahasa yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu Indonesia kepada Bahasa Melayu Malaysia tanpa menjejaskan makna dan isi yang ingin disampaikan penulis.
No comments:
Post a Comment