Assalamualaikum. Apa khabar semua?
Sang Pemikir mahu mengajak semua Pengembara, dalam kita berlayar menghadap Sang Pengkuasa janganlah kita lalai terhadapNya. Dia tuhan yang maha Kuasa memberi kita panduan seluasnya bagaimana cara hidup di hamparan dunia. Antara caranya, dengan sentiasa berzikir sebagai tanda syukur. Nak belajar Zikir-Zikir yang diajar oleh Nabi kita. Jom!
Sebahagian firman Allah berkenaan Zikir:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Wahai orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) sebutlah (ingatlah) nama Allah dengan sebutan yang sebanyak-banyaknya. (al-Ahzab : 41)
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali Imran : 190-191)
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan Zikrullah. Ketahuilah Dengan Zikrullah itu, tenang tenteramlah hati (manusia). (ar-Ra’d : 28)Sebahagian Hadis Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam berkenaan amalan Zikir, maksudnya :
Bandingan orang yang berzikir mengingati tuhannya dan orang yang tidak berzikir mengingati tuhannya seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Hadis No.: 6407)
Maksud Hadis Qudsi :
Sesiapa yang berzikir mengingati diriKu dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sesiapa yang berzikir mengingatiKu dalam kelompok ramai manusia, Aku mengingatinya dalam kelompok makhluk yang lebih baik daripada mereka. (Sahih Bukhari, Hadis No : 7405, Sahih Muslim, Hadis No.: 2675)
Kelebihan dan saranan mencontohi Zikir Rasulullah :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab : 21)Sesiapa yang melakukan amalan yang tidak ada asalnya daripada ajaranku maka amalannya itu tertolak. (Hadis Riwayat Muslim, Hadis No.: 1718)
Ulasan dan terjemahan Hadith 40, oleh Abdul Hayei Abdul Sukor, jilid 1, hal. 48, DBP :
Antara prinsip yang terpenting dalam agama Islam ini ialah melaksanakan setiap amalan mengikut garis panduan yang ditunjuk oleh Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam dalam melaksanakan amal ibadah, seseorang muslim tidak cukup dengan hanya mengesakan Allah dalam amal ibadahnya, malah di samping itu dia hendaklah melakukan ibadahnya mengikut cara dan kaedah yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.
ZIKIR-ZIKIR SELEPAS SOLAT
Hadis Satu :
Thauban Radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam apabila selesai bersolat, baginda beristighfar tiga kali, kemudian menyebut :
Ya Allah, Engkaulah yang memiliki kesejahteraan, dan daripadaMu asalnya kesejahteraan itu, segala keberkatan adalah milik Engkau ya Allah, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.
al-Walid kemudiannya bertanya kepada al-Auzai, bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan? al-Auzai :
Astaghfirullah (3 kali) - (Maksudnya : aku mohon ampun kepada Allah). (Sahih Muslim, Hadis No.: 591, Hadis Riwayat Ahmad, Hadis No.: 26021 )
Hadis Dua :
Abdullah ibnu az-Zubair Radhiallahu 'anhu berzikir sesudah selesai solat (dan beliau berkata, hal ini dilakukan juga oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam) :
Tiada tuhan melainkan Allah yang Tunggal tiada sekutu baginNya, bagiNyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Tiada daya mahupun tenaga kecuali dengan Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah, dan tiada yang berhak disembah melainkan Allah; tuhan empunya kurnia, empunya keutamaan serta puji yang sebaik-baiknya. Tiada Tuhan melainkan Allah, kami bulatkan pengabdian kepadaNya semata-mata walaupun tidak disukai oleh orang-orang kafir. (Sahih Muslim, Hadis No.: 594)
Hadis Tiga :
Mughirah bin Syu'bah Radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam setiap kali selesai solat berzikir :
Tiada Tuhan melainkan Allah yang Tunggal tiada sekutu bagiNya, bagiNyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu. Ya Allah, tiadalah yang dapat menahan apa-apa yang Engkau berikan, tiadalah pula yang dapat memberikan apa-apa yang Engkau tahan, dan tiadalah bermanfaat kepada orang yang mempunyai kebesaran-kebesarannya itu. (Sahih Bukhari, Hadis No.: 7292)
Hadis Empat :
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, sesiapa yang membaca Zikir berikut sepuluh kali sesudah Solat Maghrib dan Subuh :
Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagiNya, bagiNyalah kerajaan dan puji-pujian, ditanganNya kebaikan, yang menghidupkan dan mematikan serta Dia berkuasa membuat segala sesuatu.
Maka dicatatlah ganjaran untuk setiap kali bacaan sepuluh pahala, dihapuskan sepuluh buah dosa, dinaikkan darjatnya sepuluh tingkat dan di samping itu menjadi pelindung bagi segala bahaya, dan penolak syaitan terkutuk, dan tak satu dosa pun yang akan dapat mencelakakannya kecuali syirik. Maka dia adalah orang yang terbaik amalannya, tidak ada yang melebihinya kecuali orang yang lebih utama iaitu yang mengucapkan yang lebih baik pula. (Hadis Hasan : Musnad ahmad, Hadis No.: 17990, jld. 4, hal. 227)
Hadis Lima :
Muslim bin al-Harith at-Tamimi Radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam mengajarnya membaca Zikir berikut tujuh kali sesudah Solat Subuh, sebelum berbicara dengan sesiapa :
Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka.
Dan tujuh kali sesudah Solat Maghrib :
Ya Allah, aku memohon dimasukkan ke syurga. Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka.
Sesiapa yang membaca Zikir ini kemudian secara kebetulan meninggal dunia pada hari tersebut, nescaya Allah akan melindunginya daripada api neraka. (Musnad Ahmad, Hadis No.: 18054, jld.4, hal. 234)
Hadis Enam :
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda :
Barangsiapa membaca ayat al-Kursi (ayat 255, Surah al-Baqarah) setiap kali selesai Solat, maka tidak ada yang akan menghalangnya masuk syurga kecuali maut. (Hadis Sahih Riwayat an-Nasai'e, Sunan al-Kubra, Hadis No.: 9928, disahihkan oleh al-Suyuthi di dalam al-Jami' al-Shagheir, Hadis No.: 8926)
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
Allah, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbir (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dialah yang maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi maha Besar (kekuasaanNya). (al-Baqarah : 255)Hadis Tujuh :
Dari 'Uqbah bin 'Amir, dia berkata :
Saya diperintah oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam agar membaca surah-surah al-Mu'awwidzat setiap kali selesai solat. (Hadis sahih, Musnad ahmad, Hadis No.: 17417, jld. 4, hal. 155, dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'uth)
*Surah al-Mu'awwidzat adalah surah al-Ikhlas (112), surah al-Falaq (113), dan surah al-Nas (114).
ZIKIR-ZIKIR SELEPAS SOLAT YANG LAIN
Daripada Hadis Riwayat Tirmidzi (Hadis no. 3412), membaca Tasbih (Subhanallah) 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali, & membaca takbir (Allahu Akbar) 34 kali.
Daripada Hadis Riwayat Abu Daud (Hadis No.: 1504), membaca Tasbih (Subhanallah) 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali, takbir (Allahu Akbar) 33 kali, dan diakhiri dengan zikir ini :
Daripada Hadis Riwayat Tirmidzi (Hadis No.: 3413) dan an-Nasai'e (Hadis No.: 1350), membaca Tasbih (Subhanallah) 25 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 25 kali, takbir (Allahu Akbar) 25 kali, dan kemudian membaca zikir di atas 25 kali.
Daripada Hadis Riwayat Muslim (Hadis No.: 1376), membaca Tasbih (Subhanallah) 11 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 11 kali, & membaca Takbir (Allahu Akbar) 11 kali.
Di dalam Hadis riwayat Ibn Majah (Hadis No.: 926), membaca Tasbih (Subhanallah) 10 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 10 kali, & membaca Takbir (Allahu Akbar) 10 kali.
Rasulullah menerangkan bahawa sesiapa yang membaca Zikir di atas (membaca Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), & membaca Takbir (Allahu Akbar)), maka diampunilah kesalahan-kesalahan walaupun sebanyak buih di laut. (Sahih Muslim, Hadis No.: 597)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, beberapa orang miskin menemui Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam dan berkata :
Orang kaya akan mencapai darjat tinggi dan kesenangan yang tetap, dan mereka mengerjakan solat seperti kami dan puasa seperti kami pula. Mereka memiliki harta yang lebih sehingga mampu melaksanakan ibadah Haji dan Umrah; berperang di jalan Allah dan menderma.
Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda :
Mahukah kukatakan sesuatu kepada kalian yang apabila kalian kerjakan, kalian akan mampu mengejar orang yang mengunggulimu? Tidak ada yang akan melampaui kalian dan darjat kalian akan lebih baik dari orang yang hidup bersama kalian kecuali yang mengerjakan hal yang sama. Ucapkanlah Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), dan membaca Takbir (Allahu Akbar), masing-masing 30 kali setiap kali selesai mengerjakan solat.
Perawi hadis ini berkata :
Kami berbeza pendapat mengenai hal ini dan sebahagian dari kami berkata bahawa kami harus mengucapkan Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Allahu Akbar 34 kali. Aku menemui Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam dan Nabi bersabda, "Ucapkanlah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Allahu Akbar 33 kali. (Sahih Bukhari, Hadis No.: 479)
Aku minta ampun kepada Allah (dibaca tiga kali) lantas membaca, "Ya Allah, Engkau pemberi keselamatan, dan dariMu keselamatan, maha Suci Engkau, wahai tuhan yang Pemilik keagungan dan kemuliaan.” (HR. Muslim 1/414.)
Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah yang maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya puji dan bagiNya kerajaan. Dia maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tidak ada yang mencegah apa yang Engkau berikan dan tidak ada yang memberi apa yang Engkau cegah. Tidak berguna kekayaan dan kemuliaan itu bagi pemiliknya (selain iman dan amal solehnya). Hanya dariMu kekayaan dan kemuliaan. (HR. Al-Bukhari 1/255 dan Muslim 1/414.)
Tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, yang maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan pujaan. Dia maha Kuasa atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan kekuatan kecuali (dengan pertolongan) Allah. Tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah. Kami tidak menyembah kecuali kepadaNya. BagiNya nikmat, anugerah dan pujaan yang baik. Tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, dengan memurnikan ibadah kepadaNya, sekalipun orang kafir sama benci. (HR. Muslim 1/415.)
Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Dan Allah maha Besar (33 kali). Tidak ada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah yang maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan pujaan. Dialah yang maha Kuasa atas segala sesuatu. (Sesiapa yang membaca kalimat tersebut setiap selesai solat, akan diampuni kesalahannya, sekalipun seperti busa laut.) (HR. Muslim 1/418.)
Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas setiap selesai solat fardhu. (HR. Abu Dawud 2/86, An-Nasai 3/68. Lihat pula Sahih At-Tirmidzi 2/8. Ketiga surat dinamakan al-mu’awidzat, lihat pula Fathul Baari 9/62)
Membaca ayat Kursi setiap selesai solat fardhu. (Sesiapa membacanya setiap selesai solat, tidak yang menghalangnya masuk syurga selain mati.) (HR. An-Nasai dalam Amalul Yaum wal Lailah No. 100 dan Ibnus Sinni no. 121, dinyatakan sahih oleh al-Albani dalam Sahih Al-Jami’ 5/329 dan Silsilah Hadith Sahih, 2/697 no. 972.)
Tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah yang maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, bagiNya segala pujaan. Dialah yang menghidupkan (orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) dan yang mematikan. Dialah yang maha Kuasa atas segala sesuatu. (Dibaca 10 kali setiap sesudah Solat Maghrib dan Subuh.) (HR. at-Tirmidzi 5/515, Ahmad 4/227. Untuk takhrij hadith tersebut, lihat di Zaadul Ma’aad 1/300.)
Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima. (Dibaca setelah salam Solat Subuh). (HR. Ibnu Majah dan ahli hadith yang lain. Lihat kitab Sahih Ibnu Majah 1/152 dan Majma’uz Zawaaid 10/111.)
PENUTUP
Berdoalah kepada tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. (al-A’raf (7): 55)
Dan sebutlah serta ingatlah akan tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (al-A’raf (7): 55)
ADAB BERZIKIR
1. Berzikir dengan suara yang perlahan, cukup sekadar didengari oleh diri sendiri.
2. Berzikir dengan keadaan merendah diri.
3. Berzikir dengan penuh keikhlasan dan kerana Allah semata-mata.
4. Pastikan kalimah zikir yang di-amalkan adalah dari kalimah zikir yang ditunjukkan melalui saranan oleh al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w., iaitu bukan melalui kalimah-kalimah zikir yang direka cipta oleh golongan tertentu.
5. Berzikir dengan kaedah yang ditunjukkan syariat (al-Qur’an dan as-Sunnah) dan tidak mereka-cipta kaedah yang tiada contohnya daripada dua sumber tersebut seperti sesetengah golongan manusia yang berzikir dengan kaedah menari, bermuzik, dan suara yang lantang yang mana tiada contoh dari mana-mana dalil dan nas.
RUJUKAN
Ringkasan Shahih al-Bukhari, susunan Imam az-Zabidi, Crescent News (KL) Sdn. Bhd. - Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat, Mohd. Yaakub Bin Mohd. Yunus, Perniagaan Jahabersa. - Quran In Word Ver 1.3 Software. - The Hadith Software Version 1.0 (Build 1.25), Islamsoft Solution.
No comments:
Post a Comment