[ Pejuang Pena ]

Showing posts with label Mastika. Show all posts
Showing posts with label Mastika. Show all posts

Sunday, December 11, 2011

Kunjungan terakhir Puteh.


Wartawan : Sahidan Jaafar.

Petang 29 Januari 1998, seorang wanita berbadan gempal dan berambut keriting bertanyakan sesuatu kepada seorang posmen berhampiran sebuah masjid di Kemaman, Terengganu.

Wanita keturunan Belanda itu bercakap gaya Indonesia sedang mencari rumah seorang wanita bernama Kamariah Mohd. Dahan. Wanita Belanda itu juga membawa sekeping gambar fotostat wanita bernama Kamariah yang juga adik-beradik angkatnya.

Posmen merenung wajah wanita Belanda itu sambil mengangguk-angguk. Wanita itu tidak mengikut sama tetapi menunggu di pekarangan masjid. Dia menyuruh suaminya, lelaki keturunan Indonesia dan dua wartawan Belanda mengikut posmen itu mencari rumah tersebut.

Akhirnya, setelah berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer, sampailah ke rumah wanita bernama Kamariah yang dicari-cari. Wanita bernama Kamariah itu terkejut besar apabila melihat ada orang putih datang ke rumah mencarinya.

Kamariah tidak mengenali tiga tetamunya itu. Tetapi setelah diberitahu bahawa seorang wanita yang juga adik-beradik angkat hendak berjumpa, barulah Kamariah tergamam. Siapa? Puteh!

Wajah Kamariah terus bersinar apabila mendapat tahu Puteh baru tiba di Kemaman.

"Cepat ambil Puteh di masjid!" arah Kamariah kepada anknya, Rohaini Yusof. Tidak lama kemudian, tibalah wanita Belanda yang dipanggil Puteh itu di rumah Kamariah.

Masing-masing berpelukan sambil bertangis-tangisan. Kamariah tidak menyangka, Puteh sanggup datang mencari keluarga angkatnya setelah 46 tahun berpisah. Puteh turut memperkenalkan suaminya, Ben Pichel dan dua wartawan dari Belanda.

Selepas itu, Puteh memeluk suami Kamariah, Haji Yusof Ngah dan anak-anak yang ada malam itu termasuk Rukayah Yusof.

Wanita Belanda itu masih ingat pada Rukayah. Sewaktu tinggal di kampung Banggol, Kemaman, Puteh selalu ditinggalkan ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad yang pergi berniaga kain batik serta barang-barang kemas di Singapura dan Indonesia.

Puteh bersama Rukayah
Ketika itu, Rukayah baru berusia empat tahun, manakala Puteh berusia 10 tahun. Hubungan Rukayah dan Puteh amat mesra. Rukayah sering bermain-main dengan Puteh di rumah ibunya. Kadang-kadang Puteh mendukung Naemah, adik Rukayah yang baru berusia setahun yang dipanggil Opie.

Setiap kali Che Aminah belayar ke Singapura dan Indonesia berjual barang-barang kemas dan batik, tinggallah Puteh bermain-main dengan Rukayah di rumah kakak angkatnya, Kamariah yang berketurunan Jepun. Kamariah, yang dibawa balik ke Kemaman sewaktu Che Aminah mengikut suaminya yang bertugas sebagai guru bahasa di Jepun.

Dulu sewaktu tinggal di Kemaman, Puteh pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Chukai di Kemaman sekitar tahun 1945 hingga 1949. Walaupun lama tidak bertemu, Rukayah dapati Puteh banyak berubah. Puteh boleh bercakap Bahasa Melayu slang Indonesia.

Malam itu, malam Hari Raya Aidilfitri. Kedatangan Puteh memeriahkan lagi persiapan menyambut hari lebaran yang akan disambut esoknya. Pada malam berkenaan, bermacam-macam kisah suka duka diimbau kembali, Puteh rancak bercerita dengan Kamariah dan Rukayah.

Puteh memberitahu dia amat berbahagia sewaktu tinggal di Kemaman ketika masih kanak-kanak, bermain-main dengan Rukayah, bersekolah Melayu di Chukai dan mengikut Che Aminah berniaga. Waktu tinggal di Kemaman, Puteh sempat khatam al-Quran ketika belajar dengan seorang ustazah. Puteh juga ingat dia tidak pernah tinggal puasa, sembahyang lima waktu dan mengaji al-Quran.

Jika takdir memisahkan dirinya dengan Che Aminah dan suaminya, Puteh mahu terus hidup dan mati di Kemaman. Tapi... segala-galanya sudah berakhir dan mejadi sejarah belaka.

Puteh juga merasa sebak apabila tahu arwah ibu angkatnya, Che Aminah merana terkenangkannya sehingga ke akhir hayat. Che Aminah juga selepas kehilangan Puteh tidak sanggup lagi mendengar orang bercerita dan menyebut-nyebut nama puteh. Setiap kali nama Puteh disebut, hati Che Aminah bagai dirobek-robek sembilu.

Pada malam raya itu selepas episod demi episod diimbau diiringi deraian air mata dan kadang-kadang gelak ketawa, Puteh menyatakan hajatnya untuk melawat kubur ibu angkatnya, Che Aminah, esok pagi.

Sebelum balik ke hotel Muni yang terletak tidak jauh dari Kampung Mak Chili Paya, Puteh dihadiahkan sehelai baju kurung oleh Dahlia, adik Rukayah.

Baju kurung berwarna merah keemasan, berbunga-bunga itu untuk dipakai di pagi raya.

Awal pagi raya, Puteh sudah tiba di rumah Kamariah, berbaju kurung dan berselendang di kepala. Puteh dijamu sarapan pagi dengan juadah hari raya seperti nasi minyak yang pernah dinikmatinya 46 tahun lalu.

Puteh tetap seperti dulu, tahan makan pedas, masih menggemari ketupat, rendang ayam, nasi dagang, kerabu, lemang, dodol, kuih baulu, bangkit dan soto.

Puteh bersama Che Aminah
Pagi hari raya pertama itu, puteh dibawa menziarahi kubur ibu angkatnya, Che Aminah di Kampung Jabor Kubur yang terletak kira-kira sekilometer dari Kampung Mak Chili Paya.

Ayah Rukayah, Haji Yusof Ngah membacakan doa. Semasa di kubur, Puteh tunduk. Dia memegang batu nisan arwah ibu angkatnya, kemudian mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Agak lama, Puteh bertafakur di pusara ibu angkatnya.

Setelah beberapa ketika barulah Puteh bangun sebelum menjirus air di pusara arwah. Beberapa kali Puteh mengesart air matanya. Ketika itu beberapa pengunjung yang mendapat tahu kedatanganya, memanggil-manggil namanya.

Suara mereka begitu kuat memanggil-manggil nama Islamnya. Tapi, Puteh meras takut. Puteh takut ada pihak media yang datang dan orang menyalahkan dirinya sehingga tercetus tragedi ketika dia dilarikan dari gereja di Singapura dan diterbangkan ke Belanda.

Puteh juga takut ada orang yang tidak dapat menerima hakikat yang telah berlaku pada dirinya kira-kira 46 tahun lalu. Puteh bimbang kejadian lampau dimainkan pihak media berulang kali sehinggakan ada nyawa manusia yang  tidak berdosa maut kerana mempertahankan akidah dan agama Islam yang dianutinya.

Puteh juga menolak pelawaan Rukayah untuk berhari raya di rumah sahabat baiknya, Hajah Rahmah ketika bersama-sama belajar di Sekolah Kebangsaan Chukai. Haji Rahmah antara rakan sekelas Puteh, masih sihat dan bergelar senator.

Puteh bukan tidak mahu berjumpa Rahmah tetapi dia bimbang kedatangannya ke Kemaman disalah tafsir. Puteh tidak mahu tragedi silam berulang lagi.

Malam raya kedua di Kemaman, Puteh menginap di rumah Rukayah pula. Malam itu kakak angkatnya, Kamariah turut datang bermalam di rumah Rukayah. Ketika itu Kamariah juga tidak berapa sihat. Usianya sudah menjangkau 70-an dan sering sakit-sakit.

Puteh bersama Kamariah
Sewaktu terbaring di kerusi, Puteh duduk di sisi Kamariah sambil memicit-micit badan orang tua itu. Seronok betul Kamariah, apabila tangan Puteh yang tebal dan besar itu mengelus-ngelus badan tuanya.

Ketika itulah Puteh dan Kamariah terkenang kembali bagaimana bahagiannya ketika mereka berdua di alam kanak-kanak dulu, bermain-main dan bergurau sebelum berpisah.

Kini dalam usia tua mereka berdua dipertemukan tuhan semula dalam suasana yang amat berbeza. Tapi, Puteh tetap tidak menyalahkan tuhan. Tuhan itu tetap adil terhadap hamba-hambaNya.

Nota : Wanita bernama Puteh dalam cerita di atas ialah Natrah Maarof yang terkenal dengan nama Natrah. Kedatangan Natrah ke Kemaman bertemu semula dengan kakak angkat dan orang yang pernah membahagiakan hidupnya pada zaman kanak-kanak 11 tahun lalu, adalah kali terakhir.

Selepas itu kesihatan Natrah makin merosot. Badannya semakin gemuk dan menghidap pelbagai penyakit termasuk leukimia yang turut meragut nyawanya.

Segala-galanya kini hanya tinggal sejarah belaka. Natrah kini sudah tiada bersama sejarah pilu yang dilaluinya 59 tahun dulu. Begitu juga dengan ibu angkatnya, Che Aminah, Mansor Adabi, Kamariah dan lain-lain.

Puteh bersama suaminya, Mansor Adabi selepas diijabkabulkan
Tragedi menimpa Natrah apabila ayah kandungnya, Adrimas Petrus Hertogh seorang askar Belanda berpangkat sarjan yang baru bebas dari tahanan Jepun mencari semula anaknya itu yang diserahkan oleh isteri dan ibunya kepada seorang penjual kain batik dan barang-barang kemas berasal dari Kemaman, Terengganu.

Kemuncaknya, sarjan Belanda itu berjaya merampas Natrah dari jagaan Che Aminah menerusi tindakan mahkamah dan perundangan di Singapura. Peristiwa tragis itu mencetuskan rusuhan dahsyat sehingga mengorbankan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.

Natrah yang khatam al-Quran, tidak tinggal sembahyang dan berkahwin dengan Mansor Adabi ketika berusia 13 tahun menjadi pertikaian dalam konflik itu, berjaya dimurtadkan dan dipaksa menganut kembali agama keluarganya, Kristian mazhab Katolik. Natrah juga terpaksa memakai semula nama asalnya Bersha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh.

Ketika berada di rumahnya di Bergen Op Zoom di Belanda, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Natrah pernah bertanya tentang di mana masjid di Bergen Op Zoom, arah kiblat, meminta sejadah dan tidak lupa sembahyang lima waktu. Ingatannya kepada suaminya, Mansor Adabi dan ibu angkatnya, Che Aminah tidak pernah padam. Sejak itulah, kehidupan Natrah terseksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.

Thursday, November 10, 2011

Orang Melayu patut malu pada Boon Ka Kong.


Wartawan : Sahidan Jaafar.

Bertempat di Restoran Lima Bintang di Pandan Indah, Kuala Lumpur, seorang Lelaki berambut uban memutih di kepalanya sedang menikmati pagi harinya dengan secawan teh tarik sambil membelek-belek naskhah lama Utusan Melayu Mingguan, bertarikh 22 Mei 2006.

Nama lelaki itu bukan Ali, Ahmad, Abu atau Kasim tetapi Boon Ka Kong. Boon yang berketurunan Tionghua itu cuba membaca tajuk sebuah rencana hiburan dalam akhbar tersebut.

“Senyuman Siti penuh makna! Betulkah sebutan saya?” Tanya Boon.

Betul!

Lelaki yang berasal dari Jerantut, Pahang itu membaca lagi : “Siti Nurhaliza sentiasa memberi senyuman ketika bergambar, namun gelora di dalam hatinya hanya dia sahaja yang tahu…”

Boon menyambung bacaannya : “Bukan mudah menjadi artis popular tanah air tambah pula kalau artis itu sedang bercinta. Sejak kebelakangan ini kisah percintaan penyanyi Siti Nurhaliza terus mencuri perhatian ramai. Walaupun penyanyi tersohor itu mengakui, hatinya sudah dimiliki dan bersedia mendirikan rumah tangga namun Siti tetap menjadi buruan untuk mendapatkan cerita perkembangan terbaru tentang dirinya…”

Kali ini wajahnya berseri-seri. Tidak ada keraguan lagi, memang lelaki Cina ini mahir membaca Jawi.

Artikel bertulisan Jawi yang memuatkan kisah penyanyi nombor satu negara yang dilamun cinta dengan Datuk K pada 2006 itu penuh dengan tanda highlighter berwarna hijau.

“Kalau saudara nak tahu, inilah artikel Jawi pertama yang saya baca!” beritahu Boon.

Ketika awal-awal belajar, bacaan Boon masih merangkak-rangkak dan dia terpaksa menandakan bahagian-bahagian tertentu dalam artikel tentang kisah Siti Nurhaliza yang tidak difahaminya.

Sekiranya Boon masih lagi sukar memahaminya dia akan merujuk Daftar, Ejaan Rumi-Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sentiasa dibawanya ke mana-mana dalam sebuah beg. Beg khas itu penuh dengan bahan-bahan bertulisan Jawi seperti akhbar, kamus, dan buku latihan Jawi peringkat tadika.

“Mula-mula memang pening, macam mana nak sambung huruf jadikan ayat. Adoi!” kata Boon lagi.

Beberapa artikel bertulisan Jawi turt dibaca antaranya, Melayu lupa warisan sendiri – Rais dan Tiga sebab hidupkan Utusan Melayu – Hishammuddin.

Setelah berpuas hati mendengar sebutan bacaanya tadi, kesimpulannya Boon memang fasih membaca Jawi, layak diberi lima bintang!

Selepas menunjukkan kehebatannya membaca Utusan Melayu, kali ini Boon cuba menunjukkan kemahirannya menulis Jawi Pula. Bolehkah Boon?

Lelaki berusia 60 tahun itu pun mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen tulisan khat daripada begnya. Pena khat di tangan Boon menari-nari. Ayat demi ayat Jawi terbentuk dengan cantik, berbunyi  : “Laut bergelora telah diterokai, pantai sudah di depan mata.”

Boon kemudian menjelaskan bahawa ayat yang ditulisnnya itu melambangkan perjuangannya selama ini untuk belajar Jawi.

Dalam tempoh lima tahun Boon mengalami bermacam-macam kesusahan sebelum berjaya membaca dan menulis Jawi seperti yang dikecapinya sekarang.

Cerita lelaki Cina itu lagi, dia terpaksa mengalami pelbagai seksaan kerana belajar sendiri tanpa sebarang tunjuk ajar sesiapa. Malah Boon tidak malu mengaku dia terpaksa membeli buku Jawi kanak-kanak tadika semasa mula-mula berlatih belajar Jawi.

Boon pernah berputus asa. Hampir sepuluh kali dia berhenti belajar membaca Jawi kerana merasa tiada 
harapan untuk menguasainya. Tetapi minatnya kembali berputik selepas membeli sebuah buku belajar Jawi dari DBP.

Apakah formula yang Boon gunakan hingga boleh membaca dan menulis Jawi?

“Formula PDS,” jawab Boon.

Apa itu PDS, saudara Boon?

Hah, hah, hah! Lelaki Cina itu ketawa besar.

“Paksa diri! Dera diri! Seksa diri!” jawab Boon.

Boon pun menulis lagi, kali ini ditujukan khas kepada Mastika : “Khas untuk Mastika – Selagi cubaan tidak dibuat dan selagi cabaran tidak dihadapi maka hilanglah semua kenangan, gagallah segala impian.”

Selepas berbual-bual di restoran berkenaan, Boon mengajak ke teksinya untuk menunjukkan dalam teksinya juga terdapat ayat-ayat yang ditulis dalam tulisan Jawi.

“Kadang-kadang ada orang Cina sendiri tak percaya saya bangsa Cina bila tengok ada tulisan Jawi dalam teksi. Mereka Tanya saya, awak Islam ke? Saya kata tidak.”

“Mereka tanya belajar Jawi nak masuk Islam ke? Saya kata tidak. Saya belajar sebab saya jatuh cinta dengan Jawi. Bila orang tahu saya pandai Jawi, mereka panggil saya Jawi Boon,” ceritanya lagi.

Semasa berada dalam teksinya sekali lagi Boon mengambil kertas kecil yang tersedia untuk latihannya menulis Jawi. Boon menulis ayat yang berbunyi : “Akar nibung meresap, akar mati dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu. – Jawi Boon, 17.11.2008”

Ayat ini menurut Boon menggambarkan perasaannya selepas akhbar Jawi ditutup pada 29 Januari 2006 setelah tiada lagi pembacanya. Boon sendiri begitu kecewa dan menghubungi Utusan untuk bertanyakan mengapa akhbar Jawi itu ditutup. Akhirnya Boon mendapat jawapan bahawa akhbar itu akan ditebitkan semula di bawah dana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Boon menunjukkan naskhah Utusan Melayu bertarikh 1 Mei 2006 sambil membaca tajuk besarnya : “ Melayu lupa warisan sendiri – Rais.”

Dia kemudian membaca ayat seterusnya : “Penutupan itu jelas menunjukkan orang Melayu tidak mempedulikan sedangkan hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri. Kerana tulisan Jawi telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama 600 tahun. Ada masyarakat Melayu berpeluk tubuh melihat tulisan Jawi dari pentas budaya orang Melayu sendiri…”

“Jika Jawi hilang di dunia, rugilah bangsa Melayu,” kata Boon. Boon sendiri sayangkan tulisan Cina yang menjadi lambang jati diri bangsanya. Dia juga sayangkan tulisan Jawi kerana pada surat beranaknya masih tertera tulisan Jawi.

Pada pandangan Boon, inilah satu-satunya tulisan yang paling unik dan berseni di dunia kerana kebanyakan tulisan di dunia bermula dari kiri ke kanan tetapi tulisan Jawi dari kanan ke kiri.

“Saya sendiri banyak dapat manfaatnya. Saya dapat aktifkan otak saya yang letih selepas memandu. Otak yang tidak aktif akan kecut dan lemah. Belajar Jawi dapat elak saya jadi nyanyuk dan pelupa!” beritahu Boon sambil tersenyum.

Ehem, ehem! Ada sesiapa yang rasa malu pada Boon Ka Kong?