[ Pejuang Pena ]

Showing posts with label Diskusi. Show all posts
Showing posts with label Diskusi. Show all posts

Tuesday, January 3, 2012

Tarbiah vs Akademik.


Assalamualaikum.

Setiap manusia pasti melalui proses tarbiah, tidak kira satu jenis tarbiah atau pun banyak, tarbiah yang baik mahupun buruk. Proses itulah yang bakal menentukan hala tuju hidup seseorang, sama ada berjaya atau sebaliknya. Boleh saya ertikan tarbiah itu sebagai suatu pendidikan lahiriah dan batiniah, yang mensasarkan apa-apa tujuan dalam melayari bahtera hidup, sama ada berlandaskan tuhan atau syaitan, ilmu atau nafsu, maknawi atau material, logika atau halusinasi, realiti atau ilusi, hakiki atau fantasi, ukhrawi atau duniawi. Semestinya proses tarbiah yang betul sahaja membawa dan membuka kebahagiaan yang abadi begitu juga tarbiah yang salah akan mengarus dan menjerumus kepada kesengsaraan.

Siapakah pentarbiah? Jika di rumah ibu bapalah, jika di sekolah gurulah, jika di masjid imamlah, jika di universiti pensyarahlah, begitu juga selanjutnya. Ya, kamu juga penyumbang kepada tarbiah; kepada adik-beradik, rakan-rakan, masyarakat dan lain-lain. Akhlak dan kelakuan yang kamu bawa itulah hasil tarbiah. Jika baik akhlak kamu, saya boleh katakan kamu seorang pentarbiah, jika teruk akhlak kamu saya tak teragak menyenarai kamu sebagai penyumbang, bukan itu sahaja malah perosak.

Jika tuhan diangkat sebagai sasaran, insya Allah sehebat mana onak dan duri yang ditempuhi pasti akan kembali ke pangkal jalan. Jika syaitan, maka seindah mana pun hidup yang dirasai, dengan segala macam kemewahan dan keseronokan binasalah jua. Ada pelalu tarbiah solehah tetap juga senang tanpa cabaran, ada juga perlu melangkaui beberapa ujian pahit tapi tetap juga berpatah ke asal tujuan. Namun percayalah bahawa ada pelalu tarbiah tolehah secantik mana lukisan pemandagannya, tetap kembali ke sehina-hina tempat pemergian. Kerana kebahagiaan sebenar bukanlah di dunia fana ini, hanyasanya akhiratlah jua.

Apa guna kamu ada pencapaian akademik yang cemerlang tapi melabur kepada keruntuhan sosial dan akhlak? Pergaulan bebas, zina, rogol, arak, negative social, balaci (budak mentah makan gaji@kuli kelas bawah kaki), lurus bendul, bodoh. Apa guna kamu ada prestasi kerja yang gemilang tapi melabur kepada kehancuran institusi kekeluargaan dan kemelesetan ekonomi? Bunuh, kelab malam, robot suruhan, penindas, pengemis, premis judi. Apa semua ini?! Itulah jadi bila agama tak jadi pegangan, itulah jadi bila ulamak diketepikan malah hiburan (cth : artis) didewakan, itulah jadi bila kehendak nafsu diutamakan, itulah jadi bila tarbiah solehah tak dilaksanakan.

Bila-bila masa sahaja tarbiah boleh dimulakan. Sekarang pun masih tak terlambat, bina dan terus bina, jangan rasa susah mencari dan terus mencari. Jangan syok mengejar dunia, maka perhentian-perhentian yang dilalui itu semuanya tipu belaka, kerana matlamat utamanya ialah dunia. Tapi lekalah mengejar akhirat, maka perhentian-perhentian yang dilalui itu semuanya benar belaka, kerana matlamat utamanya ialah akhirat.




Iklan.


&


Perbincangan dibuka.

Tuesday, December 20, 2011

Kahwin vs Ilmu.


Salam semua pembaca blog ini (Pembloin). Apa khabar belia harapan bangsa? Sudah sedia memimpin negara? Sudah siap mendidik keluarga? Sudah cukup ilmu di dada? Ya, Sang Pemikir juga sedang menuju arah yang sama, untuk membangkitkan semangat beragama, membangunkan generasi tak tertipu dengan dunia, serta menyusun rencana ummah berjaya.

Muqaddimah di atas sangat berkait rapat dengan entry kali ini. Ya, sangat rapat. Bermula dari kelahiran kita, membesar dengan jagaan penuh kasih sayang, lalu perpindah ke alam persekolahan; tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej atau universiti lalu berpindah pula ke alam pekerjaan. Berhenti seketika. Ya, bukan semua orang melalui jalan yang sama, bermacam-macam onak liku dan pelbagai aneka warna serta corak yang diterokai setiap orang. Lain orang lain ragamnya.

Kahwin? Ya, semua Sang Pengembara bercita-cita demikian namun Sang Pemikir yakin bukan semua orang ditentukan takdir itu. Ada orang membujang hingga ke tua, ramai juga anak dara tua belum berumahtangga, menunggu putera raja barangkali, atau hero Hindustan mahupun Korea datang merisik baru hati mahu berputik.

Semestinya semua orang bakal hadapi detik perkahwinan suatu hari nanti, detik yang didebarkan kedatangannya. Apa pun, tepuk dada tanyalah usaha. Baikkah kita? Dari kecil hingga dewasa adakah layak dipertemukan  dengan bidadari dunia jika diri dididik dengan nafsu dan dosa?

Jadi, apa kaitan agama, generasi, ummah, ilmu dengan kahwin?

Jawapan Sang Pemikir secara umum, perkahwinan memerlukan ilmu yang kukuh bagi menghasilkan kebahagian menyeluruh dari semua aspek kehidupan untuk membina generasi akan datang yang cemerlang lantas melahirkan ummah yang hebat terbilang dengan agama sebagai tunjang pemikiran.

Persoalan timbul, mengapa dimulakan dengan ilmu? Bagaimana orang yang sudah terlajak dalam sosial hubungan? Kemungkinan terjatuh ke kancah zina dan buang anak. Perlu penuh ilmu dahulukah baru boleh kahwin? Ini menyusahkan anak muda.

Sang Pemikir akur golongan yang sudah terjebak dalam masalah sosial lebih baik kita selesaikan dengan cara yang paling mujarab iaitu kahwin. Daripada dia berzina dan tak bertanggungjawab terhadap kandungan lebih baik dilangsungkan akad nikah bagi menyelamatkan insan-insan tersebut.

Ilmu perlu ditimba sejak awal lagi, ibu bapa dan guru-guru memainkan peranan penting bagi membentuk shaksiah anak-anak Melayu kita. Dan pencarian ilmu ini mesti berterusan walau selepas berumahtangga. Apa punca terjebak ke kancah sosial kalau bukan kekurangan ilmu? Apa punca zina dan buang anak kalau bukan kecetekan ilmu? Jika dari tahap budak hingusan lagi sudah ditanam dengan ilmu pasti payah berlaku gejala kerosakan umat itu. Ya, lepas kahwin teruslah mengaji, ilmu aqidah dan feqah, hukum hakam dalam berumahtangga, ilmu menjaga anak dari dalam kandungan hingga ke dewasa, ilmu mengurus kewangan keluarga, ilmu mentarbiah isteri/suami dan anak-anak, dan semua ilmu yang berkaitan dengan hidup. Supaya bahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Ilmu itu haruslah merangkumi spiritual, ekonomi, sosiologi, psikologi dan macam-macam lagi yang berperanan memandu kita ke arah redha ilahi.

Bagaimana semua ini mampu membentuk generasi cemerlang? Ummah terbilang?

Suatu kumpulan masyarakat atau bangsa diukur melalui tahap kesarjanaan ilmunya. Ya, masyarakat itu terdiri dari keluarga dan keluarga itu terdiri dari individu-individu seperti  ayah, ibu, abang, kakak, adik dan sebagainya. Bagaimana masalah akhlak sesuatu masyarakat dapat dipulihkan kalau bukan dengan ilmu? Bagaimana pergaduhan di antara sebuah keluarga dengan keluarga lain dapat diselesaikan kalau bukan dengan ilmu? Bagaimana kes-kes jenayah dapat dibendung kalau bukan dengan ilmu? Ya, individu itu adalah masyarakat dan masyarakat itu terdiri dari individu-individu. Adakah individu itu hidup berseorangan? Tidak. Mereka punya keluarga. Kerana itu, keluarga mesti gemilang barulah masyarakat akan cemerlang, begitulah jika diamalkan maka generasi masa depan akan mewarisi nilai murni itu. Ya, kahwin perlu kepada ilmu.




Iklan. 

[ Here how i've been proposed ]


Perbincangan dibuka.