Salam semua pembaca blog ini (Pembloin). Apa khabar belia
harapan bangsa? Sudah sedia memimpin negara? Sudah siap mendidik keluarga?
Sudah cukup ilmu di dada? Ya, Sang Pemikir juga sedang menuju arah yang sama,
untuk membangkitkan semangat beragama, membangunkan generasi tak tertipu dengan
dunia, serta menyusun rencana ummah berjaya.
Muqaddimah di atas sangat berkait rapat dengan entry kali
ini. Ya, sangat rapat. Bermula dari kelahiran kita, membesar dengan jagaan
penuh kasih sayang, lalu perpindah ke alam persekolahan; tadika, sekolah
rendah, sekolah menengah, kolej atau universiti lalu berpindah pula ke alam
pekerjaan. Berhenti seketika. Ya, bukan semua orang melalui jalan yang sama,
bermacam-macam onak liku dan pelbagai aneka warna serta corak yang diterokai
setiap orang. Lain orang lain ragamnya.
Kahwin? Ya, semua Sang Pengembara bercita-cita demikian namun
Sang Pemikir yakin bukan semua orang ditentukan takdir itu. Ada orang membujang
hingga ke tua, ramai juga anak dara tua belum berumahtangga, menunggu putera
raja barangkali, atau hero Hindustan mahupun Korea datang merisik baru hati
mahu berputik.
Semestinya semua orang bakal hadapi detik perkahwinan suatu
hari nanti, detik yang didebarkan kedatangannya. Apa pun, tepuk dada tanyalah
usaha. Baikkah kita? Dari kecil hingga dewasa adakah layak dipertemukan dengan bidadari dunia jika diri dididik
dengan nafsu dan dosa?
Jadi, apa kaitan agama, generasi, ummah,
ilmu dengan kahwin?
Jawapan Sang Pemikir secara umum, perkahwinan memerlukan
ilmu yang kukuh bagi menghasilkan kebahagian menyeluruh dari semua aspek
kehidupan untuk membina generasi akan datang yang cemerlang lantas melahirkan
ummah yang hebat terbilang dengan agama sebagai tunjang pemikiran.
Persoalan timbul, mengapa dimulakan dengan ilmu? Bagaimana
orang yang sudah terlajak dalam sosial hubungan? Kemungkinan terjatuh ke kancah
zina dan buang anak. Perlu penuh ilmu dahulukah baru boleh kahwin? Ini
menyusahkan anak muda.
Sang Pemikir akur golongan yang sudah terjebak dalam masalah
sosial lebih baik kita selesaikan dengan cara yang paling mujarab iaitu kahwin.
Daripada dia berzina dan tak bertanggungjawab terhadap kandungan lebih baik
dilangsungkan akad nikah bagi menyelamatkan insan-insan tersebut.
Ilmu perlu ditimba sejak awal lagi, ibu bapa dan guru-guru
memainkan peranan penting bagi membentuk shaksiah anak-anak Melayu kita. Dan
pencarian ilmu ini mesti berterusan walau selepas berumahtangga. Apa punca
terjebak ke kancah sosial kalau bukan kekurangan ilmu? Apa punca zina dan buang
anak kalau bukan kecetekan ilmu? Jika dari tahap budak hingusan lagi sudah
ditanam dengan ilmu pasti payah berlaku gejala kerosakan umat itu. Ya, lepas
kahwin teruslah mengaji, ilmu aqidah dan feqah, hukum hakam dalam
berumahtangga, ilmu menjaga anak dari dalam kandungan hingga ke dewasa, ilmu
mengurus kewangan keluarga, ilmu mentarbiah isteri/suami dan anak-anak, dan
semua ilmu yang berkaitan dengan hidup. Supaya bahagia hidup di dunia dan di
akhirat.
Ilmu itu haruslah merangkumi spiritual, ekonomi, sosiologi,
psikologi dan macam-macam lagi yang berperanan memandu kita ke arah redha
ilahi.
Bagaimana semua ini mampu membentuk generasi cemerlang?
Ummah terbilang?
Suatu kumpulan masyarakat atau bangsa diukur melalui tahap
kesarjanaan ilmunya. Ya, masyarakat itu terdiri dari keluarga dan keluarga itu
terdiri dari individu-individu seperti
ayah, ibu, abang, kakak, adik dan sebagainya. Bagaimana masalah akhlak
sesuatu masyarakat dapat dipulihkan kalau bukan dengan ilmu? Bagaimana
pergaduhan di antara sebuah keluarga dengan keluarga lain dapat diselesaikan
kalau bukan dengan ilmu? Bagaimana kes-kes jenayah dapat dibendung kalau bukan
dengan ilmu? Ya, individu itu adalah masyarakat dan masyarakat itu terdiri dari
individu-individu. Adakah individu itu hidup berseorangan? Tidak. Mereka punya
keluarga. Kerana itu, keluarga mesti gemilang barulah masyarakat akan
cemerlang, begitulah jika diamalkan maka generasi masa depan akan mewarisi
nilai murni itu. Ya, kahwin perlu kepada ilmu.
↓
Iklan.
[ Here how i've been proposed ]
Perbincangan dibuka.
No comments:
Post a Comment