[ Pejuang Pena ]

Monday, October 31, 2011

Solat itu tiang agama.


Assalamualaikum. Moga-moga semua Pembloin sentiasa segar berusaha meningkatkan amalan setiap hari. Daripada yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada lebih baik. Baiklah, Sang Pemikir ingin berpesan pada diri sendiri, jika ada manfaatnya silalah ambil untuk dipraktik dan disampaikan kepada orang lain. Topik yang menarik untuk dibincangkan adalah mengenai 'Solat'.

Solat ialah alat bagi seorang hamba menzahirkan hubungan kepada tuhannya. Dalam Islam, solat adalah perkara pertama yang diwajibkan mengatasi kewajipan-kewajipan lain, kerana solat adalah perkara penting bagi mencerminkan sesuatu agama. Solat juga adalah cara berhubung yang paling tepat, kerana sesungguhnya tanda seorang hamba itu khusyuk dan menyerahkan daya kekuatan kepada tuhannya adalah dengan berdoa, meminta kesejahteraan, pertolongan dan hidayahNya. Sememangnya tuhanlah satu-satu sumber segala nikmat, kekuatan, dan pemerintahan dunia dan akhirat…inilah tanda-tanda seorang hamba, iaitu keadaan seperti meratap, merendah dan menyerah diri, berasa lemah dan hina, meminta pertolongan….inilah juga intipati beragama dan lambang pengabdian.

Oleh kerana itu, solat dipandang sebagai tiang agama, menjaganya adalah wajib sama ada ketika musafir atau mukim, aman atau takut, sakit atau sihat. Kewajipan ini diulangi sebanyak lima kali sehari semalam setiap hari bagi mengukuhkan lagi hubungan.

Dalam diri manusia ada satu ruang yang dipenuhi dengan pelbagai kesusahan, antaranya halangan kejahatan di kala dia mencari kebaikan, gangguan kepayahan hidup sehingga membawa kepada penyimpangan daripada jalan yang benar,dan keindahan dunia yang menjerumuskan kepada keseronokannya. Jika manusia dibiarkan dengan tingkahlakunya, maka dia lemah, kerana dia tidak akan mampu melawan unsur-unsur jahat yang mempesona itu dengan sendiri. Jika dia memohon perlindungan kepada tuhannya dan berserah sambil meminta kekuatan dengan penuh pengharapan, maka dia akan memperoleh pertolongan dan perlindungan itu. Kuasa jahat tadi akan serta merta menjadi kurang walaupun banyak, dan menjadi lemah walaupun kuat. Jika Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam ditimpa kesusahan, baginda akan segera bersolat memohon petunjuk bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, “Mintalah kalian pertolongan dengan bersabar dan bersolat.”

Dalam solat terdapat pembersihan dan penyucian jiwa yang berfungsi secara konsisten, kerana solat menghubungkan terus kepada Allah. Apabila seorang hamba konsisten dalam hubungannya, maka dia akan lebih takut kepada tuhan melebihi selainNya, dan menjaga ketaatan serta menjauhi larangan. Apabila syaitan pula cuba memperdayanya melakukan dosa, dia akan ingat bahawa mungkin selepas satu atau dua jam lagi dia akan menemui tuhannya yang maha mengetahui apa yang disembunyikan. Dengan itu, dia berasa malu jika dia bertemu tuhan dalam keadaan berdosa, maka ketika itu dia cepat-cepat beristighfar dan bertaubat.


                                                                     Solat, Solat, Solat!

2 comments:

  1. solat itu menghidar manusia dari buat benda yang salah

    ReplyDelete
  2. Yup benar sekali, sebab itulah kita perlu memandang serius kualiti solat yang dikerjakan, barulah berhasil menghindari diri dari perkara keji dan mungkar.

    ReplyDelete