[ Pejuang Pena ]

Wednesday, December 7, 2011

Kisah Sahabat 2 - Salman al-Farisi.



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum semua Pembloin yang merindukan entry dari Sang Pemikir. Hamba mohon maaf sudah beberapa hari tidak mengutus surat buat pembaca sekalian. Baiklah, kali ini Sang Pemikir ingin menyambung cerita mengenai kisah para sahabat, sahabat ini mungkin Pembloin pernah dengar, iaitu Salman al-Farisi, kenalkah beliau? Beliau merupakan seorang pahlawan dan pakar strategi Perang Khandak. Teruskan membaca...

Salman berasal dari kampung Ji, Isfahan, Farsi. Beliau adalah anak kesayangan bapanya. Pada asalnya, Salman adalah penganut Majusi yang taat hinggakan  beliau diberi tugas sebagai penjaga api.

Suatu ketika beliau melalui sebuah gereja Nasrani yang sedang mengerjakan sembahyang. Setelah masuk dan memperhatikan apa yang mereka kerjakan, Salman menjadi kagum. Beliau pun bertanya tentang asal agama mereka yang kelihatan berasal dari Syria. Kemudian Salman menceritakan hal tersebut kepada bapanya dan mengatakan bahwa upacara kaum Nasrani sungguh mengagumkan, lebih baik dari agama Majusi yang mereka anuti. Lalu terjadilah perbincangan antara Salman dan bapanya yang akhirnya mengakibatkan Salman dihumban ke dalam penjara dengan kaki diikat rantai.

Bagi orang Nasrani, Salman ada memberitahu bahawa beliau telah menganut agama mereka dan berpesan agar diberitahu jika ada rombongan dari Syria yang datang. Setelah permintaannya dipenuhi, beliau dilepaskan dari penjara lalu bergabung dengan rombongan tersebut ke Syiria. Di Syiria beliau tinggal sebagai pelayan bersama seorang alim Nasrani untuk belajar agama yang baru dianuti itu. Salman sangat mengasihinya. Ketika sampai waktu kematiannya, Salman bertanya kepada sang alim siapa yang harus dihubungi selepas ketiadaannya. Lalu orang tersebut menceritakan tentang hampirnya kebangkitan seorang Nabi pengikut agama Ibrahim yang hanif, beserta tanda-tanda kenabian yang ada padanya termasuk tempat hijrahnya.

Suatu hari datang satu rombongan berkenderaan dari jazirah Arab. Salman minta agar dibawanya sekali pergi ke negeri mereka bersama sapi-sapi dan kambing-kambing hasil susah payahnya sebagai peternak. Permintaan tersebut diterima. Namun ketika sampai di negeri yang bernama Wadil Qura, rombongan tersebut menganiaya Salman dan menjualnya kepada seorang Yahudi sebagai hamba. Setelah beberapa lama, Salman dibeli oleh seorang Yahudi lain dari Bani Quraidhah dan dibawa ke Madinah. Setelah sampai di Madinah Salman pun akhirnya yakin bahawa negeri ini adalah sebagaimana yang disebutkan kepadanya dahulu.

Setelah mendengar kedatangan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam yang berhijrah ke Madinah, Salman datang menjumpai baginda beberapa kali, dan beliau melihat sendiri semua tanda-tanda kenabian yang pernah diceritakan kepadanya. Hal ini membuat Salman yakin akan kebenaran Rasulullah dan menyatakan keislamannya. Namun statusnya sebagai hamba telah menghalang Salman untuk turut serta dalam perang Badar dan Uhud. Dengan bantuan para sahabat, Salman akhirnya berjaya ditebus dan dimerdekakan.

Ketika terjadi perang Khandaq, kaum Muslimin di Madinah diserang oleh kekuatan gabungan anti Islam dari luar dan dalam. Pasukan Quraisy dan Ghatfan menyerbu Madinah dari luar manakala Yahudi Bani Quraidhah menyerang dari dalam. Melihat keadaan ini, Salman menyarankan strategi perang Farsi yang asing bagi bangsa Arab, yakni penggalian parit sepanjang daerah terbuka mengelilingi kota. Melihat ini, pasukan kaum kafir yang hendak menyerbu Madinah merasa terpukul dan dipaksa berkhemah di luar kota Madinah hingga pada suatu malam Allah mengirimkan angin taufan yang memporak-perandakan mereka.

Salman adalah salah seorang sahabat Nabi yang utama, bertaqwa, cerdas, dan bersahaja. Walaupun beliau dari golongan kelas atas dan seorang putera Farsi, negeri yang terkenal dengan kemewahan, namun beliau amat zuhud dalam hal dunia. Ketika menanti ajal, Sa'ad bin Abi Waqqas datang menjenguknya dan didapati Salman sedang menangis, teringat pesan Rasulullah, "Hendaklah bahagian hartamu dari kekayaan dunia ini menjadi bekalan seorang pengembara." Beliau merasa hartanya masih banyak. Sa'ad berkata, "Aku lihat, tiada yang tampak di sekelilingku (di rumah Salman) melainkan satu piring dan sebuah besen."

Sekelumit kisah sang pencari kebenaran Salman al-Farisi ini mengandungi banyak pelajaran. Kecintaan daripada bapanya, kedudukan terhormat sebagai anak pembesar dan penunggu api, serta kehidupan yang berkecukupan tidaklah menjadi tujuan tertinggi hidupnya. Kendatipun belum menjadi seorang muslim, Salman seakan memiliki peribadi yang hanif dengan fitrah yang bersih.

Salman mampu bersifat objektif dan mengakui kekurangan agama Majusi yang dianutinya dibandingkan agama Nasrani yang kemudian dipeluknya. Beliau tidak segan-segan masuk Islam ketika Rasul ditunggu-tunggunya tiba. Bukanlah menjadi persoalan bagi Salman sang pemuda Farsi untuk memeluk agama Nasrani yang berasal dari Syria. Sungguh bahagia hati Salman, hamba dari Farsi untuk memeluk Islam yang dibawa oleh Muhammad, orang Arab. Kebenaran adalah daripada Allah, tak peduli siapa yang menyampaikan dan dari mana asalnya. Maka seseorang yang berjiwa hanif sudah sewajarnya mengikuti kebenaran yang datangnya dari Allah. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment