i.Mengapa agama ini dinamakan Islam.
Pelbagai agama yang ada di muka bumi ini mempunyai nama tersendiri, ada yang dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas, atau kepada ummat yang tertentu yang menyuburkan agama yang berkenaan. Agama Masihiyyah (Nasraniyyah atau dikenal Kristian) misalnya memperoleh nama daripada a1-Masih 'Alaihissalam (Nabi Isa). Agama Buddha di ambil daripada nama pembawanya, Gautama Buddha. Dan agama Zarathustra dimasyhurkan demikian kerana pembawa panji-panjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi muncul di atas pangkuan suatu kabilah yang dikenal dengan nama kabilah Yahuda, maka agama itupun dinamai Yahudi. Demikian seterusnya pada agama-agama lain.
Berlainan dengan agama Islam. Ia tidak dibangsakan kepada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada ummat yang tertentu. Nama Islam itu menunjukkan sifat yang khas yang dikandung oleh makna perkataan “Islam” itu sendiri. Ternyata, nama ini tidak menunjukkan pembawa dan pengasasnya iaitu seorang lelaki di antara manusia. Ia bukan khas bagi ummat yang tertentu melainkan seluruh bangsa-bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Siapa saja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia zaman lampau atau manusia masa kini, dia akan dipanggil Muslim; juga orang yang berhias dengannya pada masa depan tetap digelar seorang Muslim.
ii.Makna perkataan Islam.
Apabila kita meneliti kamus-kamus, akan diketahui bahawa makna perkataan Islam ialah “tunduk dan patuh kepada perintah maha Pemerintah dan laranganNya tanpa bantahan”. Dinamakan agama kita ini dengan Islam kerana ia mengajar kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.
iii.Hakikat Islam.
Sudah maklum bahawa setiap sesuatu yang ada di alam ini tertakluk kepada kaedah tertentu dan undang-undang yang khas. Matahari, bulan, dan bintang-bintang menjalani peredarannya mengikut suatu kaedah yang tetap. Ia tidak menyimpang dan kaedah itu dan tidak terkeluar meskipun sesimpul rambut. Bumi beredar di sekeliling orbitnya, tidak bergerak lebih daripada kadar yang ditentukan baginya. Pergerakan dan perjalanan gerakannya tidak berlain dan tidak bertukar. Air, udara, cahaya, dan panas, semuanya berlaku mengikut peraturan yang khas. Benda-benda beku, tumbuh tumbuhan, dan binatang-binatang, semuanya mengikut cara yang tetap, tidak mengembang dan tidak menyusut, tidak hidup dan tidak mati melainkan dengan kehendak pengaturNya. Bahkan manusia sendiri, apabila kita perhatikan keadaannya, jelas ternyata kepada kita bahawa manusia tunduk kepada ketentuan tabi’i sepenuhnya. Tidak bernafas dan tidak berhajat kepada air, makanan, cahaya dan panas melainkan mengikut undang-undang tabi’i yang berkenaan dengan hayatnya. Dan kerana adanya undang-undang inilah, dengan sendirinya hati manusia terpandu dalam gerak-gerinya, dalam peredaran darahnya, dalam keluar masuk nafasnya. Kepadanya tertakluk seluruh anggota tubuhnya, seperti otak, perut, paru-paru, urat-sarap, urat-urat daging, dua tangan, dua kaki, lidah, dua mata, hidung dan telinga. Segala pekerjaan yang dilakukan oleh anggota-anggota ini tidak akan berlaku melainkan mengikut apa yang ditentukan oleh tabi’i. Mereka tidak akan berbuat apa-apa melainkan sejauh jalan yang telah ditetapkan baginya.
Adapun undang-undang semesta, yang kepadanya seluruh alam maujud (yang wujud) ini bersrerah, dan tiada kuasa baginya untuk menghindari, bermula dari planet yang terbesar di langit, sampailah butir pasir yang paling kecil di bumi, adalah ciptaan maha Pemiik, maha Agung dan maha Berkuasa. Apabila setiap yang ada di langit, di bumi, dan di antara keduanya tertakluk kepada undang-undang ini, maka alam seluruhnya tunduk kepada Pemilik yang maha Berkuasa itu, yakni yang menciptanya; ia mengikut akan segala perintahNya. Dan dari sudut ini, nyata bahawa Islam itu adalah agama sejagat semesta, kerana Islam bermakna takluk dan mengikut segala perintah maha Pemerintah dan menjauhi laranganNya tanpa bantahan sebagai yang anda ketahui. Matahari, bulan dan bumi adalah benda-benda Muslim (yang tunduk kepada ad-Din). Udara, air, cahaya, kegelapan dan panas adalah benda-benda Muslim. Pepohon, batu dan haiwan adalah benda-benda Muslim. Bahkan juga manusia yang tidak mengenal tuhan, yang mengingkari kewujudanNya, dan yang mengingkari tanda-tanda kebesaranNya, atau orang yang bertuhankan selain Allah, atau yang menyengutukan tuhan dengan yang lainNya, adalah seorang Muslim dari segi fitrah yang telah difitrahkan kepadanya. Yang demikian itu, kerana ia tidak dilahirkan, tidak hidup dan tidak mati melainkan sesuai dengan apa yang telah digariskan Allah Ta’ala di dalam undang-undang yang mengatur kelahirannya, yang mengatur hidup dan matinya. Demikian juga, setiap anggota tubuhnya tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam; kerana ia tidak terjadi, tidak menjadi besar dan tidak bergerak melainkan mengikuti undang undang tuhan itu sendiri. Bahkan pada hakikatnya, lidahnya yang dipergunakannya untuk menzahirkan pandangan-pandangan syirik, dan kufur secara bodoh dan jahat (tidak menganut agama Islam). Demikian juga kepalanya yang memaksa tunduk di hadapan selain daripada Allah tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam, mengikut fitrahnya yang telah difitrahkan ke atasnya. Demikian juga hati yang mengalirkan dirinya dengan cinta kepada selain Allah dan penghormatannya kepada kejahilan dan kejahatan, seluruhanya ini adalah Muslim dari sisi fitrah dan semulajadinya. Maka semuanya itu telah Islam (tunduk) kepada Allah dan mengikut undang-undangNya. Jika kitaa fahami ini, marilah kita lihat pula dan sudut lain. Bagi manusia dalam hidupnya ada dua pihak yang berlainan :
Pertama : Dia tunduk kepada undang-undang fitrah, mengikutinya begitu sahaja. Yang lain, didatangkan akal kepadanya, serta kekuatan memahami ketelitian dan pandangan, maka dia menjadi Islam pada satu pihak dan ingkar pada yang lain. Dia menyukai satu jalan dan membenci jalan yang lain. Diletakkan dalam dirinya pengawal bagi sudut-sudut kehidupan yang bermacam-macam atau dia menerima peraturan-peraturan kehidupan yang diletakkan oleh orang lain. Dia tidak terbelenggu di dunia ini bahkan mempunyai kemerdekaan berfikir dan memilih dalam pandangan dan perbuatan. Ini adalah dua golongan berlainan yang dijumpai dalam hidup manusia. Setiap orang mengikut apa yang ada padanya. Golongan yang pertama adalah Muslim yang telah tercipta atas Islam dan telah terfitrah untuk melaziminya. Dia menyertai makhluk lain di alam ini.
Golongan yang lain, Islam atau tidaknya adalah dengan piihan. Dan pilihan ini menyebabkan manusia tergolongan dalam dua golongan :
Manusia yang mengenal penciptanya, beriman kepadaNya sebagai tuhan, Pemilik dan tuan bagi dirinya. Dia mengikuti undang-undangNya di dalam kehidupan pilihannya (ikhtiariyyah), sebagaimana dia menurut kepada undang undang tabi’iNya dalam kehidupan paksaannya (jabariyyah). Inilah orang Muslim yang sempurna, yang telah menyempurnakan Islamnya, kerana kehidupannya sekarang telah menjadi Islam itu sendiri. Dia telah menundukkan diri (secara taat) kepada yang dipatuhinya dan yang dia terikat kepada undang-undangNya tanpa perasaan sebelumnya. Dan jadilah ia sekarang taat kepada tuhannya, yang sebelum itu dipatuhinya tanpa qasad dan kemahuan. Dan jadilah ilmunya itu benar, kerana ia mengenal Allah penciptanya dan tuhan yang telah mengurniakan kepadanya kekuatan ilmu dan belajar. Dan jadilah akalnya matang dan pandangannya kemas, kerana dia mengamalkan fikirannya, kemudian dia menetapkan hukum bahawa dia tidak akan mengabdikan dirinya melainkan kepada Allah yang telah memberinya kemuliaan dengan kebijakan berfaham dan berfikir di dalam pelbagai perkara. Dan jadilah lidahnya benar, memperkatakan yang hak, kerana dia sekarang tidak berikrar melainkan kepada tuhan yang Esa, Dialah Allah yang maha Tinggi yang telah mengurniakan kepadanya kekuatan berucap dan berkata. Sekarang tiada yang tinggal lagi di dalam kehidupannya melainkan kebenaran, kerana dia terikat kepada undang-undang Allah, kerana dia telah memilihnya di dalam urusannya. Dan menjadi panjanglah tonggak perkenalan dan keramahtamahan antara dirinya dengan semua makhluk di alam ini. Tuhan yang kepadaNya seluruh makhluk ini memperhambakan diri, tunduk kepada perintahNya dan terikat kepada undang-undangNya, jadilah dia khalifah Allah, iaitu naibNya di muka bumi ini. Setiap benda didunia ini adalah untuknya. Dan secara langsung dirinya adalah untuk Allah Ta’ala.
iv.Hakikat kufur.
Manusia seperti ini dilahirkan muslim, hidup muslim sepanjang hayatnya, yang keislamannya tidak diketahui atau disedarinya, tetapi dia tidak menggunakan kekuatan ilmu dan akalnya untuk mengetahui siapa yang menciptakannya, siapa yang membukakan pendengaran dan penglihatannya. Dia mengingkari wujud tuhan. Dia merasa bongkak untuk memperhambakan diri kepada tuhan. Dia enggan mengikat dirinya kepada undang-undang syarak dalam menggunakan haknya untuk berbelanja dan memiih pekerjaan dalam hidupnya. Atau tuhan disekekutukan olehnya dengan yang lain. Dia enggan beriman kepada ayat-ayat yang menunjukkan kemahabesaran Allah. Inilah dia orang kafir.
Dengan demikian maka erti kufur ialah tutup, dinding dan terlindung. Kata orang (dia menutup baju besinya dengan bajunya) yang bermakna : Apabila dia memakai baju sedangkan baju besi ditutupnya. Maka lelaki seperti itu disebut sebagai “kafir” kerana dia menutup fitrahnya dan melingkupi dengan tudung kejahilan dan kejahatan.
Sesungguhnya kita telah ketahui bahawa orang itu tidak dilahirkan melainkan dalam fitrah Islam. Dan setiap anggota tubuhnya tidak bekerja melainkan sesuai dengan fitrah Islam. Dan dunia sekelilingnya tidak beredar mengikut edarannya melainkan menurut Sunat Islam. Tetapi semua ini terlingkup oleh hijab kejahilan dan kejahatan yang menutupi, sehingga terluputla pandangan fitrah dunia dan fitrah dirinya. Kita saksikan dia tidak menggunakan kekuatan fikiran dan ilmunya melainkan pada perkara perkara yang berlawanan dengan fitrahnya. Dia tidak melihat sesuatu melainkan yang bertentangan dengannya. Dan dia tidak mengusahakan sesuatu melainkan apa yang mendatangkan keburukan padanya.
Kita boleh membayangkan sendiri sekarang apa yang diputarbalikkan oleh orang kafir tentang kesesatan yang jauh dan kesalahan yang nyata.
v.Kemudharatan dan kesan-kesan buruk kufur.
Kufur itu adalah jahil dan jahil yang hakiki itu adalah kufur. Ertinya : Kejahilan manakah yang lebih besar dan lebih hina daripada kejahilan orang yang tidak mengenal tuhan? Dia menyaksikan penciptaan alam yang besar ini, berkenalan dalam pekerjaannya, siang malam tetapi tidak mengenal siapa yang mencipta dan memerintahnya untuk bergerak terus menerus.
Siapakah yang telah menumpuk batu bara, hidrogen, oksigan, sodium dan kalsium, dan benda-benda lain yang tidak mempunyai nyawa dan akal? Atau, tidakkah ajaib ketika menyaksikan beragam benda di setiap pelusuk alam ini? Semua itu dengan sendirinya menunjukkan hajat kepada pertukangan dan pengindahan rupa bentuknya, yang mempunyai kemahiran tanpa saingan dalam kejuruteraan, keahlian, ilmu kimia dan ilmu-ilmu lain. Meskipun demikian akal tidak menunjuk jawapan kepada pengenalan tuhan yang maha Mulia, maha Bijaksana dan maha Mengetahui yang telah menukang dan menyusunnya. Fikirlah sedikit : Adakah mungkin terbuka pintu ilmu yang benar pada diri orang seperti ini, orang yang telah sesat dan sejak pangkal pengetahuannya lagi? Orang seperti ini, meskipun telah sampai kepadanya pemikiran dan penelitian, dan telah menambah pembahasan dan penyelidikan, tidak akan dapat petunjuk kepada jalan yang lurus dan benar yang menyampaikannya kepada ilmu yang benar di dalam sesuatu bidang kehidupan, kerana dia menghadapi kegelapan sejak permulaan. Demikian seterusnya, dia tidak menghadapi melainkan kegelapan kejahatan sampai kepada akhirnya.
Kufur itu adalah suatu kezaliman. Bahkan kezaliman yang paling besar dan paling jahat adalah kufur. Yang demikian itu, kerana makna kezaliman ialah kita letakkan sesuatu pada tempat yang tidak layak, dan kita gunakan secara paksa untuk sesuatu yang tidak wajar mengikut fitrahnya. Kita telah ketahui bahawa segala sesuatu yang ada di langit dan di bumi terikat kepada perintah Allah, difitrahkan dengan fitrah Islam (penundukan diri). Sehingga manusia, tubuh badannya dan segala anggota tubuh yang melingkupinya turut tidak dilahirkan melainkan atas fitrah ini. Ya, tak syak lagi, bahawa sesungguhnya Allah pada satu pihak telah memberi hak kepada manusia untuk menggunakan anggota-anggota tubuhnya. Tetapi mengikut kehendak fitrah manusia tidak boleh menggunakannya melainkan sekadar yang diredhai oleh penciptanya.
Adapun orang kafir terhadap Allah menggunakan anggota tubuhnya pada sesuatu yang tak bersesuaian dengan fitrahnya. Kita lihat dia memenuhi hatinya dengan kegelapan, membesarkan selain daripada Allah, cinta kepada selain Allah, sedangkan fitrah yang difitrahkan dalam hatinya menuntut supaya memenuhi dengan cahaya membesarkan Allah, cinta dan gemar kepadaNya, Allah tempat bergantung, yang Esa sendiriNya. Dan dengan demikian dia menggunakan seluruh anggota tubuh dan segala yang ada di bawah kekuasaan di alam ini untuk sesuatu yang bertentangan dengan keredhaan Allah, manakala hukum tabi’i yang menguasai anggota tubuhnya dan segala yang dipunyainya itu menghendaki agar dia tidak mempergunakan melainkan sesuai dengan apa yang ditentukan oleh undang-undang tuhan yang maha Tinggi. Demi Allah, anda jawablah : Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang ingin hidupnya untuk menzalimi segala yang ada di dunia ini sekalipun dirinya sendiri?
Bukan, kufur itu bukan hanya zalim. Tetapi lebih daripada itu, ia adalah juga suatu pemesongan, suatu penentangan, pengingkaran dan kekejian yang dilakukan terhadap peraturan Allah. Atau, adakah anda lihat manusia itu menjadi pemilik bagi sesuatu yang ada di hadapannya? Siapakah yang menjadikan akal dan otaknya? Adakah dirinya sendiri atau Allah ‘Azza wa Jalla? Dan siapakah yang mencipta hati dan lisannya, dua mata dan dua telinganya, dua kaki dan dua tangannya, dan seluruh anggota tubuhnya? Adakah dirinya sendiri atau Allah Tabaraka Wa Ta’ala? Dan siapakah yang memperelok ciptaan benda-benda itu dan menjadikannya berguna bagi pemiliknya dan menetapkan untuk diperguna dan mengambil faedah daripadanya? Dia sendirikah atau Allah Subhanahu wa Ta'ala?
Tiada jawapan lain ke atas pertanyaan pertanyaan ini, seluruhnya ini adalah kepunyaan Allah sendiriNya. Allah menciptanya dan Dia juga yang memolekkan rupanya. Dia pemiliknya dan Dialah yang telah memberi nikmat kepada manusia dengan kurniaan itu. Apabila inilah hakikat, dan memang demikianlah yang benar tanpa disangsikan, maka siapakah orang yang paling banyak kezalimannya, yang paling derhaka dan yang paling menentang di antara orang yang menggunakan akal untuk berfikir mengenai sesuatu yang berlawanan dengan keredhaan Allah Ta’ala dan memenuhi hatinya dengan fikiran yang boleh menimbulkan kemurkaanNya. Dia memaksa lidahnya, dua mata, dua tangan dan dua kaki untuk beramal dengan perbuatan yang menafikan hukum-hukum Allah dan titah perintahNya? Kita akan kata bahawa seorang hamba yang hidup dengan rezeki daripada tuannya sedang dia tidak memelihara hak-hak tuannya itu sebagai manusia yang ingkar. Demilkian juga, kita akan panggil seorang pegawai yang menggunakan kuasa pentadbir yang ada padanya berlawanan dengan maslahat kerajaan sebagai seorang penderhaka dan terkeluar daripada pemerintahan. Dan kita akan sebut bahawa seseorang itu ingkar apabila ia melengah-lengahkan hak tuannya untuk menenima sesuatu kebaikan.
Tetapi, apakah hakikat kekafiran, kederhakaan dan pelalaian hak-hak manusia lain seumpamanya? Dan manakah datang rezki manusia sehingga dia mesti berbuat baik dengan hartanya itu kepada manusia lain? Adakah tidak, Allah Ta’ala sendiri yang memberinya kekuatan, kekuasaan dan pemerintahan? Mengapakah manusia itu mesti memberi nikmat kepada manusia seperti dia dan berbuat baik kepadanya? Adakah tidak Allah Ta’ala yang telah menetapkannya untuk semua itu? Sesungguhnya hak yang paling besar pada manusia dalam dunia ini ialah kewajipan ke atas ibubapanya.
Siapakah yang telah menanamkan rasa kasih mesra terhadap anak-anak di dalam hati ibubapanya? Atau, siapakah yang telah menjadikan seorang ibu penyayang kepada anak yang dikandungkannya secara bersusah payah dan dilahirkanya secara bersusah payah? Atau, siapakah yang telan menanam di dalam hati ayah untuk dengan suka-rela dan tenang memberi nafkah daripada usaha titik peluhnya kepada segumpal daging yang hina, dan kemudian berusaha dengan menghabiskan banyak waktu, harta dan kelemah lembutannya untuk mendidik dan mengajar anak itu?
Demi Allah, katakanlah : Adakah lagi kekafiran yang lebih keji daripada kekafiran orang yang tidak beriman kepada Allah dan enggan mengakui keilahian dan kerabbianNya dan membangkang titah perintahNya Mungkinkah anda jumpa suatu kederhakaan yang lebih dahsyat daripada kederhakaan; dan pengkhianatan yang lebih hebat daripada pengkhianatannya; dan keingkaran yang lebih tebal daripada keingkarannya?
Janganlah kita menyangka bahawa manusia boleh mendatangkan mudharat kepada Allah jika dia mengkafiriNya. Bagaimana boleh jadi seperti itu, Allah Ta’ala mempunyai kerajaan yang besar yang tidak diketahui jauh dan dekatnya meskipun manusia telah mencuba bersungguh-sungguh secara terus menerus, dan untuk maksud itu mereka mempergunakan alat peneropong yang besar. Bumi ini sujud kepada Allah. Demikian juga matahari, bintang Marikh dan planet-planet besar lainya, yang semuanya itu adalah benda benda tak berharga. Anda lihat kejadian seperti bulatan-bulatan kecil yang hina di dalam kerajaanNya. Dan bagi Allah ‘Azza wa Jalla perbendaharaan langit dan bumi tanpa saingan dan tanpa penentang, Dialah tempat bergantung, yang maha Pemurah dan maha Mulia yang kepadaNya semua berhajat, sedangkan Dia tidak berhajat kepada sesiapa pun.
Bagaimanakah manusia ini? Manusia adalah makhluk yang lemah dan hina, yang tidak dapat mendatangkan sesuatu mudharat kepada Allah meski dia kafir kepadaNya. Sesungguhnya, jika dia beriman, itu adalah untuk kepentingannya; dan jika ia kafir, kesannya akan tertimpa kepadanya.
Di antara natijah kufur dan kemaksiatan yang tidak boleh tidak, ialah rakaman penyesalan dan kegagalan bagi manusia. Dia tidak akan mendapat petunjuk kepada jalan ilmu yang lurus selamanya, kerana ilmu yang tidak mengenal tuhan tidak mungkin mengenal yang lainnya dengan benar. Dengan demikian dia tidak akan dapat mengarahkan akalnya melalui jalan-jalan yang tidak rata dalam setiap keadaan hidupnya. Sesungguhnya akal yang tidak menunjuk untuk mengenal pencipta, bagaimana ia boleh mengenal yang lainnya secara betul? Dia bakal menempuh kegagalan demi kegagalan dalam setiap pekerjaan. Akan tiada nilailah akhlaknya, kemajuan, pergaulan, kehidupan, pemerintahan dan politiknya. Jadilah dia manusia perosak di muka bumi ini menumpahkan darah, mempermain-mainkan hak manusia. Mereka akan berona dengan warna-warni kezaliman dan kekasaran. Demikianlah, dia mendorongkan dirinya ke dalam kehidupan dengan fikiran jahat dan perbuatan munkar.
Ini dalam hidup dunia. Adapun dalam hidup akhirat, di hadapan wajahnya terpampang segala penyelewengan, yang semuanya akan disaksikan. Di hadapan mahkamah Allah yang adil, kesnya akan dipertanggungwabkan kepadanya oleh akal dan hatinya, oleh dua mata dan dua telinganya, oleh dua tangan dan dua kakinya, dan oleh seluruh anggota tubuhnya :
“Ya Allah! Orang yang zalim ini telah lari daripada Engkau, dalam hidup dunia enggan mengingati Engkau, dan kami dipaksa berbuat maksiat kepada Engkau”.
Di dalam mahkamah yang adil ini tidak ada tawar menawar, tiada pujuk-rayu dan tiada syafaat. Bumi, yang di atasnya dia berjalan dan di atas permukaannya dia tinggal, murka kepadanya kerana berbuat maksiat kepada Allah Ta’ala. Demikian juga harta yang diperoleh dan dibelanjakan kepada jalan yang haram, dan harta benda yang dipergunakan dengan cara penggunaan jahat yang mendatangkan perseteruan dan berbuat zalim, dan alat-alat serta kekuatan yang digunakannya dalam melakukan kezaliman dan perseteruan dengan cara paksa ke atas benda-benda itu, semuanya murka kepadanya. Dan Allah telah mencatit bagi mereka yang melampaui batas ini dan menimpakan azab yang hina lagi keji, balasan bagi kezaliman dan kemaksiatannya.
vi.Faedah-faedah Islam.
Sekarang mari kita perhatikan faedah-faedah yang diberi oleh Islam apabila kita mematuhi dan rela mengikutnya.
Dan keterangan yang lampau kita telah tahu bahawa alam ini penuh tanda dan alamat yang tersebar pada setiap sudut yang menunjukkan keilahian dan ketuhanan Allah. Makmal alam yang besar ini, yang kita lihat beredar terus menerus, tunduk kepada peraturan semesta dan undang undang yang tetap. Dengan lisan halnya, ia menjadi saksi bahawa pencipta dan pentadbir urusannya adalah pengatur agung, mempunyai kuasa dan kekuatan yang besar. Tiada sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di langit, yang terkeluar daripada pengaruhNya. Telah diketahui juga manusia mengikut fitrahnya, mesti mentaatiNya seperti seluruh alam semesta ini. Kita menyaksikan bahawa makhluk alam ini mengikuti peraturan tuhan siang dan malam tanpa
disedari. Adalah suatu perkara yang mustahil bagi manusia untuk tetap tinggal hidup jika dia menyalahi undang-undang tabi’i.
Berbeza dengan yang lain. Allah telah menghebahkan kepada manusia suatu perkara khas, iaitu kebebasan mempunyai kemahuan, dan telah mengurniakan kelebihan daripada makhluk alam yang lain, iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, kekuatan berfikir dan kesanggupan membezakan yang baik dan yang jahat. Manusia itu dengan ilmunya, akal dan kekuatan pembezaan, tunduk kepada ujian dalam kebebasannya ini. Dengan mata penciptanya, manusia sentiasa melihat betapa kemerdekaan itu dipergunakan dalam ujian ini, manusia tidak dipaksa melaksanakan rancangan yang tertentu. Andaikata ia dipaksa nescaya batallah tujuan dilakukannya ujian itu.
lni adalah perkara yang nyata. Tiada kemusykilan dalam memahaminya, kerana andaikata di atas kertas peperiksaan yang diletakkan di hadapan kita termaktub soalan yang anda terpaksa memberi jawapan yang telah ditentukan, apakah gunanya ujian ini dilakukan?
Sebenarnya, tidak akan nyata kemampuan kita dalam erti yang sesungguhnya melainkan apabila kita boleh memiih jawapan yang dikehendaki dalam peluang yang seluas-luasnya. Jika jawapan itu benar luluslah kita dalam ujian itu. Terbukalah di hadapan anda pintu kemuliaan dan kesempurnaan di masa depan. Tetapi jika jawapan salah, gagallah kita dalam ujian itu. Maka tertutuplah pintu kemuliaan di hadapan kita.
Demikianlah Allah telah mengurniakan kepada manusia ini kemerdekaan dalam menempuh ujiannya dan memberi piihan jalan mana yang dikehendakinya dalam menempuh hidup.
Jika seseorang tidak mengenal fitrah diri dan fitrah alam ini, akan membawa kesalahan dalam mengenal khaliqnya serta sifat-sifat khaliq itu, memilih jalan maksiat dan kederhakaan, tidak dapat mengambil manfaat daripada kebebasan menentukan kehendak maka dia akan menghadapi kegagalan yang nyata dalam ujian ilmu dan akalnya, di dalam kekuatan pembezaan antara yang baik dan yang buruk dan perasaannya tentang kewajipan, dia akan menyaksikan dirinya sebagai seorang yang duduk di bawah kerak yang paling bawah dalam setiap segi hidupnya, dan patutlah jika segala pekerjaannya menjadi mereng sebagaimana telah pun diketahui.
Seseorang telah melulusi ujian ini : Dia mengguna fikirannya, mengambil faedah yang betul daripada ilmu dan akal yang dikumiakan kepadanya, maka dia mengenal penciptanya dan beriman kepadaNya meskipun dia tidak dipaksa untuk berbuat demikian. Dengan cara demikian tidaklah dia tersalah dalam membezakan yang baik dengan yang buruk. Dia memilih yang baik dengan kebebasan fikirannya, meskipun di hadapannya tiada sesuatu yang menghalanginya daripada cenderung ke arah kejahatan jika diingini. Dia menjadi bijak kerana fitrahnya, dia mengenal tuhannya. Dia taat setia meskipun boleh memilih di antara patuh dan derhaka.
Apakah yang telah meluluskannya dalam ujian ini dan yang menyampaikannya kepada tujuan? Semua itu disebabkan kerana día memperguna akalnya dengan baik. Dia mengambil faedah daripada dua mata, dua telinga dan otaknya. Hatinya yang hitam itu memerintah untuk tidak melakukan perkataan dan perbuatan melainkan yang benar sahaja. Demikianlah datang kepadanya keterangan yang benar disebabkan pengenalannya kepada tuhan, dan kerana dia mengikuti yang benar dan dengan secara langsung mengukuh pegangannya.
Keajaiban apakah yang terjadi pada orang yang telah mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat itu, orang yang telah dilingkupi oleh sifat-sifat mulia seperti ini?
Dalam gelanggang ilmu dan amal tiada pilihan melainkan jalan yang benar dan lurus. Kerana orang yang mengenal tuhannya sesungguhnya dia telah mengenal permulaan ilmu dan kesudahannya. Orang yang seperti ini tidak mungkin melangkah melalui jalan yang sesat dalam hayatnya kerana langkah pertama yang dilangkahkannya adalah berdasarkan ilmu dan pandangan, dan baginya tak tersembunyi akhir jalan yang ditujunya. Telah disaksikan dia meneliti keajaiban langit dan bumi. Dia berusaha mengenal rahsia alam dengan cara falsafah, tétapi tidak tersesat dalam kegelapan syak dan ragu-ragu. Dia menggunakan ilmu pengetahuan sains untuk mengenal undang-undang tabi’i. Dan alam itu dikeluarkan perbendaharaan yang tersembunyi. Terbuka baginya kekuatan yang disimpankan Allah di dalam dunia dan di dalam diri manusia. Dia melahirkan cara-cara mengambil manfaat daripada berbagai perkara di langit dan di bumi. Tetapi taqwanya kepada Allah dan gentarnya berdiri di hadapan tuhan pada Hari Kiamat kelak mencegahnya daripada menggunakan ilmunya ke jalan yang salah pada setiap langkah. Dirinya sentiasa tidak terpesong dalam setiap marhalah perjalanan hidupnya, sehingga dia merasa menguasai semua ini, atau merasa menang ke atas tabi’i, sehingga bolehlah dipergunakan ilmunya untuk mengambil manfaat bagi dininya, dan untuk menguasai dunia, menaklukkan negeri-negeri, sehingga dengan ilmunya itu dia menanam ketakutan dalam hati manusia daripada membinasakan pertanian, keturunan dan melakukan penumpahan darah.
Kebinasaan seperti itu tidak akan berlaku melainkan oleh perbuatan saintis yang kafir. Adapun saintis Muslim, setiap kali bertambah ilmu sains, kemahiran, dan pengenalannya dalam ilmu rahsia langit dan bumi, akan bertambahlah imannya kepada Allah, bertambah keyakinan terhadap kemahaesaanNya, bertambah syukurnya ke atas nikmatNya, dan akan bertambah kukuh iktiqad bahawa tuhannya tidak akan memberi pengetahuan mengenai hukum tabi’i melainkan supaya menjadi pelayan kepada hamba-hambaNya, dan mengusahakan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepadanya dan kepada ummt manusia seluruhnya. Yang demikian itulah kesyukuran yang sebenarnya kepada Allah Ta’ala atas segala nikmat yang dikurniakan olehNya.
Demikian juga, tiada beza antara seorang muslim dengan seorang kafir dalam mencari hakikat dan kesungguhan dalam bidang sejarah, ekonomi, politik, undang-undang dan lain-lain ilmu sains dan sastera. Walaubagaimana pun ada perbezaan dalam pandangan di antara dua golongan manusia ini. Seorang muslim mempelajari setiap ilmu dengan pandangan yang benar dan tujuan yang baik. Dengan ilmunya itu dia mencari natijah yang sihat.
Dalam ilmu sejarah dia mengambil pelajaran dan pengalaman manusia zaman lampau dan mencari sebab-sebab bagi ketinggian bangsa-bangsa dan kejatuhannya. Dia bersungguh-sungguh mengenal sesuatu yang memberi manfaat yang betul di dalam kemajuan dan peradabannya. Dia mengambil faedah daripada tokoh-tokoh sejarah yang soleh dalam perbuatan dan perkataan mereka. Dia menjauhi apa saja yang boleh membinasakan bangsa-bangsa dan menbuang segala sebab yang menimbulkan bencana dan kelemahan.
Di dalam ekonomi, dia memilih cara-cara berusaha mencari kekayaan dan pembelanjaannya yang memberi manfaat kepada manusia, tidak terhad kepada sesuatu golongan sahaja malah melingkupi seluruh penduduk muka bumi.
Di dalam bidang politik, cita-citanya tertuju kepada pelingkupan bumi ini dengan asas-asas keselamatan, kesejahteraan, keadilan, kebaikan, kemuliaan dan maruah. Dia tidak berusaha memperbudakkan manusia dan menghina mereka. Dia tidak berusaha memeras mereka, sama ada pada peribadi atau seseuatu kelompok. Baginya kewibawaan alat-alat kerajaan dan pemerintahan adalah pekakas penenteram, kurnia Allah yang diperguna untuk membahagiakan hambaNya dan untuk kejayaan mereka seluruhnya.
Di dalam bidang undang-undang, pandangannya tertuju kepada penetapan hak dan kewajipan seluruh manusia dengan matlamat menegakkan keadilan, kejujuran dan seseorang tidak akan dizalimi dengan apa cara sekalipun.
Benar, jujur, memelihara diri dari pencemaran, takut pada Allah dan mengikut yang hak, semua itu adalah kumpulan pekerti seorang muslim. Dia tidak akan hidup di dunia ini melainkan dengan pengetahuan bahawa Allah Ta’ala adalah tuhan seluruh alam dan pemiik setiap yang ada padanya; dan bahawa apa yang ada padanya dan yang ada pada manusia datang daripada Allah; dan bahawa manusia tidak memiliki dirinya dan kekuatan tubuhnya; dan bahawa tiap sesuatu yang ada padanya adalah amanah daripada Allah yang tidak halal dipergunakan melainkan mengikut yang ditentukan oleh keredhaan Allah Ta’ala; dan bahawasanya Allah memperhati pelaksanaan amanah ini dan akan membuat perhitungan seteliti-telitinya pada hari yang tiada disangsikan lagi.
Muhasabahlah diri sendiri, dan berfikirlah berkenaan pekerti lelaki seperti ini :
Dibersihkan hatinya daripada sangkaan yang salah, dibersihkan fikirannya daripada angan-angan yang jahat. Dipejamkan matanya daripada melihat kekejian. Ditulikan telinganya danipada mendengar yang buruk-buruk. Dipelihara lidahnya daripada memperkata sesuatu yang berlawanan dengan kebenaran. Dia memilih mati kelaparan daripada diisi perutnya dengan rezeki yang haram. Ditahan tangannya daripada berbuat zalim dan memperkosa hak orang lain. Dia tidak melangkah kakinya ke jalan yang jahat. Dia tidak mahu menundukkan kepalanya terhadap kebatilan meskipun disalib tubuhnya atau dikerat-kerat. Segala cita-cita dan hajatnya tidak dibawa ke alam nyata dengan melalui jalan kejahatan, kezaliman dan permusuhan. Yang paling dimuliakannya ialah yang kebenaran, berkata betul dan berlaku jujur. Dia tidak kedekut terhadap diri dan hartanya pada jalan yang hak. Dalam pandanganya, yang paling dimurkai ialah kezaliman, dusta dan khianat. Dia tidak rela mengguna sifat-silat ini dan tidak mahu memilih jalan ini disebabkan takut mudharat menimpa dirinya atau mengharapkan manfaat bagi dirinya.
Orang seperti ini juga akan berjaya mencapai kemenangan dunia.
Benar. Tidak ada orang di dunia ini yang mempunyai kemuliaan, kehormatan, kelebihan dan ketinggian lebih hebat daripadanya, kerana kepalanya tidak tertunduk, tangannya tidak terhulur melainkan pada Allah sahaja. Mana ada alasan bagi kehinaan dan kerendahan untuk mencapainya.
Tiada seorang pun di dunia ini yang mempunyai kekuatan, keberanian dan ketangkasan lebih daripada orang seperti ini kerana tiada yang ditakutinya selain Allah. Ketangkasaannya tiada tertakluk kepada yang selainNya. Kekuatan manakah yang mampu menyelewengkannya daripada jalan lurus? Dan harta manakah yang sanggup membeli kekayaan imannya?
Tiada seorang pun di dunia ini yang lebih kaya dan lebih berharta daripadanya, kerana dia bukan mengejar dunia, dan bukan pula mengawal dindingnya yang fana dan bukan mengikut hawa nafsu. Dia merasa cukup dengan apa yang diusahakannya mengikut jalan yang benar. Dia tidak menoleh kepada kekayaan yang diharamkan. Dia meninggalkannya kerana menganggapnya hina dan ringan walaupun dihidangkan kepadanya berlonggok-longgok. Ini adalah kekayaan sifat memada dan ketenangan.
Tidak mungkin di dunia ini ada kekayaan yang lebih tinggi nilainya daripada itu.
Tiada di dunia ini seseorang yang dikasihi manusia lebih daripada dirinya, lebih mulia pada pandangan mereka, kerana dia menunaikan hak-hak yang sempurna kepada setiap orang, tiada dikuranginya sedikit pun. Dia berbuat baik kepada mereka, dan tak berbuat jahat kepada seorang pun. Dia memperjuangkan kebahagiaan mereka. Dia tidak mengharap balas dan terima kasih dari mereka. Semua itu dilakukan kerana dia mendekatkan diri kepada hati manusia. Dia menarik setiap orang untuk mengasihinya, menghormati dan memuliakannya.
Tiada seorang pun di dunia ini yang terkumpul dalam dirinya kepercayaan dan pegangan ada manusia lebih besar daripadanya, kerana dia tidak mengkhianati kepercayaan mereka, dan sentiasa menghadapi mereka dengan berkata benar dan berbuat baik. Dia menunaikan segala yang dijanjikannya kepada mereka dalam setiap keadaannya. Dia tidak pernah meminta ganti ke atas kebenaran dan kejujuran yang diberi kepada manusia. Dalam dirinya ada keyakinan bahawa Allah memperhatikannya, sehingga pun ke atas perkara-perkara yang tidak dilihat oleh sesiapa pun di dunia ini. Jangan ditanya lagi setakat mana cinta kasih manusia kepadanya, dan setakat mana pula mereka menjadikannya tempat bertanya bagi semua masalah mereka.
Apabila kita mengetahui semua riwayat hidup dan akhlak muslim seperti ini nescaya kita sendirinya menjadi yakin bahawa adalah mustahil seorang muslim itu hidup terhina di dunia bahkan tidak boleh tidak dia hidup dalam lingkungan yang mulia, kerana sifat-sifat yang telah dihiaskan oleh Islam kepada dirinya tidak mungkin dapat dikalahkan oleh sesuatu kekuatan paksaan di dunia ini selama lamanya.
Ini adalah pengalaman seorang hamba muslim dalam hidup dunianya. Adapun di akhirat Allah melingkupi dengan keredhaanNya. Dimasukkan ke dalam taman syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Untuknya disediakan segala pemuas nafsunya. Semua itu adalah balasan atas perbuatannya menunaikan amanah, dan kejayaannya dalam ujian yang ditempohnya di dunia.
Itulah kemenangan yang nyata abadi, yang dinikmati oleh hamba muslim di dunia dan di akhirat.
Inilah dia Islam. Agama manusia yang telah difitrahkan kepadanya. Ia tidak tertentu untuk sesuatu umat sahaja. Ia tidak tertentu untuk sesuatu rantau sahaja. Dan ia tidak tertentu untuk sesuatu masa sahaja. Semua orang yang mengenal Allah menganut agama itu, mematuhi undang-undangnya, melalui jalan yang lurus, setiap masa, bangsa dan rantau. Apakah seseorang itu menamakan agamanya dengan Islam, atau menyebutnya dengan nama yang lain sesuai dengan lidah kaumnya?
*Catatan Sang Pemikir : Berikut adalah terjemahan karangan as-Syaikh Abul-A'la al-Maududi (boleh kenali beliau di wikipedia)
No comments:
Post a Comment