Bid'ah hasanah. Apakah ada dalam urusan
agama sebagai apa yang dinamakan bid'ah hasanah?
Sering dikatakan bahawa membukukan al-Quran
dan al-Hadis itu sebagai bid'ah hasanah. Bila Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam yang mulia menyatakan, "Sesungguhnya setiap bid'ah itu saiyyiah (keji)" maka apakah mungkin
ada bid'ah lain dari bid'ah yang keji? Apakah ada apa yang dinamakan sebagai
bid'ah hasanah?
Dalam suatu perkara, apabila ada di sana dalil
yang boleh disandarkan, samada secara umum atau secara khusus apakah perkara
itu kita masih lagi mahu menamakannya sebagai bid'ah? Tetapi bid'ah hasanah.
Bila membukukan hadis itu ada petunjuk dari
syarak secara umum, maka mengapa kita menamakannya sebagai bid'ah, tetapi
hasanah? Bila kerja-kerja menyusun ilmu usulfiqh yang tidak ada pada zaman Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam dilakukan tetapi ada petunjuk dari syariat yang menganjurkan apakah
dapat kita katakan ia sebagai bid'ah?
Semua itu bukan bid'ah, samada menjadi hukum wajib atau mandu (sunat) atau apa sahaja. Ia bukanlah perkara yang
direka-reka dalam hal agama, tetapi ia memang ada di dalam agama.
Mengatakan sesuatu yang memang ada petunjuknya
di dalam agama sebagai bid'ah baik dikatakan sebagai hasanah atau apa sahaja adalah
suatu perkara yang ganjil dan pelik. Kerana bid'ah dan tidak bid'ah adalah dua
perkara yang saling bertolak ke belakang. Saling bertentangan yang tak mungkin
bersatu. Apabila ia memang sesuatu yang direka-reka dalam agama, maka ia adalah
bid'ah. Bid'ah hanya satu, iaitu dholalah (sesat). Bila ada petunjuknya maka ia bukanlah bid'ah.
Berikut ini adalah fatwa syeikh Yusof
al-Qardhawi berkaitan dengan bid'ah dan komentarnya mengenai pembahagian
bid'ah. Juga penjelasan di sekitar maksud sebahagian ulama membahagikan bid'ah
kepada beberapa macam.
===================================================================================================
Jawapan : Berlaku pertentangan pendapat antara
kalangan ulama tentang pembahagian bid'ah. Sebahagian mereka membahagikannya
kepada bid'ah hasanah dan bid'ah saiyyiah. Sebahagiannya pula menjadikan bid'ah
kepada lima bahagian seperti hukum syar'i. Semua pembahagian ini tidak ada
asalnya. Kerana hadis Sollallahu 'alaihi wasallam menyatakan : "Setiap bid'ah itu dhalalah."
Ia adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak berada di bawah mana-mana asal
atau sumber dari sumber-sumber tasyri' (pensyariatan) atau ia bukanlah perkara
yang ada dalilnya dari mana-mana dalil hukum.
Dr. Syeikh Yusof al-Qardhawi menyatakan :
Di sana sebahagian ulama membahagikan bid'ah
kepada : Hasanah dan Saiyyiah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya
kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak : Bid'ah wajib,
sunat, makruh, haram dan harus.
al-Imam as-Syatibi telah membahaskan masalah
ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau
berpendirian bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak
ditunjukkan oleh mana-mana dalil syari'i pun, malah pembahagian itu sendiri
saling bertolak-tolakan. Kerana hakikat bid'ah itu ialah sesuatu yang tidak
ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nas syarak
dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil
syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula
perkara berkenaan dikatakan bid'ah hasanah. Ia sebenarnya bukanlah bid'ah
hasanah tetapi perkara berkenaan telah pun masuk di bawah keumuman amal yang
diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan).
Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka
mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf,
menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bid'ah
wajib dan sebagai fardhu kifayah.
Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju
perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu
mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bid'ah hasanah. Kata
mereka, "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bid'ah dari sudut bahasa
sahaja. Yang kami kehendaki dengan bid'ah adalah bid'ah dari sudut syarak.
Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bid'ah.
Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bid'ah. Yang utama
adalah kita berpegang kepada al-Hadis yang mulia kerana hadis datang dengan lafaz
berikut dengan terang dan nyata : "Maka sesungguhnya setiap bid'ah itu
dholalah (menyesatkan)."
Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka
apabila dikatakan : "Setiap bid'ah itu dholalah" maka tidak perlulah
kita katakan lagi : "Bid'ah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang
wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah
tidak perlu.
Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa
yang telah disabdakan oleh Sollallahu 'alaihi wasallam di dalam hadisnya : "Maka sesungguhnya
setiap bid'ah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bid'ah sebagaimana
yang telah ditahqiq oleh al-Imam as-Syatibi : "Bid'ah ialah jalan di dalam
agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya
dari syarak, tidak juga dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, Qias, Mashlahah Mursalah dan tiada di kalangan fuqaha' yang menyatakan dalil mengenainya.
*Catatan Sang Pemikir : Berikut adalah jawapan Dr. Yusof al-Qardhawi mengenai bid'ah, terrakam pada 23 Januari 2003, di Jordan.
No comments:
Post a Comment