الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة وهو خلق وقوة أو
رحمة وعدالة وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء وهو مادة وثروة أو كسب وغنى وهو جهاد ودعوة
أو جيش وفكرة كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.
Usul ini menegaskan tentang hakikat Islam yang penting iaitu 'Kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan'. Hakikat ini amat jelas kepada orang yang mempunyai penglihatan manakala dalil-dalilnya amat banyak dari Kitab dan Sunnah. Walaupun begitu, hakikat ini dipandang ganjil oleh kebanyakan umat Islam ketika Imam Hasan al-Banna memulakan dakwahnya.
Ia dipandang ganjil oleh sesetengah persatuan Islam. Mereka tidak menaskan bahawa dasar-dasar, matlamat dan ciri-cirinya di atas kesyumulan itu dan tidak menggambil wasilah-wasilah yang menggambarkan bahawa mereka mahu merealisasikannya di alam nyata. Ia dipandang ganjil oleh parti-parti politik kerana mereka memisahkan agama dari politik dan menganggap bahawa kedua-duanya adalah berlawanan dan tidak boleh bertemu.
Ia dipandang ganjil oleh sesetengah ulamak walaupun dalil-dalil kesyumulan itu ada di tangan mereka dan terbentang luas di depan mata mereka. Tetapi nas-nas itu tidak mendapati hati-hati yang memahaminya atau bumi yang subur untuk ia tumbuh dan berbuah. Di tengah kemelut keganjilan ini, al-Imam asy-Syahid menjelaskan tentang hakikat ini agar perhatian umat tertumpu kepada perkara tersebut. Beliau menggesa mereka agar menukarkannya kepada realiti yang amali. Beliau telah mencurahkan tenaga yang banyak untuk menanam hakikat ini dalam dalam jiwa-jiwa umat dan memujuk mereka agar menerimanya. Sesiapa yang memerhatikan keadaan umat yang kehilangan punca pada waktu yang bersejarah tersebut akan mengetahui nilai usul ini dan bahaya kehilangannya.
Antara perkara yang menyerlahkan tentang nilai usul ini dalam tempoh yang penuh kemelut itu ialah fahaman buruk sekularisma telah meresap masuk ke dalam fikiran dan hati golongan intelektual yang terdiri dari sesetengah mahasiswa universiti, penulis dan penyair. Fahaman sekularisma mula bersarang dalam golongan ini, lalu mereka mengingkari kesyumulan Islam dan membataskan Islam dalam ruang lingkup syiar-syiar ibadat semata-mata, tidak lebih dari itu. Bagi mereka Islam tidak ada hubungan dengan politik, ekonomi, sosial dan semua aspek kehidupan. Umat terus tertidur dengan alunan itu, sehinggalah datang al-Imam asy-Syahid mengejutkan mereka dan menyeru mereka agar bangkit dan bergerak untuk mengamalkan Islam bermula dari bersiwak hinggalah kepada berjihad. Beliau mengajak mereka meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar tanpa mengubah atau menukar ganti, tanpa mengurang atau menambah.
Dalil-dalil kesyumulan
Di sana ada terdapat dalil-dalil umum tentang kesyumulan Islam dalam semua perkara dan dalil-dalil lain secara terperinci. Antara dalil umum ialah firman Allah Subhanahu wata'ala :
"Dan Kami turunkan Kitab kepada kamu dengan menerangkan setiap sesuatu." [an-Nahl : 89]
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Qabilah Bani Syaiban bin Tha'labah ketika memperkenalkan diri baginda dalam berdakwah kepada qabilah-qabilah di Mekah, maksudnya :
"Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran. Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut." [Sirah Nabawiyyah Ibnu Kathir : 2/163-169]
"Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran. Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut." [Sirah Nabawiyyah Ibnu Kathir : 2/163-169]
Apabila kita melihat kepada al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah, kita dapati banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang aqidah, ibadat, akhlak, berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wata'ala dan kehakiman, jihad dan perjanjian, hal ehwal harta benda dan perniagaan serta berbagai-bagai bidang kehidupan. Firman Allah :
"Diwajibkan ke atas kamu qisas (bunuh balas) dalam (kes) orang yang mati dibunuh." [al-Baqarah : 178]
"Diwajibkan ke atas kamu berpuasa." [al-Baqarah : 183]
"Diwajibkan ke atas kamu apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat secara baik." [al-Baqarah : 180]
"Diwajibkan ke atas kamu berperang." [al-Baqarah : 216]
"Apabila kamu bermu'amalah (seperti berjual beli, berhutang piutang atau sewa-menyewa dan sebagainya) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya." [al-Baqarah : 282]
"Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." [al-Baqarah : 275]
"Dan hendaklah kamu memutuskan hukuman di antara mereka dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu." [al-Maidah : 49]
Allah telah mengingkari sesiapa yang mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan firmanNya :
"Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab seksa yang amat pedih." [al-Baqarah : 85]
Adakah cukup dengan kita hanya mengakui tentang kesyumulan Islam tanpa beramal dengannya? Setiap orang yang melihat kepada petunjuk Rasulullah dan sirah salafusoleh, didapati mereka beriman dengan kesyumulan Islam dan mempraktikkannya. Mereka mengambil wasilah-wasilah yang terdaya untuk mengubah kefahaman ini kepada realiti yang amali, yang mempunyai keperibadian, bukannnya terbatas kepada serban di atas kepala dan iman yang tersembunyi di dalam hati. Sesiapa yang mengakui kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan, kemudian beliau membataskan kegiatannya dalam beberapa aspek sahaja, dia mempunyai beberapa keadaan :
* Jika kemampuannya tidak cukup untuk melaksanakan aspek-aspek yang lain, maka hendaklah dia membantu orang lain yang beramal ('aamilin) dengan kesyumulan dengan sedaya upaya yang mungkin.
* Jika dia menghalang mereka dan menganggap bahawa aspek yang dilaksanakannya sudah memadai, serta tidak menghulurkan bantuan maka tidak syak lagi dia adalah tercela.
* Jika kemampuannya mengizinkan untuk memberi saham amali, dan dia hanya berpada dengan satu aspek sahaja kerana mementingkan keselamatan dan kesenangan dan tidak mahu berpenat tenaga, maka dia tidak selamat dan tidak mendapat kesenangan.
* Sesungguhnya berdakwah kepada kefahaman yang syamil dan beramal dengannya dan mengakuinya adalah asas dan selainnya adalah kecuaian.
* Jika tidak, tolong beritahu kepadaku wahai saudara, adakah kita telah menunaikan hak dengan sebenar benarnya jika kita hanya berpada dengan mengetahui dan mengakuinya tanpa beramal dan berdakwah dengannya?
al-Imam asy-Syahid telah menjelaskan usul ini dan menerangkannya kepada setiap orang yang mempunyai kefahaman dalam banyak risalahnya. Beliau berkata dalam risalah muktamar kelima di bawah tajuk : Islam Ikhwan Muslimin :
"Wahai saudara, izinkan saya menggunakan ungkapan ini. Saya tidak bermaksud bahawa Islam Ikhwan Muslimin adalah Islam yang baru, yang bukan dibawa oleh Saidina Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam dari tuhannya. Saya maksudkan bahawa kebanyakan umat Islam di kebanyakan zaman telah mencabut sifat-sifat, ciri-ciri dan batas-batas dari Islam mengikut kemahuan masing-masing. Mereka mempergunakan keanjalan dan keluasannya secara buruk. Sedangkan keanjalan dan keluasan itu adalah mempunyai hikmat yang tinggi. Mereka bertelingkah hebat dalam memahami makna Islam dan menanamkan gambaran Islam yang bermacam-macam di dalam jiwa anak-anak mereka, samada ianya hampir, jauh atau bertepatan dengan Islam pertama yang dibawa oleh Rasulullah dan para sahabatnya."
Di antara manusia ada yang memandang bahawa Islam hanya terbatas pada ibadat-ibadat zahir sahaja. Jika dia menunaikannya atau melihat ada orang melaksanaknnya, beliau berpuas hati dan mengira bahawa dia telah sampai ke puncak Islam. Inilah makna yang difahami secara meluas di kalangan umat Islam. Ada di antara mereka yang memandang bahawa Islam hanya terbatas kepada berakhlak mulia, rohani yang bersih, memberi santapan falsafah kepada fikiran dan roh serta menjauhkan diri dari daki-daki material. Ada pula yang Islamnya hanya terhenti kepada perasaan takjub kepada makna-makna Islam yang hidup dan amali ini. Dia tidak memikirkan perkara lain. Ada golongan yang memandang bahawa Islam adalah sejenis aqidah yang diwarisi, amalan-amalan yang tradisi yang tidak diperlukan dan tidak boleh menjadi maju. Mereka menjadi jemu dengan Islam dan setiap perkara yang mempunyai hubung kait dengannya. Saudara boleh mendapati makna ini secara jelas di dalam jiwa orang yang berpendididkan barat yang tidak berpeluang untuk memahami hakikat Islam. Mereka tidak mengetahui sedikit pun tentang Islam, atau mengetahuinya dengan gambaran yang tercemar hasil dari pergaulannya dengan oang yang tidak mengamalkan Islam secara baik dari kalangan umat Islam.
Di bawah jenis-jenis ini, terdapat lagi jenis-jenis lain yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang Islam. Hanya segolongan kecil sahaja di kalangan manusia yang memahami gambaran Islam yang sempurna dan jelas yang menyusun semua makna-makna ini. Gambaran yang bermacam-macam terhadap Islam di dalam jiwa manusia ini menjadikan mereka berselisih hebat dalam memahami fikrah Ikhwan Muslimin. Antara manusia ada yang menggambarkan bahawa Ikhwan Muslimin adalah "tarikat sufi" yang mengambil berat dalam mengajar manusia tentang zikir-zikir, jenis-jenis ibadat dan perkara-perkara lain yang menjadikan seseorang itu ikhlas dan zuhud. Ada pula yang menyangka bahawa Ikhwan adalah satu jamaah yang suka berbahas tentang masalah-masalah fiqh. Mereka hanya mementingkan untuk berpegang dengan beberapa hukum-hakam, berdebat padanya, mempertahankanya dan mengajak manusia agar berpegang kepada hukum-hukum tersebut. Mereka berbahas atau berdamai dengan orang yang tidak menerimanya. Sedikit sahaja di kalangan manusia yang bercampur dan bergaul dengan Ikhwan Muslimin, yang tidak hanya mendengar semata-mata dan tidak mencabut dari Ikwan Muslimin Islam yang difahami oleh mereka. Lalu golongan ini mengetahui hakikat Ikhwan dan memahami dakwah mereka secara ilmu dan amali. Kerana itu , saya suka bercakap kepada tuan-tuan yang mulia secara ringkas tentang makna Islam dan gambarannya pada jiwa Ikhwan Muslimin sehingga ia menjadi asas dakwah kita, kita berbanggga kerana bersamanya dan mengambil bekalan daripadanya secara jelas dan nyata.
Kami meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah syumul dan menyusun hal ehwal kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Orang yang menyangka bahawa pengajaran ini hanya meliputi aspek ibadat dan rohani semata-mata adalah salah dalam sangkaan tersebut. Ini kerana Islam adalah aqidah dan ibadat, watan dan warganegara, agama dan negara, rohani dan amal serta al-Quran dan pedang. al-Quran al-Karim menyebut tentang kesemua perkara tersebut dan menganggapnya sebagai 'otak dan hati Islam' serta mewasiatkan agar melaksanakan kesemua perkara tadi dengan sebaik-baiknya. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah :
Kami meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah syumul dan menyusun hal ehwal kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Orang yang menyangka bahawa pengajaran ini hanya meliputi aspek ibadat dan rohani semata-mata adalah salah dalam sangkaan tersebut. Ini kerana Islam adalah aqidah dan ibadat, watan dan warganegara, agama dan negara, rohani dan amal serta al-Quran dan pedang. al-Quran al-Karim menyebut tentang kesemua perkara tersebut dan menganggapnya sebagai 'otak dan hati Islam' serta mewasiatkan agar melaksanakan kesemua perkara tadi dengan sebaik-baiknya. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah :
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu." [al-Qasas : 77]
Saudara juga membaca dalam al-Quran dan juga di dalam solat firman Allah tentang aqidah dan ibadat :
"Dan mereka tidak diperintah kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus. Jauh dari syirik dan kesesatan dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus." [al-Bayyinah : 5]
Saudara juga membaca firman Allah tentang kerajaan, kehakiman dan politik :
"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." [an-Nisak : 65]
"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." [an-Nisak : 65]
Saudara juga membaca firman Allah tentang hutang dalam perniagaan :
"Wahai orang yang beriman, apabila kamu berhutang dalam tempoh yang tertentu, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu membacakan apa yang ditulisnya itu, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu membacakannya, maka hendaklah walinya membacakannya secara jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang lagi mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil, dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik sedikit mahupun banyak sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah hutang itu), kecuali jika ia merupakan perniagaan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli, dan janganlah penulis dan saksi saling sulit-menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian itu), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasiqan pada dirimu. Dan bertaqwalah kepada Allah, Allah mengajarmu, dan Allah maha Mengetahui segala sesuatu." [al-Baqarah : 282]
Saudara juga membaca firman Allah tentang jihad dan peperangan :
"Dan apabila kamu berada di tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hedak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat). Apabila selesai satu rakaat, maka diselesaikan sendiri satu rakaat lagi, dan Nabi duduk menunggu golongan yang kedua maka mereka hendaklah pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum sembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu. Dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata. Orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus. Dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu memang sakit dan bersiap sedialah kamu." [an-Nisak : 102]
Banyak lagi ayat-ayat yang menjelaskan tentang perkara-perkara di atas. begitu juga dalam adab-adab umum dan hal ehwal masyarakat. Begitulah Ikhwan berhubung dengan Kitab Allah, meminta ilham dan petunjuk darinya. Mereka meyakini kesyumulan Islam ini dan Islam mesti menguasai dan mewarnai setiap aspek kehidupan. Kehidupan mesti terikat dengan hukum-hukum Islam, berjalan dalam landasan prinsip dan pengajarannya dan merujuk kepadanya jika umat mahu menjadi umat Islam yang sebenar. Tetapi jika hanya Islam di sudut ibadat semata-mata dan meniru orang bukan Islam dalam sudut-sudut lain, maka ia bukanlah umat Islam yang sebenar. Mereka samalah dengan umat yang disebut di dalam firman Allah :
"Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada Hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab seksa yang amat pedih, dan Allah tidak lali terhadap apa yang mereka kerjakan." [al-Baqarah : 85]
Dalam menerangkan tentang kesyumulan Islam untuk kesemua manusia dan pada semua masa, al-Imam asy-Syahid berkata, "Ikhwan Muslimin meyakini bahawa Islam adalah agama umum yang menyusun setiap aspek kehidupan sesuai untuk semua bangsa dan umat, pada setiap masa dan zaman. Islam datang dengan membawa ajaran yang lebih sempurna dan tinggi dari menerangkan juziyyah kehidupan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang bersifat keduniaan semata-mata. Islam hanya meletakkan kaedah umum (kulli) dalam aspek keduniaan ini dan menunjukkan kepada manusia kepada jalan amali untuk memperaktik dan berjalan di dalam sempadannya. Untuk menjamin kebenaran dalam praktik ini, Islam memberi perhatian penuh terhadap mengubat hati manusia. Ini adalah kerana hati merupakan sumber sistem, alat berfikir dan menggambarkan sesuatu. Islam menunjukkan kepada hati, ubat yang mujarab yang membersihkannya dari belenggu hawa nafsu, menyucikannya dari daki-daki mencari keuntungan dan matlamat dunia, memimpinnya ke jalan yang sempurna dan mulia serta menegahnya dari kezaliman, kecuaian dan permusuhan.
Apabila jiwa sudah betul dan bersih, maka setiap perkara yang lahir daripadanya adalah baik dan cantik. Sudah menjadi buah mulut orang bahawa keadilan bukannya pada nas undang-undang, tetapi pada diri hakim. Kadang-kadang ada undang-undang yang sempurna dan adil diberikan kepada hakim yang mengikut hawa nafsu dan mencari kepentingan. Lalu dia melaksanakannya secara zalim dan tidak adil. Kadang-kadang ada undang-undang yang zalim dan mempunyai kekurangan diberikan kepada hakim yang mulia dan adil yang tidak menurut hawa nafsu dan tidak mencari keuntungan. Lalu beliau melaksanakannya secara adil, penuh kebaikan dan rahmat. Dari sini, jiwa manusia sangat diambil berat di dalam kitab Allah. Jiwa-jiwa generasi pertama yang diwarnai oleh Islam menjadi contoh insan yang kamil. Kerana itu, tabiat Islam sesuai dengan setiap zaman dan umat dan mempunyai ruang yang luas untuk mencapai kejayaan dan keperluan manusia. Kerana itu juga Islam tidak menolak sama sekali untuk mengambil faedah dari setiap peraturan yang baik yang tidak bercanggah dengan kaedahnya yang menyeluruh dan dasarnya yang umum."
Buah dari kefahaman yang syumul terhadap Islam, al-Imam asy-Syahid berkata, "Hasil daripada kefahaman am yang syumul terhadap Islam di sisi Ikhwan Muslimin ini, fikrah mereka merangkumi setiap aspek pengislahan umat dan kesemua unsur-unsur fikrah pengislahan terdapat di dalamnya. Setiap pengislah yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mendapati cita-citanya ada di situ, dan di situ juga tempat bertemunya setiap harapan pencinta islah iaitu mereka yang mengetahui dan memahami tujuannya. Tidak mengapa jika saudara mengatakan bahawa Ikhwan Muslimin adalah :
1. Dakwah Salafiah : Kerana mereka menyeru untuk kembali kepada Islam dengan maknanya yang murni dari kitab Allah dan sunnah RasulNya.
2. Tarikat Sunnah : Kerana mereka menetapkan ke atas diri mereka untuk beramal dengan sunnah Rasulullah dalam setiap perkara, khasnya dalam masalah aqidah dan ibadat sekadar yang terdaya.
3. Hakikat Sufi : Kerana mereka mengetahui bahawa asas kebaikan ialah kebersihan jiwa, kesucian hati, berterusan dalam beramal, tidak terpengaruh dengan makhluk, cinta kerana Allah dan terikat dengan kebaikan.
4. Institusi politik : Kerana mereka menuntut pengislahan kerajaan dari dalam, mengkaji semula hubungan diplomatik di antara umat Islam dengan umat-umat yang lain dari luar serta mendidik rakyat dan bangsa dengan kemuliaan.
5. Kumpulan Riadhah : Kerana mereka mengambil berat terhadap tubuh badan mereka, mengetahui bahawa mukmin yang kuat lebih baik dari mukmin yang lemah, Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya :
"Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu." [Fathul Bari : 4/256 no: 1975]
Semua taklif-taklif Islam tidak dapat ditunaikan secara sempurna dan baik melainkan dengan tubuh badan yang kuat. Menunaikan solat, puasa, zakat dan haji umpamanya, memerlukan tubuh badan yang mampu memikul bebanan pekerjaan, usaha dan perjuangan mencari rezeki. Mereka juga memberi perhatian dalam membentuk pasukan-pasukan riadhah yang menyaingi (mungkin mengatasi) kelab-kelab sukan yang hanya mementingkan riadhah tubuh badan semata-mata.
"Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu." [Fathul Bari : 4/256 no: 1975]
Semua taklif-taklif Islam tidak dapat ditunaikan secara sempurna dan baik melainkan dengan tubuh badan yang kuat. Menunaikan solat, puasa, zakat dan haji umpamanya, memerlukan tubuh badan yang mampu memikul bebanan pekerjaan, usaha dan perjuangan mencari rezeki. Mereka juga memberi perhatian dalam membentuk pasukan-pasukan riadhah yang menyaingi (mungkin mengatasi) kelab-kelab sukan yang hanya mementingkan riadhah tubuh badan semata-mata.
6. Perikatan ilmiah dan pengetahuan : Kerana Islam mewajibkan setiap muslim dan muslimat agar menuntut ilmu, dan kerana kelab-kelab Ikhwan pada realitinya ialah sekolah-sekolah untuk pembelajaran dan pengetahuan, kolej-kolej untuk mendidik tubuh badan, akal dan roh.
7. Syarikat Ekonomi : Kerana Islam mengambil berat terhadap pentadbiran harta benda dan cara mendapatkannya. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya :
"Sebaik-baik harta yang baik ialah bagi orang yang soleh." [Ahmad : 4/197]
Baginda bersabda lagi, maksudnya ;
"Sebaik-baik harta yang baik ialah bagi orang yang soleh." [Ahmad : 4/197]
Baginda bersabda lagi, maksudnya ;
"Sesiapa yang berada di waktu petang dalam keadaan dia penat kerana bekerja, dia mendapat keampunan." [Majma' az-Zawaaid : 4/66 - Kitab Jual Beli - Bab bekerja dan berniaga - dinisbahkan kepada at-Tabrani dalam kitab al-Ausat]
Dalam hadis yang lain baginda bersabda, maksudnya :
"Sesungguhnya Allah kasih kepada orang mukmin yang bekerja." [Majma' az-Zawaaid : 4/65 - Kitab Jual Beli - Bab pekerjaan dan perniagaan - dinisbahkan kepada at-Tabrani dalam kitab al-Kabir dan al-Ausat]
8. Fikrah kemasyarakatan : Kerana mereka memberi perhatian dalam merawat masyarakat Islam serta cuba mencari jalan-jalan yang boleh mengubat dan menyembuhkan penyakit umat.
Beginilah kita melihat tentang kesyumulan makna Islam. Fikrah kita meliputi kesyumulan aspek-aspek islah dan menumpukan kegiatan-kegiatan Ikhwan dalam setiap aspek ini. Kalau orang lain hanya menumpukan kepada satu sudut sahaja, Ikhwan pula menumpukan kepada kesemua sudut ini dan mengetahui bahawa itu semua adalah tuntutan Islam. Dari sini mungkin dari segi zahirnya, kegiatan-kegiatan Ikhwan dipandang oleh manusia sebagai bertentangan di antara satu sama lain. Padahal ianya tidak begitu. Kadang-kadang orang dapat melihat seorang akh muslim berada di mihrab dalam keadaan penuh khusyuk, tekun, menangis dan merendah diri. Tidak lama kemudian saudara melihat dia adalah seorang penceramah yang menyampaikan pengajaran dan peringatan yang mengetuk gegendang telinga. Selepas itu saudara melihat dia adalah seorang ahli sukan yang tangkas, membaling bola, berlatih berlari atau berenang. Selang beberapa ketika dia berada di kedai atau di tempat kerjanya melaksanakan pekerjaan dengan penuh amanah dan ikhlas. Gambaran-gambaran ini secara zahirnya dilihat orang sebagai bertentangan, tidak boleh bergabung di antara satu sama lain. Kalaulah mereka mengetahui bahawa itu semua dihimpunkan oleh Islam, diperintah dan digalakkan oleh Islam, nescaya perkara-perkara tadi boleh bercantum dan bergabung. Bersama kesyumulan ini Ikhwan menjauhkan diri dari setiap perkara yang boleh dikritik dalam sudut-sudut tadi sebagaimana mereka menjauhi dari taksub kepada gelaran. Ini adalah kerana Islam telah menghimpunkan mereka di bawah satu gelaran, iaitu saudara-saudara muslim (Ikhwan Muslimin)."
Beginilah kita melihat tentang kesyumulan makna Islam. Fikrah kita meliputi kesyumulan aspek-aspek islah dan menumpukan kegiatan-kegiatan Ikhwan dalam setiap aspek ini. Kalau orang lain hanya menumpukan kepada satu sudut sahaja, Ikhwan pula menumpukan kepada kesemua sudut ini dan mengetahui bahawa itu semua adalah tuntutan Islam. Dari sini mungkin dari segi zahirnya, kegiatan-kegiatan Ikhwan dipandang oleh manusia sebagai bertentangan di antara satu sama lain. Padahal ianya tidak begitu. Kadang-kadang orang dapat melihat seorang akh muslim berada di mihrab dalam keadaan penuh khusyuk, tekun, menangis dan merendah diri. Tidak lama kemudian saudara melihat dia adalah seorang penceramah yang menyampaikan pengajaran dan peringatan yang mengetuk gegendang telinga. Selepas itu saudara melihat dia adalah seorang ahli sukan yang tangkas, membaling bola, berlatih berlari atau berenang. Selang beberapa ketika dia berada di kedai atau di tempat kerjanya melaksanakan pekerjaan dengan penuh amanah dan ikhlas. Gambaran-gambaran ini secara zahirnya dilihat orang sebagai bertentangan, tidak boleh bergabung di antara satu sama lain. Kalaulah mereka mengetahui bahawa itu semua dihimpunkan oleh Islam, diperintah dan digalakkan oleh Islam, nescaya perkara-perkara tadi boleh bercantum dan bergabung. Bersama kesyumulan ini Ikhwan menjauhkan diri dari setiap perkara yang boleh dikritik dalam sudut-sudut tadi sebagaimana mereka menjauhi dari taksub kepada gelaran. Ini adalah kerana Islam telah menghimpunkan mereka di bawah satu gelaran, iaitu saudara-saudara muslim (Ikhwan Muslimin)."
No comments:
Post a Comment