[ Pejuang Pena ]

Sunday, November 13, 2011

Qadhak dan qadar.



Assalamualaikum.

Sekalian makhluk di bumi ini termasuk saya, Sang Pemikir dan semua Sang Pengembara tidak akan ditimpa sebarang ujian melainkan semuanya telah termaktub dalam rahsia Allah sebelum kita diwujudkan lagi. Selesai sudah ketetapan dicatit, lembaran telah terangkat, suratan hidup telah terbuku, dan ketentuan siap ditulis. Tiada sesuatu dapat menimpa kita kecuali apa yang telah dicatat sejak azali. Ujian datang bukanlah untuk menyalahkan kamu dan apa-apa yang menyalahkan kamu bukanlah musibah semata-mata.

                 
Sekiranya pegangan ini terpahat padu dalam jiwa kita dan melekat kuat dalam sanubari, maka segala ujian yang mendatang akan berubah kepada kurniaan, cubaan akan bertukar menjadi pemberian, dan setiap peristiwa dipandang sebagai anugerah dan alamat yang baik. Lihat hadis Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari :

من يرد الله به خيرا يصب منه
Maksudnya : Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan dia bakal didatangi pelbagai ujian.

Allah tidak akan sengaja bebankan kita dengan penyakit, kematian anak, kerugian wang, mahupun kebakaran rumah kerana Dia telah tetapkan qadhak dan qadar. Kita anggap begitu sahaja dan segala pilihan terbaik kita serah padaNya. Moga-moga kita dapat ganjaran pahala dan dosa-dosa diampunkan.
                
Beruntunglah orang yang ditimpa musibah jika mereka sulami kesabaran dan penyerahan kepada tuhan yang maha Penguasa, Pemberi, Pemilik, dan Pelimpah nikmat. Ingatlah di akhirat nanti, tidak akan dipersoal urusan Allah bahkan urusan merekalah (Sang Pemikir dan Sang Pengembara) yang akan ditanya.
                
Selagi mana kita tidak beriman dengan qadhak dan qadar selagi itulah tidak tenang urat saraf (kesabaran), tidak tenteram kebimbangan jiwa, dan tidak hilang keraguan hati. Perintah Allah sudah dikunci bertepatan dengan keupayaan masing-masing. Janganlah kita kesali diri, jangan sangka dalam keupayaan mempertahankan tembok akan sewenang-wenang runtuh, takungan air akan tumpah, pengawasan emosi akan rapuh, dan pemeliharaan rapi terhadap kaca akan pecah (semua ini adalah majazi=kiasan). Semua itu tak munasabah pada pandangan kita. Qadar akan dipenuhi, qadhak akan ditunaikan, dan suratan akan terlaksana. Diberitakan dalam kitab suci al-Quran, surah al-Kahfi ayat 29 :

  فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ
Maksudnya : Jika kamu mahu beriman, berimanlah. Dan jika kamu mahu kufur, kufurlah. (terhadap qadhak dan qadar)
                
Serahkan diri kita pada ketentuan taqdir sebelum dikepung oleh bala tentera ketidakpuasan, rungutan, dan keluhan hati. Pasrahlah pada pelaksanaan qadhak sebelum kita dibanjiri bah penyesalan. Betulkan semula situasi. Seandainya kita pernah berusaha bersungguh-sungguh dan berikhtiar pada sesuatu perkara tapi tetap juga berlaku sesuatu yang kita telah berwaspada terhadapnya, terimalah hakikat bahawa memang itulah perkara yang dikehendaki berlaku. Insafi hadis yang dipetik dari riwayat Imam Muslim, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

فإن أصابك شيء فلا تقل : لو أني فعلت كذا كان كذا وكذا ولكن قل : قدر الله وما شاء فعل، فإن "لو" تفتح عمل الشيطان

Maksudnya : Jika kamu ditimpa sesuatu musibah janganlah berkata, “Kalaulah aku buat begini pasti akan jadi sekian sekian” tapi katakanlah, “Allah telah tetapkan, apa yang Dia mahu pasti berlaku.” Sesungguhnya ‘kalau’ itu membuka pintu laluan bagi syaitan durjana.

No comments:

Post a Comment