[ Pejuang Pena ]

Monday, November 7, 2011

Sabar menghadapi kerenah suami atau isteri.


Sesungguhnya Allah murka kepada empunya perut yang terlalu penuh dengan makanan sehingga udara tak boleh memasukinya, walaupun makan itu dihalalkan oleh syarak. Begitu juga dalam soal Talaq. Diriwayatkan, ada seorang ulama yang bernama Abu Muhamad bin Abi Zaid yang juga terkenal dengan banyak ilmu dan kuat berpegang dengan agama. Bagaimanapun isterinya seorang yang buruk akhlak. Ulama itu  tetap bersabar walaupun isterinya menyakitkan hatinya.

Orang ramai mempertikaikan pendiriannya mempertahankan isterinya yang buruk akhlak itu. Ulama itu berkata : "Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki yang dikurniakan nikmat, sihat tubuh badan, dan dikurniakan ilmu oleh Allah. Boleh jadi Allah kurniakan isteri seumpama itu untuk menghapuskan dosa yang aku lakukan yang tidak diketahui olehku. Aku bimbang, aku diturunkan bala dengan perempuan yang lebih jahat darinya jika aku menceraikannya."

Oleh itu seorang mukmin hendaklah bersabar dalam perkara ini dan bergaullah dengan isteri dengan cara yang baik. Jika kedua-dua pihak bersabar terhadap akhlak buruk pasangan masing-masing, maka rumah tangga akan menjadi aman dan bahagia kecuali dalam masalah tidak boleh ditolak ansur seperti kufur, jahiliyyah atau zina. Ini satu hal yang lain. Yang dibicarakan di sini ialah soal hubungan suami dan isteri seharian. Misalnya, suami buat silap sedikit sahaja manakala si isteri bermasam muka yang melampaui batas.


Satu peristiwa di zaman Saidina Umar menjadi khalifah,  seorang lelaki ada mempunyai seorang isteri yang perangainya suka berleter. Lalu dia berhasrat untuk mengadu hal itu kepada Saidina Umar dan berkunjunglah dia ke rumah Saidina Umar. Ketika sampai di hadapan rumah Amirul Mukminin, terdengar suara isterinya berleter kepadanya. Lelaki berkenaan berpusing ke belakang untuk pulang.

Namun dia dipanggil oleh Umar dan bertanyakan tujuan lelaki itu datang ke rumahnya. Lelaki berkenaan menceritakan tujuannya iaitu ingin mengadu perangai isterinya yang suka berleter. Bila dia datang ke rumah Saidina Umar, didapati isteri Umar sama perangainya dengan isterinya. Saidina Umar mengharapkan lelaki berkenaan banyak bersabar menghadapi kerenah isterinya.

Kisah ini menjelaskan kepada kita betapa Saidina Umar yang mempunyai sifat bengis, sehingga ada kalanya beliau mahu memancung leher golongan munafiq tetapi dengan isteri, anak, kaum kerabat dan rakyatnya dia bersifat lemah lembut dan berakhlak mulia bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud :

"Bergaullah kamu dengan mereka sebaik-baiknya." (Surah an-Nisa'ayat 19)

Firman Allah yang bermaksud :

"Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an-Nisa'ayat 19)

Diriwayatkan ada seorang perempuan yang cantik berkahwin dengan seorang lelaki yang hodoh rupa parasnya lalu si isteri merenungi wajah suaminya beberapa ketika. Si suami bertanya : "Apakah gerangan sehingga kau merenungi wajahku sedemikian rupa?" Isteri menjawab : "Kurenungi wajahmu kerana aku merasai engkau dan aku akan menjadi ahli syurga Insya Allah. Kurenungi wajahmu yang kurang elok rupanya tetapi aku sabar atas kekurangan itu. Tetapi jika kau melihat wajahku yang cantik ini, bersyukurlah kepada Allah atas  kurniaan itu."

*Catatan Sang Pemikir : Berikut adalah tafsir al-Quran daripada surah an-Nisa' ayat 19 oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada hari Jumaat bersamaan 17 Ramadhan 1418/16 Januari 1998. Dan Sang Pemikir olah sedikit mengikut ayat yang dirasakan lebih enak.

No comments:

Post a Comment