[ Pejuang Pena ]

Monday, December 19, 2011

Pembaziran yang terhijab oleh kebaikan.


“Pembaziran apakah ini, wahai Sa’ad?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Apakah dalam berwudhu’ pun ada pembaziran wahai utusan Allah?” Sa’ad tidak pasti.
Hairan dengan pertanyaan Baginda itu.
“Malah jika kamu berwudhu’ di sungai sekali pun!” tegas Baginda.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegur perbuatan Sa’ad yang menggunakan air secara berlebihan. Ia tetap pembaziran tatkala melebihi keperluan. Niat dan nilai agama pada besarnya tuntutan berwudhu’, bukan justifikasi terhadap pembaziran tersebut.
Termenung saya.
Dalam wudhu’ ada pembaziran.
Apakah pembaziran juga boleh berlaku dalam kebaikan-kebaikan yang lain?
Pembaziran yang tidak kita sedari.
Terhijab oleh sangkaan kita bahawa kita sedang berbuat baik. Kebajikan.
“ Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [Al-Isra' 17: 27]
Pembaziran itu bukankah persaudaraan Syaitan? Tentu sahaja Syaitan menghias licik agar manusia tidak sedar dirinya sedang membazir. Menyangkakan ia sebuah kebaikan.
PEMBAZIRAN CERAMAH?
Teringat saya kepada kisah Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu.
Beliau memperuntukan hari Khamis untuk mengajar. Sesekali pada hari Isnin.
Tetapi jemaah yang hadir meminta beliau menjadikan kuliah tersebut setiap hari.
Kuliah yang sedap itu.
Tetapi Abdullah bin Mas’oud menolaknya. Biar pun manfaatnya kelihatan akan menjadi bertambah banyak dengan ilmu yang dikongsi, Ibn Mas’oud menolaknya.
Beliau tidak mahu jemaah menjadi jemu.
Menjemukan mereka yang mendengar, bukan Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah hafizahullah menegaskan di dalam buku beliau al-Rasul al-Mu’allim, salah satu daripada teknik mengajar yang diamalkan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai seorang guru, adalah mencegah kejemuan anak murid.
Tentu sahaja dalam hidup kita, ada pelbagai perkara yang perlu dilakukan. Kita kesuntukan masa. Sama ada kerja itu kita sudah kenal atau masih kekal dengan tanggapan ‘tak ada benda nak buat’, hakikatnya tanggungjawab kita sangat banyak. Namun kita peruntukkan masa yang besar untuk kuliah-kuliah agama.
Kuliah Subuh.
Kuliah Dhuha.
Kuliah Zohor.
Kuliah Asar.
Kuliah Maghrib.
Ceramah Perdana.
Kuliah Online.
Kita menganggap setiap satunya sebagai baik. Ia kuliah. Ia ceramah. Ia taman-taman Syurga. Ia jalan menuju Syurga.
Tetapi pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa kuliah-kuliah itu boleh menjadi sebuah pembaziran.
Pembaziran apabila kita gagal menjustifikasikan manfaatnya.
Sama ada pada yang mengajar, mengajar acuh tidak acuh.
Atau yang belajar, belajar acuh tidak acuh.
Yang mengajar tidak buat homework, tidak membuat persediaan, mengajar seperti melepaskan batok di tangga.
Yang belajar, hadir ke kuliah tanpa pensel dan kertas. Tanpa perakam. Bersandar di dinding, mendengar ceramah antara tidur dan jaga, sementara menunggu Isyak.
Bertahun-tahun rutin ini berlaku, kita tidak melakukan muhasabah terhadapnya.
Kata Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam membicarakan tentang Fiqh Keutamaan:
“Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun.”
Terkenang di zaman masjid tidak banyak ceramah. Kuliah-kuliah dicari, tumpuan banyak diberi kepada isi, biar pun bentuk penyampaian amat sederhana malah adakalanya hambar. Bukan mudah hendak mencari kuliah agama. Setiap satunya dirasakan begitu berharga. Di kala surau dan masjid hampir setiap malam penuh dengan kuliah, apakah manfaatnya semakin bertambah? Manfaat bukan pada bertambah TAHU, tetapi bertambah MAHU dan MAMPU terhadap kehidupan beragama.
Di era lambakan kuliah dah ceramah ini.
“Apakah dalam ceramah pun boleh berlaku pembaziran?”
“Malah jika kamu berjiran dengan ‘sepadang’ ustaz sekali pun!”
*Catatan Sang Pemikir : Artikel di atas diambil daripada www.saifulislam.com

No comments:

Post a Comment