[ Pejuang Pena ]

Saturday, December 17, 2011

Khilaf Drama Syria, 'al-Hasan, al-Husain, dan Muawiyah - Fitnah Terbesar'.



Salam penulisan semua bloggers budiman. Sang Pemikir hari ini nak celoteh sedikit mengenai drama kontrovesi hasil arahan seorang pengarah yang berasal dari Syria, ketika mana drama tersebut menjadi perselisihan umat Islam seluruh dunia pertengahan tahun 2011 lalu.

Insan yang dimaksudkan ialah Abdul Bari Abul Khair, seorang pengarah filem daripada Syarikat al-Maha, titik perselisihan dalam drama arahannya yang berjudul 'al-Hasan, al-Husain, dan Muawiyah - Fitnah Terbesar' (الفتنة الكبرى   الحسن والحسين ومعاوية) adalah kerana watak Ahlul-Bait seperti kedua-dua cucu Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam al-Hasan dan al-Husin, dan beberapa orang sahabat baginda seperti Mu’awiah bin Abi Sufian dilakonkan dengan penzahiran wajah oleh barisan pelakon terkenal dari seantero  negara Arab. Penerbit drama itu, Muhammad Sami al-‘Anzi berkata ketika temu bual di Channel Khalijiah bahawa pihaknya telah membuat perincian kajian mengenai drama tersebut, yakni ketepatan sejarah dan fakta, nukilan kata-kata yang sahih, juga mendapatkan kebenaran melalui fatwa; tidak kurang daripada 20 orang ulamak besar Ahli Sunnah dan Syiah. Beliau berkata drama yang dibuat sedaya upaya menepati syarak, fakta, dan seni agar penonton bersemangat dan tidak bosan seakan membaca buku sejarah.

Antara ulamak Ahli Sunnah yang terlibat ialah :
1.Syeikh Yusof al-Qardhawi, presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.
2.Syeikh Wahbah az-Zuhaili, profesor Universiti Damshiq.
3.Syeikh Qais bin Muhammad Ali Mubarak, anggota unit ulamak besar Arab Saudi.
4.Profesor Ahmad Halil, Ketua Hakim Jordan.
5.Syeikh Abdul Hay Yusof, timbalan presiden kesatuan ulamak Sudan.
6.Syeikh al-Qadhi Hamud al-Hattar, menteri Wakaf Yaman.
7.Profesor Hani bin Abdullah al-Khabir, hakim di Mahkamah Awam Mekah al-Mukarramah.

Manakala ulamak Syiah ialah :
1.al-‘Allamah Samahah as-Sayyid Muhammad Husain Fadhlullah.
2.al-‘Allamah as-Sayyid Ali al-Amin.

Rujukan teks disemak oleh ahli akademik dan para sejarawan dari pelbagai negara antaranya :
1.Profesor Ali as-Sollabi, Libia.
2. Profesor Muhammad al-Barzanji, Iraq.
3. Profesor Muhammad al-Mudkhil, Syria.
4. Profesor Khalid al-Ghaith, Arab Saudi.
5.Syeikh Hasan al-Husain, Bahrain

Sebahagian ulamak al-Azhar naik berang terhadap fatwa yang dikeluarkan sekalian ilmuan tersebut kerana ia bertentangan dengan fatwa al-Azhar asy-Syarif. Katanya, drama ini tersimpang jauh dari mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah yang melarang penjasadan (sama ada pada lakonan mahupun lukisan atau seumpama dengannya) sahabat besar Rasulullah dan Ahlul-Bait yang terpelihara. Namun Profesor Mahmud ‘Ashur, bekas wakil al-Azhar berkata bahawa pernyataan beberapa ulamak besar itu tidaklah bertujuan melawan keputusan fatwa al-Azhar, mereka cuma memberi pendapat hasil daripada kajian yang mereka percayai.

Sebelum ini pun al-Azhar tidak membuat apa-apa desakan terhadap  Iran yang menzahirkan watak Nabi Yusof menerusi filem ‘Yusof as-Sodiq’, begitulah kata Profesor Mustafa Ghalush, anggota Kumpulan Kajian Islam. Untuk makluman Pembloin, kontrovesi Iran lebih hangat apabila pernah menerbitkan filem yang menzahirkan watak alHasan dan al-Husain, Nabi Sulaiman, Maryam, dan Ashabul-Kahfi.

Menurut Muhammad Sami al-‘Anzi, drama yang telah dilakonkan secara langsung di pentas orkestra Turki ini akan diterjemahkan ke banyak bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Urdu, dan Bahasa Melayu.

Di bawah ini Sang Pemikir tinggalkan untuk tontonan Pembloin :

Trailer ]
Walaupun Sang Pemikir lebih dekat mengambil pendapat tidak boleh men'jasad'kan para nabi dan para sahabat besar, tidak salah kita menonton drama yang yang hampir menelan lapan juta dollar ini kerana pasti banyak manfaat dan tauladan dapat diambil dan dihayati. Moga-moga berbaloilah usaha keras mereka menghasilkan drama ini, jika ada dosa dan kesalahan harap terampun hendaknya. Sang Pemikir puji usaha mereka, pastinya sumbangan mereka amat besar berlandaskan niat yang baik.

Sang Pemikir harap filem Melayu suatu hari nanti mampu menghasilkan karya filem sehebat ini, bukan merapu mendodoikan cerita cinta, hantu,dan lawak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment