Ramai sekali manusia tersalah dalam memahami hakikat sebab-sebab yang boleh mengeluarkan seseorang dari lingkungan Islam dan menjatuhkan hukum sebagai kafir; semoga Allah memperbaiki diri mereka. Kamu dapat lihat ada antara mereka sangat pantas menghukumkan kafir pada sebahagian muslim hanya dengan sebab percanggahan (pendapat atau amalan), hingga kita dapati cuma sedikit sahaja yang tidak disabit dengan tuduhan itu. Kita cuba menyangka baik atas tindakan-tindakan mereka itu, kita katakan, “Moga-moga niat mereka murni, iaitu mereka mahu melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar tapi mereka terlepas pandang bahawa dalam pelaksanaan tugas itu hendaklah dikerjakan secara hikmah beserta peringatan yang baik. Jika keadaan memaksa untuk berdebat, juga mestilah diteruskan dengan cara yang sesuai. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 :
Maksudnya : Serulah ke jalan
tuhanmu dengan cara bijaksana dan pelajaran yang baik, serta berbahaslah dengan
mereka dengan cara terbaik.
Dengan demikian lebih berkesan
dalam menarik perhatian dan melancarkan sasaran yang dituju, manakala cara yang
berlawanan dari itu adalah suatu kesalahan dan kebodohan.
Sekiranya
kamu lihat seorang pemuda Islam yang kebiasaannya menunaikan solat, melaksanakan
kefardhuan tehadap Allah, menjauhi perbuatan haram, menyebarkan dakwah, membina
masijd, dan mengotakan janjinya. Lalu dia enggan menurut ajakanmu untuk
melakukan suatu perkara yang kamu pandang ia sebagai wajib sedangkan dia tidak
berpendapat sebegitu, dan perbincangan ulamak terhadap perkara itupun terdapat
perselisihan. Kemudian kamu mengkafirkan pemuda itu hanya kerana percanggahan
fahaman, ketika itu kamu telah melakukan satu kemungkaran besar, kamu telah
mendatangkan perkara yang dilarang oleh Allah yang menyuruh kamu mengambil
pendekatan secara berhikmah dan baik-baik.
Imam
as-Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad berkata, “Para ulamak bersepakat melarang
amalan mengkafirkan seseorang selagi dia masih menghadap kiblat yang sama,
kecuali dia menafikan tuhan Sang Pencipta yang maha berkuasa, syirik yang
benar-benar jelas yang tidak mampu disangkal, mengingkari kenabian para Nabi,
menafikan perkara-perkara agama yang sememangnya diketahui umum, menolak
dalil-dalil mutawatir, atau hukum-hukum umum yang disepakati para ulamak.”
Antara
perkara umum yang sememangnya diketahui adalah seperti mentauhidkan Allah,
beriman pada para Nabi, keakhiran risalah yang dibawa oleh Rasulullah sollallahu
‘alaihi wasallam, kebangkitan semula di hari akhirat, perhitungan amalan
serta pengadilannya, syurga, dan neraka. Kafirlah bagi sesiapa yang sengaja
mengingkarinya dan tidak boleh dimaafkan atas kejahilannya melainkan orang yang
baru memeluk Islam hinggalah dia mengetahuinya, kemudian tidak dimaafkan pengingkaran
selepas pengetahuan.
Dalil
mutawatir yang dimaksudkan di atas adalah riwayat yang disampaikan oleh
golongan yang ramai, pengkhabaran itu bebas dari tanggapan bahawa mereka
berkomplot untuk menghasilkan riwayat tersebut, tidak kira sama ada pada tingkatan
perawi seperti hadis : Sesiapa yang mendustaiku secara sengaja, maka
sediakanlah satu tempat baginya dalam neraka (riwayat al-Bukhari daripada Abu
Hurairah).
Mahupun tingkatan kategori (taraf)
seperti mutawatirnya al-Quran, sampainya sanad al-Quran ke semesta alam di
timur dan barat, secara pembelajaran, pembacaan dan penghafalan. Ia diajarkan
oleh sekumpulan besar masyarakat ke sekumpulan besar yang lain mengikut
peringkat-peringkat yang tersusun, maka di situ tidak perlu kepada nisbah sandaran.
Mutawir
itu boleh berlaku pada jenis amalan dan warisan seperti amalan-amalan yang
dilakukan dari zaman nabi hingga sekarang. Atau jenis pada ilmu seperti
mukjizat nabi, walau sebahagian mukjizat itu tidak ramai menyaksikan tapi hasil
yang diperoleh daripadanya ia tetap kekal mutawatir dalam pengetahuan setiap
muslim.
Adalah
sangat bahaya membuat penghukuman kafir terhadap seorang muslim selain dari
batasan yang digariskan tadi. Dinukilkan dalam kitab Sahih Bukhari, Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam
bersabda, “Apabila seorang lelaki berkata kepada saudaranya, ‘Wahai si kafir!’
maka perkataan itu kembali semula kepada salah seorang di antara kedua-duanya.”
Seseorang
itu tidaklah bersih hatinya melainkan dia benar-benar tahu konsep syariah dalam
pemasukan kafir dan pembebasannya, serta mengenali had pemisah di antara kafir
dan iman pada kaca mata syariah.
Kita
tidak seharusnya menjerumuskan diri dalam medan pengkafiran yang diselaputi
pelbagai andaian dan keraguan tanpa keyakinan, ketetapan dan ilmu yang kukuh.
Perbuatan itu mengakibatkan bah besar membanjiri sebuah dataran hingga tiada
seorang muslim pun yang tinggal di muka bumi ini.
Apatah
lagi tuduhan itu terhadap pelaku maksiat yang masih wujud iman dan pengakuan dua
kalimah syahadah dalam dirinya. Abu Daud meriwayatkan, Anas radhiallahu
‘anhu berkata bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam
bersabda, “Antara tiga perkara dalam usul iman ialah menahan diri daripada
mengkafirkan orang yang mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah, kita tidak
mengeluarkannya dari Islam dek semata-mata kelainan amalan. Perintah jihad
berterusan sejak aku diutuskan hingga umat terakhirku memerangi Dajjal, tidak
terbatal arahan itu walau semasa pemerintahan zalim ataupun adil. Beriman
dengan ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan.”
Imam
al-Haramain bercakap, “Jika dikatakan pada kita : Kafirkanlah mereka walau
perkara itu tidak membawa pada kafir, maka katakanlah : Inilah kerakusan yang tidak
kena tempatnya, perlakuan itu jauh dari seni ilmu dan ia merupakan tingkah laku
yang kesat. Diambil dari ilmu usul tauhid : Sesiapa yang belum sampai hakikat
ilmu sebenar, dia juga belum sampai tahap pengetahuan bukti-bukti untuk
mengkafirkan orang lain dalam piagam (Islam).”
Oleh
itu, kita hendaklah berhati-hati dalam setiap amaran tentang bahaya pengkafiran
lebih-lebih lagi pada selain garis panduan yang disebut penjelasannya sebentar tadi
kerana perkara ini sangat serius. Allah maha pemberi hidayah pada jalan yang
lurus dan kepadaNya tempat kita kembali.
perkongsian ilmu di WADi, moga bermanfaat, insyaallah
ReplyDeletesinggah ye
ReplyDeletesinggah blog ilmiah nie.
ReplyDeletealhamdulillah, terima kasih atas perkongsian ini :)
Terima kasih sudi datang baca. Jemput singgah lagi ya.
ReplyDelete