[ Pejuang Pena ]

Wednesday, November 2, 2011

Kepentingan Ikhlas bagi para Rabbani.

Salamun 'alaikum jami'an.

Apa khabar semua Pembloin? Sang Pemikir harap kalian berada dalam sehat sejahtera hendaknya. Topik yang kita akan hayati bersama kali ini adalah berkaitan dengan hati, atau lebih menjurus kepada sifat 'IKHLAS'.



Para Rabbani yang terdiri daripada golongan yang aktif dalam pendidikan rohani dan yang berjalan kepada Allah telah bersetuju, betapa pentingnya ikhlas bagi setiap amalan untuk bekalan akhirat dan bagi setiap orang yang meniti jalan menuju Allah.

al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata dalam Muqaddimah kitab an-Niyyatu wal-Ikhlas kas-Sidq, yang memenuhi satu perempat bahagian daripada kitab al-Ihya' :

"Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, mereka yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tak akan tercapai melainkan dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti akan binasa kecuali mereka yang berilmu. Mereka yang berilmu pasti akan binasa kecuali yang aktif beramal. Semua orang yang aktif beramal akan binasa kecuali mereka yang ikhlas."

Jadi, sebutan mereka terhadap ikhlas amatlah diambil berat. Amal tanpa niat adalah kejahilan, niat tanpa ikhlas adalah riya' (yang bererti sama dengan munafiq dan tidak berbeza dengan kederhakaan). Ikhlas tanpa kejujuran dan perlaksanaan adalah sia-sia.

Allah telah berfirman tentang setiap amalan yang dimaksudkan (diniatkan) untuk selain Allah sebagai sesuatu yang tidak bermatlamat. Di dalam al-Quran Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Dan Kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amalan itu (bagaikan) debu yang berterbangan."  (surah al-Furqan ayat 23)

Perkara yang serupa dengan apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Ghazali itu sebelumnya juga telah dikatakan oleh seorang Rabbani yang arif bernama Sahl bin Abdullah at-Tustary :


"Semua manusia seperti orang yang sedang mabuk kecuali mereka yg berilmu. Semua orang yang berilmu adalah orang yang bingung kecuali mereka yang mengamalkan ilmunya."

Dalam lafaz lain beliau berkata :


"Dunia ini adalah kebodohan dan kematian kecuali ilmu. Semua ilmu merupakan hujah ke atas pemiliknya kecuali yang diamalkannnya. Semua amal akan sia-sia kecuali yang dilaksanakan dengan ikhlas. Ikhlas itu dalam bahaya yang besar sehingga tetap berakhir dengannya."

Sebahagian yang lain juga berkata :


"Ilmu itu laksana benih, amal laksana tanaman, dan airnya adalah ikhlas."

Ibn 'Atha'illah berkata dalam al-Hikam :


"Sesungguhnya Allah tidak suka amalan yang mendua (berbelah bahagi), dan tidak pula hati yang mendua. Amalan yang mendua tidak diterima dan hati yang mendua juga tidak diterima."

Amal yang tidak disertai ikhlas adalah ibarat gambar yang mati, dan raga tanpa jiwa. Allah hanya menginginkan hakikat amal, bukan rupa dan bentuknya. Maka dari itu, Dia menolak setiap amalan yang pelakunya tertipu dengan amalannya.

Dalam hadith sahih riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat jasad dan rupa kamu, tetapi Dia melihat pada hati kamu."


Baginda memberi isyarat ke arah hati dengan jari-jari tangannya lalu berkata :


"Taqwa itu letaknya di sini." Dan baginda memberi isyarat ke arah dadanya sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah berfirman tentang mereka yang menyembelih haiwan qurban, iaitu dilakukan oleh mereka yang menunaikan haji dan umrah :

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya." (surah al-Hajj ayat 37)

Allahu a'lam..


*Catatan Sang Pemikir : Nukilan itu adalah daripada bab Fit-Toriq Ila-Allah (Jalan Menuju Allah), buku an-Niyyatu Wal-Ikhlas (Niat Dan Ikhlas) oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.

No comments:

Post a Comment