Sejarah Hidup Enam Tokoh Penghimpun Hadith
Assalam semua Pembloin. Seperti sedia maklum sumber hukum yang utama dalam agama Islam adalah al-Quran
dan as-Sunnah. Selain sebagai sumber hukum, al-Quran dan as-Sunnah juga
merupakan sumber ilmu pengetahuan yang universal. Sesiapa yang mula mendalaminya, maka takkan habis keajaibannya.
Maka untuk mengetahui as-Sunnah ini, salah satu daripada episod penting yang tidak kurang menarik untuk diketahui adalah profil
atau sejarah orang yang mengumpulkan hadith, dengan jasa bakti mereka
kita yang hidup pada zaman sekarang ini dapat memperoleh dengan mudah sumber
hukum secara lengkap dan sistematik serta dapat melaksana atau meneladani
kehidupan Rasulullah untuk beribadah.
Untuk itu pada
beberapa edisi kali ini, Sang pemnikir sajikan secara berturut-turut profile sejarah hidup enam tokoh penghimpun hadith yang paling terkenal.
Abad ketiga Hijrah
merupakan kurun berlakunya penghimpunan hadith Nabi dalam dunia Islam. Waktu itulah hidup enam penghimpun ternama hadith iaitu Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi , Imam Nasa'i, dan Imam Ibn Majah.
Untuk entry ini sahaja Sang Pemikir akan berkongsi mengenai sejarah hidup imam masyhur yang pertama, manakala para imam yang lain akan menyusul kemudian pada entry akan datang.
Imam Bukhari
Sebenarnya tokoh penghimpun dan penyusun hadith sangat ramai, dan yang seperti yang disebut diatas adalah yang lebih popular antara mereka. Adapun urutan pertama yang paling terkenal
di antara enam tokoh tersebut di atas adalah Amirul-Mukminin fil-Hadith
(pemimpin orang mukmin dalam hadith), suatu gelaran ahli hadith tertinggi, nama
lengkapnya adalah Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah
ibn Bardizbah. Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail, terkenal kemudian sebagai Imam
Bukhari, lahir di Bukhara
pada 13 Syawal 194 H (21 Juli 810 M), cucu seorang Persia bernama Bardizbah. Bardizbah adalah beragama Majusi, agama kaumnya. Kemudian putranya, al-Mughirah memeluk Islam di bawah bimbingan al-Yaman al-Ja'fi, gabenor Bukhara . Pada masa itu Wala
dinisbahkan kepadanya. Kerana itulah beliau dikatakan 'al-Mughirah
al-Jafi'.
Mengenai Ibrahim pula, tiada data yang jelas diperolehi. Ayahnya, Ismail, seorang ulama besar ahli hadith. Beliau belajar hadith dari Hammad
ibn Zaid dan Imam Malik. Riwayat hidupnya telah dipaparkan oleh Ibn Hibban
dalam kitab as-Thiqat, begitu juga putranya, Imam Bukhari, membuat biografinya
dalam at-Tarikh al-Kabir.
Ayah Bukhari disamping sebagai orang berilmu, beliau juga sangat warak dan taqwa. Dikatakan bahawa
ketika menjelang kematiannya, beliau berkata, "Dalam harta yang kumiliki tidak
terdapat sedikitpun wang yang haram maupun yang shubhat." Demikian jelaslah bahawa Bukhari hidup dalam lingkungan keluarga yang
berilmu dan beragama. Tidak hairan jika beliau lahir dan mewarisi
sifat-sifat mulia ayahnya itu.
Beliau dilahirkan di Bukhara setelahSolat Jumaat. Tidak lama setelah beliau lahir, bayi ini membuka matanya, namun didapati penglihatannya tiada. Ayahnya sangat
bersedih hati. Ibunya yang solehah menagis dan selalu berdoa pada ilahi,
memohon agar bayinya dikurnia penglihatan. Kemudian dalam tidur, perempuan itu
bermimpi didatangi Nabi Ibrahim seraya berkata, "Wahai ibu, Allah telah menyembuhkan penyakit putramu dan kini dia
sudah dapat melihat kembali, semua itu berkat doamu yang tiada
henti-henti."
Ketika dia terbangun, penglihatan bayinya sudah normal. Ayahnya meninggal sewaktu beliau masih kecil dan meninggalkan banyak harta yang memungkinkan hidup
dalam pertumbuhan dan perkembangan yang baik. Beliau dirawat dan dididik oleh
ibunya dengan tekun dan penuh perhatian.
Keunggulan Bukhari sudah jelas kelihatan sejak kecil lagi. Allah
menganugerahkan kepadanya hati yang lapang, fikiran yang cerdas dan daya ingatan yang sangat tajam, lebih-lebih dalam menghafal hadith. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah banyak menghafal hadith. Pada usia 16 tahun beliau bersama ibu dan abang
sulungnya mengunjungi berbagai kota suci. Kemudian beliau banyak berjumpa para ulama
dan tokoh-tokoh negerinya untuk mempelajari hadith, bertukar fikiran
dan berdiskusi. Ketika usia 16 tahun juga, beliau sudah hafal kitab sunan
Ibn Mubarak dan Waki, juga mengetahui pendapat-pendapat ahli ra'yi (ahli pemikir rasional), dasar-dasar dan mazhabnya.
Rasyid ibn Ismail, abangnya yang tertua berkata, sewaktu muda Bukhari dan
beberapa rakan lain mengikuti kuliah dan ceramah cendekiawan Balkh. Tidak
seperti murid lain, Bukhari tidak pernah membuat catatan kuliah. Beliau pernah dimarah kerana dianggap membuang waktu tidak mencatat apa-apa, namun Bukhari diam tidak
menjawab. Pada suatu hari, kerana merasa kesal terhadap celaan yang
terus-menerus itu, Bukhari meminta rakan-rakannya membawa catatan mereka. Merka tercengang kerana didapati Bukhari telah menghafal sebanyak 15,000
hadith, lengkap terperinci dengan keterangan yang tidak sempat mereka catat.
Pengembaraannya
Pada tahun 210 H, Bukhari berangkat menuju ke Baitullah untuk menunaikan haji, disertai ibu dan saudaranya, Ahmad. Saudaranya yang lebih tua ini
kemudian pulang ke Bukhara, sedang beliau memilih Mekah sebagai
tempat tinggalnya. Mekah
merupakan salah satu pusat ilmu yang penting di Hijaz. Sewaktu beliau ke Madinah, di antara kedua tanah suci itulah beliau menulis sebahagian karyanya dan
menyusun dasar-dasar kitab al-Jami'us-Sahih dan pendahuluannya.
Beliau menulis Tarikh
Kabirnya di makam Nabi Sollallahu 'alaihi wasllam dan banyak juga beliau menulis pada waktu malam hari terang bulan. Sementara itu ketiga buku tarikhnya, as-Saghir, al-Awsat dan al-Kabir muncul dari kemampuannya yang tinggi mengenai pengetahuan terhadap
tokoh-tokoh dan kepandaiannya memberi kritikan, sehingga beliau pernah berkata bahawa
sedikit sekali nama-nama yang disebutkan dalam tarikh yang tidak beliau ketahui
kisahnya.
Kemudian beliau memulakan perjalanan mencari ilmu di serata dunia Islam selama 16 tahun. Dalam
perjalanannya ke pelbagai negeri, hampir semua negeri Islam telah dikunjungi sampai
ke seluruh Asia Barat. Diceritakan bahawa beliau pernah berkata, "Saya telah
mengunjung Syam, Mesir, dan Jazirah masing-masing dua kali, ke Basrah empat
kali, menetap di Hijaz (Mekah dan Madinah) selama enam tahun dan tak dapat
dihitung lagi berapa kali saya mengunjungi Kufah dan Baghdad untuk menemui
ulama-ulama ahli hadith."
Pada waktu itu, Baghdad adalah ibu kota negara yang merupakan gudang ilmu
dan ulama. Di negeri itu, beliau sering menemui Imam Ahmad bin Hanbal dan tidak
jarang mengajaknya untuk menetap di negeri tersebut dan mengkritiknya kerana
menetap di negeri Khurasan.
Dalam setiap perjalanannya yang melelahkan itu, Imam Bukhari sentiasa
menghimpun hadith-hadith dan ilmu pengetahuan dan mencatatnya sekaligus. Di
tengah malam yang sunyi, beliau bangun dari tidur lalu menyalakan lampu dan menulis
setiap masalah yang terlintas di hatinya, setelah itu lampu dipadam kembali. Perbutan ini dilakukan hampir 20 kali setiap malamnya. Beliau meriwayatkan hadith
dari 80,000 perawi, dan berkat ingatannya yang memang sangat pintar, beliau dapat
menghafal hadith sebanyak itu lengkap dengan sumbernya.
Kemasyhuran Imam Bukhari
Kemasyhuran Imam Bukhari segera mencapai bahagian dunia Islam yang jauh,
dan ke mana pun beliau pergi selalu dialu-alukan. Masyarakat hairan dan kagum akan
ingatannya yang luar biasa. Pada
tahun 250 H. Imam Bukhari mengunjungi Naisabur. Kedatangannya disambut gembira
oleh para penduduk, juga oleh gurunya, az-Zihli dan para ulama lain.
Imam Muslim bin
al-Hajjaj, pengarang kitab as-Sahih Muslim menceritakan, "Ketika Muhammad
bin Ismail datang ke Naisabur, aku tidak pernah melihat seorang kepala daerah,
para ulama dan penduduk Naisabur memberikan sambutan seperti apa yang mereka
berikan kepadanya." Mereka menyambut kedatangannya dari luar kota sejauh dua atau tiga
marhalah (± 100 km), hinggakan Muhammad bin Yahya az-Zihli berkata, "Sesiapa hendak menyambut kedatangan Muhammad bin Ismail besok pagi,
lakukanlah, sebab aku sendiri akan ikut menyambutnya. Esok paginya Muhammad bin
Yahya az-Zihli, sebahagian ulama dan penduduk Naisabur menyongsong kedatangan
Imam Bukhari, beliau pun lalu memasuki negeri itu dan menetap di daerah
perkampungan orang Bukhara .
Selama
menetap di negeri itu, beliau mengajar hadith secara tetap. Sementara itu,
az-zihli pun berpesan kepada para penduduk agar menghadiri dan mengikuti
pengajian yang diberikannya. Az-Zihli berkata, "Pergilah kalian kepada orang
alim yang soleh itu, ikut dan dengarlah pengajiannya."
Imam Bukhari Difitnah
Tak lama kemudian, terjadi fitnah terhadap Imam Bukhari atas perbuatan puak yang iri hati. Mereka meniup tuduhan kepada Imam Bukhari
sebagai orang yang berpendapat bahawa 'Al-Quran adalah makhluk'. Perkara inilah yang menimbulkan kebencian dan kemarahan gurunya, az-Zihli kepadanya,
sehingga berkata, "Sesiapa berpendapat al-Quran
adalah makhluk, maka dia adalah ahli bid’ah. Dia tidak boleh diajak bicara dan majlisnya
tidak boleh dihadiri. Dan sesiapa masih mengunjungi majlisnya,
curigailah dia." Setelah itu, orang ramai mula menjauhinya.
Pada hakikatnya, Imam Bukhari terlepas dari fitnah yang dituduhkan
kepadanya itu. Diceritakan, seorang berdiri dan mengajukan pertanyaan
kepadanya, "Bagaimana pendapat anda tentang lafaz-lafaz al-Quran, makhlukkah atau bukan?" Bukhari berpaling dari orang itu dan tidak mahu menjawab
kendati pun pertanyaan itu diajukan sampai tiga kali. Tetapi orang tersebut terus
mendesaknya, maka beliau menjawab, "Al-Quran adalah kalam Allah, bukan
makhluk, sedangkan perbuatan manusia adalah makhluk dan fitnah merupakan bid’ah."
Yang dimaksud dengan perbuatan manusia adalah bacaan dan ucapan mereka.
Pendapat yang dikemukakan Imam Bukhari ini, yakni dengan membezakan antara yang
dibaca dengan bacaan, adalah pendapat yang menjadi pegangan para ulama ahli
tahqiq dan ulama salaf. Tetapi dengki dan iri adalah buta dan tuli.
Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Bukhari perbah berkata, "Iman
adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang. Al-Quran
adalah kalam Allah, bukan makhluk. Sahabat Rasulullah yang paling utama
adalah Abu Bakar, Umar, Uthman kemudian Ali. Dengan berpegang pada keyakinan dan
keimanan inilah aku hidup, aku mati dan dibangkitkan di akhirat kelak, insya
Allah." Demikian juga beliau pernah berkata, "Sesiapa menuduhku
berpendapat bahawa lafaz-lafaz Al-Quran adalah makhluk, dia adalah
pendusta."
Az-Zihli benar-benar telah murka kepadanya, sehingga ada berkata, "Lelaki itu (Bukhari) tidak boleh tinggal bersamaku di negeri ini."
Oleh kerana Imam Bukhari berpendapat bahawa keluar dari negeri itu lebih baik,
demi menjaga dirinya, dengan harapan agar fitnah yang menimpanya itu dapat
mereda, maka beliau pun memutuskan untuk keluar dari negeri tersebut.
Setelah keluar dari Naisabur, Imam Bukhari pulang ke negerinya sendiri,
Bukhara. Kedatangannya disambut meriah oleh seluruh penduduk. Untuk keperluan
itu, mereka mengadakan upacara besar-besaran, mendirikan khemah-khemah sepanjang
satu farsakh (± 8 km) dari luar kota dan menaburkan wang dirham dan dinar
sebagai manifestasi kegembiraan mereka. Selama beberapa tahun menetap di
negerinya itu, beliau mengadakan majlis pengajian dan pengajaran hadith.
Tetapi kemudian
badai fitnah datang lagi. Kali ini badai itu datang dari penguasa Bukhara sendiri, Khalid
bin Ahmad az-Zihli, walaupun sebabnya timbul dari sikap Imam Bukhari yang
terlalu memuliakan ilmu yang dimlikinya. Ketika itu, penguasa Bukhara , mengirimkan utusan kepada Imam
Bukhari, supaya beliau mengirimkan kepada dua buah karangannya, al-Jami' al-Sahih
dan Tarikh. Imam Bukhari keberatan memenuhi permintaan itu. Beliau hanya berpesan
kepada utusan itu agar disampaikan kepada Khalid, bahawa, "Aku tidak akan
merendahkan ilmu dengan membawanya ke istana. Jika hal ini tidak berkenan di
hati tuan, tuan adalah penguasa, maka keluarkanlah larangan supaya aku tidak
mengadakan majlis pengajian. Dengan begitu, aku mempunyai alasan di sisi Allah
kelak pada hari kiamat, bahawa sebenarnya aku tidak menyembunyikan ilmu."
Mendapat jawapan seperti itu, sang penguasa naik pitam, diperintahkan askar-askarnya melancarkan hasutan yang dapat memujuk Imam Bukhari.
Dengan demikian dia mempunyai alasan untuk mengusir Imam Bukhari. Tak lama
kemudian Imam Bukhari pun diusir dari negerinya sendiri, Bukhara .
Imam Bukhari, kemudian
mendoakan tidak baik atas Khalid yang telah mengusirnya secara tidak sah.
Belum sebulan berlalu, Ibn Tahir memerintahkan agar Khalid bin Ahmad dijatuhi
hukuman, dipermalukan di depan umum dengan menungang himar betina. Maka hidup
sang penguasa yang zalim kepada Imam Bukhari itu berakhir dengan kehinaan dan
dipenjara.
Imam Bukhari bukan saja mencurahkan seluruh intelegensi dan daya ingatnnya yang luar biasa itu
pada karya tulisannya yang penting, Sahih Bukhari, tetapi juga melaksanakan
tugas itu dengan dedikasi dan kesolehan. Beliau selalu mandi dan berdoa sebelum
menulis buku itu. Sebahagian buku tersebut ditulisnya di samping makam Nabi di
Madinah.
Imam Durami, guru
Imam Bukhari, mengakui keluasan wawasan hadith muridnya ini, "Antara
ciptaan tuhan pada masanya, Imam Bukharilah agaknya yang paling
bijaksana."
Suatu ketika
penduduk Samarkand
mengirim surat
kepada Imam Bukhari, isinya meminta beliau supaya menetap di negeri mereka.
Maka kemudian beliau pergi untuk memenuhi permohonan mereka. Ketika perjalanannya
sampai di Khartand, sebuah desa kecil yang terletak dua farsakh sebelum Samarkand , dan desa itu
terdapat beberapa ahli keluarganya, beliau singgah terlebih dahulu untuk mengunjungi
mereka. Tetapi di desa itu Imam Bukhari jatuh sakit hingga menemui ajalnya.
Beliau wafat pada malam
Idul Fitri tahun 256 H. (31 Ogos 870 M), dalam usia 62 tahun kurang 13 hari.
Sebelum meninggalkan dunia, beliau berpesan bahawa jika meninggal nanti jenazahnya dikapankan tiga helai kain tanpa baju dalam dan tidak memakai serban. Pesan
itu dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat. Jenazahnya dikebumikan
lepas zohor, hari raya Idul Fitri, sesudah beliau melewati perjalanan hidup
panjang yang penuh dengan berbagai amal yang mulia. Semoga Allah melimpahkan
rahmat dan redhaNya.
Guru-gurunya
Pengembaraannya ke pelbagai negeri telah mempertemukan Imam Bukhari dengan guru-guru yang dapat dipercaya, mencapai jumlah yang sangat banyak. Diceritakan bahawa beliau berkata, "Aku menulis hadith yang diterima dari 1080 orang guru, yang
semuanya adalah ahli hadith dan berpendirian bahawa iman adalah ucapan dan
perbuatan." Antara guru yang hebat itu adalah Ali ibn al-Madini, Ahmad
ibn Hanbal, Yahya ibn Ma'in, Muhammad ibn Yusuf al-Faryabi, Maki ibn Ibrahim
al-Bakhi, Muhammad ibn Yusuf al-Baykandi dan Ibn Rahawaih. Guru-guru yang hadithnya
diriwayatkan dalam kitab Sahihnya sebanyak 289 orang guru.
Keistimewaan Imam Bukhari
Kerana kemasyhurannya
sebagai seorang alim yang sangat bijak, ramai anak murid yang belajar dan
mendengar secara langsung hadith daripada beliau. Tak dapat dihitung dengan pasti berapa
jumlah orang yang meriwayatkan hadith dari Imam Bukhari, sehingga ada yang
berpendapat bahawa kitab Sahih Bukhari didengar secara langsung daripada beliau oleh 90,000 orang (Muqaddimah Fathul-Bari, jilid 22, hal.
204). Antara ramai muridnya yang paling menonjol adalah Muslim bin
al-Hajjaj, Tirmizi, Nasa'i, Ibn Khuzaimah, Ibn Abu Dawud, Muhammad bin Yusuf
al-Firabri, Ibrahim bin Ma'qil an-Nasafi, Hammad bin Syakr an-Nasawi dan Mansur
bin Muhammad al-Bazdawi. Empat orang yang terakhir ini merupakan yang paling masyhur
sebagai perawi kitab Sahih Bukhari.
Dalam bidang
kekuatan hafalan, ketajaman fikiran dan pengetahuan para perawi hadith, Imam Bukhari merupakan salah satu tanda
kekuasaan dan kebesaran Allah di muka bumi ini. Allah telah
mempercaya Bukhari dan para penghimpun hadith yang lain, untuk menghafal dan menjaga sunah-sunah Nabi kita Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam. Diriwayatkan, bahawa
Imam Bukhari berkata, "Saya hafal hadith di luar kepala sebanyak 100,000
buah hadith sahih, dan 200,000 hadith yang tidak sahih."
Mengenai kepintaran Imam Bukhari dapat dibuktikan pada kisah berikut.
Ketika beliau tiba di Baghdad, ahli-ahli hadith di sana berkumpul untuk menguji
kemampuan dan kepintarannya. Mereka mengambil 100 buah hadith lalu mereka
tukar-tukarkan sanad dan matannya, matan hadith ini diberi
sanad hadith lain dan sanad hadith lain dibuat untuk matan hadith yang lain
pula. 10 orang ulama tampil dan masing-masing mengajukan pertanyaan sebanyak 10
pertanyaan tentang hadith yang telah diputarbalikkan tersebut. Orang pertama
tampil dengan mengajukan sepuluh buah hadith kepada Bukhari, dan setiap orang
itu selesai menyebutkan sebuah hadith, Imam Bukhari menjawab dengan tegas, "Saya tidak tahu hadith yang anda sebutkan ini." Beliau tetap memberi jawaban yang serupa hingga kepada penanya yang kesepuluh, yang masing-masing
mengajukan sepuluh pertanyaan. Ada di antara hadirin yang tidak mengerti,
memastikan bahawa Imam Bukhari tidak akan mungkin mampu menjawab dengan benar
pertanyaan-pertanyaan itu, sedangkan para ulama berkata satu kepada yang
lainnya, "Orang ini mengetahui apa yang sebenarnya."
Setelah 10 orang semuanya selesai mengajukan semua pertanyaannya yang
jumlahnya 100 pertanyaan tadi, kemudian Imam Bukhari melihat kepada penanya
yang pertama dan berkata, "Hadith pertama yang anda kemukakan isnadnya
yang benar adalah begini; hadith kedua isnadnya yang benar adalah
begini…"
Begitulah Imam Bukhari menjawab semua pertanyaan satu demi satu hingga
selesai menyebutkan sepuluh hadith. Kemudian beliau menoleh kepada penanya yang
kedua, lalu menjawab hingga selesai kemudian menoleh hingga penanya yang
kesepuluh sampai selesai. Imam Bukhari menyebut satu persatu hadith-hadith
yang sebenarnya dengan cermat dan tidak ada satu dan sedikitpun yang salah
dengan jawaban yang sesuai seperti sepuluh orang tadi mengeluarkan urutan
pertanyaanya. Maka para ulama Baghdad tidak dapat berbuat lain, selain
menyatakan kekagumannya kepada Imam Bukhari akan kekuatan daya hafal dan
kecemerlangan fikirannya, serta mengakuinya sebagai 'Imam' dalam
bidang hadith.
Sebahagian hadirin memberikan komentar terhadap 'uji kemampuan' yang tegang ini, dia berkata, "Yang mengagumkan bukanlah kerana Bukhari mampu memberikan jawaban secara benar, tetapi yang
benar-benar sangat mengagumkan ialah kemampuannya dalam menyebutkan semua hadith
yang sudah diputarbalikkan itu secara berurutan sama seperti urutan yang
dikemukakan oleh 10 orang penguji, padahal beliau hanya mendengar
pertanyaan-pertanyaan yang banyak itu hanya sekali." Ramai yang menjadi hairan dengan kemampuan Imam Bukhari mengemukakan 100 buah hadith secara
berurutan seperti urutan si penanya mengeluarkan pertanyaannya, ditambah lagi beliau membetulkan rawi-rawi
yang telah diputarbalikkan, ini sungguh luar biasa.
Imam Bukhari pernah berkata, "Saya tidak pernah meriwayatkan sebuah hadith yang diterima dari para sahabat dan tabi'in, melainkan saya mengetahui
tarikh kelahiran sebahagian besar mereka, hari wafat dan tempat tinggalnya.
Demikian juga saya tidak meriwayatkan hadith sahabat dan tabi'in, yakni hadith-hadith
mauquf, kecuali ada dasarnya yang kuketahui dari Kitabullah dan sunnah
Rasulullah."
Dengan kedudukan ilmu dan kekuatan hafalan Imam Bukhari
sebagaimana telah disebutkan, wajarlah jika semua guru, kawan dan generasi
sesudahnya memberikan pujian kepadanya. Seorang bertanya kepada Qutaibah bin
Sa'id tentang Imam Bukhari, ketika menyatakan, "Wahai para penanya, saya
sudah banyak mempelajari hadith dan pendapat, juga sudah sering duduk bersama
dengan para ahli fiqh, ahli ibadah dan para ahli zuhud, namun saya belum pernah
menjumpai orang begitu cerdas dan pandai seperti Muhammad bin Ismail
al-Bukhari."
Imam al-A'immah (pemimpin para imam) Abu Bakar ibn Khuzaimah telah
memberikan kesaksian terhadap Imam Bukhari dengan mengatakan, "Tak ada orang yang mengetahui hadith melebihi Muhammad bin
Ismail." Demikian pula semua temannya memberikan pujian. Abu Hatim
ar-Razi berkata, "Khurasan belum pernah melahirkan seorang putra yang
hafal hadith melebihi Muhammad bin Ismail, juga belum pernah ada orang yang
pergi dari kota tersebut menuju Iraq yang melebihi kealimannya."
Al-Hakim menceritakan, dengan sanad lengkap bahawa Muslim (pengarang kitab
Sahih Muslim) datang kepada Imam Bukhari, lalu mencium antara kedua matanya dan
berkata, "Biarkan saya mencium kaki tuan, wahai maha guru, pemimpin para
ahli hadith dan doktor ahli penyakit (ilat) hadith." Mengenai sanjungan
diberikan ulama generasi sesudahnya, cukup diwakili oleh perkataan al-Hafiz
Ibn Hajar yang menyatakan, "Andaikan pintu pujian dan sanjungan kepada
Bukhari masih terbuka bagi generasi sesudahnya, tentu habislah semua kertas dan
nafas. Ia bagaikan laut tak bertepi."
Imam Bukhari adalah seorang yang berbadan kurus, berperawakan sedang, tidak
terlalu tinggi juga tidak pendek, kulitnya agak kecoklatan dan sedikit sekali
makan. Beliau sangat pemalu namun ramah, dermawan, menjauhi kesenangan dunia dan
cinta akhirat. Banyak hartanya yang disedekahkan baik secara sembunyi mahupun
terang-terangan, lebih lagi untuk kepentingan pendidikan dan para pelajar.
Kepada para pelajar beliau berikan bantuan dana yang cukup besar. Diceritakan beliau pernah berkata, "Saya berpendapatan 500 dirham setiap bulan, semuanya
dibelanjakan untuk kepentingan pendidikan. Sebab, apa yang ada di sisi Allah
adalah lebih baik dan lebih kekal."
Imam Bukhari sangat berhati-hati dan sopan dalam berbicara dan dalam mencari
kebenaran yang hakiki di saat mengkritik para perawi. Terhadap perawi yang
sudah jelas-jelas diketahui kebohongannya, cukup beliau berkata, "Perlu
dipertimbangkan, para ulama meninggalkannya atau para ulama berdiam diri
tentangnya." Perkataan yang tegas tentang para perawi yang tercela pula, "Hadithnya diingkari."
Meskipun sangat sopan dalam mengkritik para perawi, namun beliau banyak
meninggalkan hadith yang diriwayatkan seseorang hanya kerana orang itu
diragukan. Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa beliau berkata, "Saya
meninggalkan 10,000 hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang perlu
dipertimbangkan, dan meninggalkan pula jumlah yang sama atau lebih, yang
diriwayatkan perawi yang dalam pandanganku perlu dipertimbangkan."
Selain dikenal sebagai ahli hadith, Imam Bukhari juga sebenarnya adalah
ahli dalam fiqh. Dalam hal mengeluarkan fatwa, beliau telah sampai pada darjat
mujtahid mustaqil (bebas dan tidak terikat pendapatnya pada mazhab-mazhab
tertentu) atau dapat mengeluarkan hukum secara sendirian. Beliau mempunyai
pendapat-pendapat hukum yang digalinya sendiri. Pendapat-pendapatnya itu
terkadang sejalan dengan mazhab Abu Hanifah, terkadang sesuai dengan Mazhab
Syafi'i dan kadang-kadang berbeza dengan keduan-duaya. Selain itu, ada pada ketika beliau memilih mazhab Ibn Abbas, dan ketika lain memilih mazhab Mujahid dan 'Ata
dan sebagainya. Jadi kesimpulannya adalah, Imam Bukhari adalah seorang ahli hadith
yang ulung dan ahli fiqh yg berijtihad sendiri, kendati pun yang lebih menonjol
adalah setatusnya sebagai ahli hadith, bukan sebagai ahli fiqh.
Di sela-sela kesibukannya sebagai seorang alim, beliau juga tidak melupakan
kegiatan lain yang dianggap penting untuk menegakkan agama Islam. Imam Bukhari
sering belajar memanah hingga mahir, dikatakan bahawa sepanjang
hidupnya, beliau tidak pernah meninggalkan memanah kecuali dua kali. Keadaan
itu timbul sebagai pengamalan sunah Rasul yang mendorong dan menganjurkan kaum
Muslimin belajar menggunakan anak panah dan alat-alat perang lainnya. Tujuannya
adalah untuk memerangi musuh-musuh Islam dan mempertahankan dari kejahatan
mereka.
Karya-karya Imam Bukhari
Antara hasil karya Imam Bukhari adalah al-Jami' as-Sahih (Shahih Bukhari), al-Adab al-Mufrad, at-Tarikh as-Saghir, at-Tarikh al-Awsat, at-Tarikh al-Kabir, at-Tafsir al-Kabir, al-Musnad al-Kabir, Kitab al-'Ilal, Raf'ul-Yadain fis-Salah, Birril-Walidain, Kitab al-Asyribah, al-Qira'ah Khalf
al-Imam, Kitab ad-Dhu'afa, Asami as-Sahabah, Kitab al-Kuna.
Sekilas Tentang Kitab al-Jami' as-Sahih (Sahih Bukhari)
Diceritakan, Imam
Bukhari berkata, "Aku bermimpi melihat Rasulullah Sollallahu a'alaihi wasallam, seolah-olah aku
berdiri di hadapannya, sambil memegang kipas yang kugunakan untuk
menjaganya. Kemudian aku tanyakan mimpi itu kepada sebahagian ahli ta'bir, dia
menjelaskan bahawa aku akan menghancurkan dan mengikis habis kebohongan dari hadith
Rasulullah. Mimpi inilah, antara lain yang mendorongku untuk melahirkan
kitab al-Jami' as-Sahih."
Dalam menghimpun hadith-hadith
sahih dalam kitabnya, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penelitian secara
ilmiah dan sah yang menyebabkan kesahihan hadith-hadithnya dapat dipertanggungjawabkan. Beliau telah berusaha dengan sungguh-sungguh untuk
meneliti dan menyelidiki keadaan para perawi, serta memperoleh secara pasti kesahihan
hadith-hadith yang diriwayatkannya. Beliau senantiasa membanding-bandingkan hadith-hadith
yang diriwayatkan, satu dengan yang lain, menyaringnya dan memlih mana yang
menurutnya paling sahih. Sehingga kitabnya merupakan batu uji dan penyaring
bagi hadith-hadith tersebut. Hal ini tercermin dari perkataannya, "Aku
susun kitab al-Jami' ini yang dipilih dari 600,000 hadith selama 16
tahun." Dan beliau juga sangat hati-hati, hal ini dapat dilihat dari
pengakuan salah seorang muridnya bernama al-Firbari menjelaskan bahawa dia
mendengar Muhammad bin Ismail al-Bukhari berkata, "Aku susun kitab al-Jami' as-Sahih ini di Masjidil Haram, dan tidaklah aku memasukkan ke
dalamnya sebuah hadith pun melainkan sesudah aku memohon istikharoh kepada
Allah dengan melakukan solat dua rakaat dan sesudah aku meyakini betul bahawa hadith
itu benar-benar shahih."
Maksud pernyataan
itu ialah bahawa Imam Bukhari mulai menyusun bab-bab dan dasar-dasarnya di
Masjidil Haram secara sistematik, kemudian menulis pendahuluan dan pokok-pokok perbahasannya di Rawdhah tempat di antara makan Nabi dan mimbar. Setelah itu, beliau mengumpulkan hadith-hadith dan menempatkannya pada bab-bab yang sesuai.
Pekerjaan ini dilakukan di Mekah dan Madinah dengan tekun dan cermat, menyusunnya
selama 16 tahun.
Dengan usaha seperti
itu, maka lengkap bagi kitab tersebut segala faktor yang menyebabkannya
mencapai kebenaran, yang nilainya tidak terdapat pada kitab lain. Tidak hairanlah bila kitab itu mempunyai kedudukan tinggi dalam hati para
ulama. Maka sungguh tepatlah ia mendapat predikat sebagai 'Buku Hadith
Nabi Yang Paling Sahih'.
Diriwayatkan bahawa
Imam Bukhari berkata, "Tidaklah kumasukkan ke dalam kitab al-Jami' as-Sahih
ini kecuali hadith-hadith yang shahih dan kutinggalkan banyak hadith sahih kerana
khawatir membosankan."
Kesimpulan yang
diperoleh para ulama, setelah mengadakan penelitian secara cermat terhadap
kitabnya, menyatakan bahawa Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya selalu
berpegang teguh pada tingkat keshahihan yang paling tinggi, dan tidak turun
dari tingkat tersebut kecuali dalam beberapa hadith yang bukan merupakan materi
pokok dari sebuah bab, seperti hadith mutabi' dan hadith syahid, dan hadith-hadith
yang diriwayatkan dari sahabat dan tabi'in.
Jumlah Hadith Kitab Al-Jami'as-Shahih (Shahih Bukhari)
al-'Allamah
Ibnus-Salah dalam Muqaddimahnya menyebut bahawa jumlah hadith Sahih
Bukhari sebanyak 7275 buah hadith termasuk hadith-hadith yang disebutnya
berulang, atau sebanyak 4000 hadith tanpa pengulangan. Perhitungan ini diikuti
oleh al-'Allamah Syeikh Muhyiddin an-Nawawi dalam kitabnya, at-Taqrib.
Selain pendapat
tersebut di atas, Ibn Hajar di dalam muqaddimah Fathul-Bari, kitab syarah Sahih
Bukhari, menyebut bahawa semua hadith sahih mawsil yang termuat dalam Sahih
Bukhari tanpa hadith yang disebutnya berulang sebanyak 2602 buah hadith sedangkan matan hadith yang mu'allaq namun marfu', yakni hadith sahih namun
tidak diwasalkan (tidak disebutkan sanadnya secara sambung-menyambung) pada
tempat lain sebanyak 159 hadith. Semua hadith Sahih Bukhari termasuk hadith
yang disebutkan berulang-ulang sebanyak 7397 buah. Yang mu'allaq sejumlah 1341
buah, dan yang mutabi' sebanyak 344 buah hadith. Jadi, berdasarkan perhitungan
ini dan termasuk yang berulang-ulang, jumlah seluruhnya sebanyak 9082 buah hadith.
Jumlah ini diluar hadith yang mauquf kepada sahabat dan yang
diriwayatkan dari tabi'in dan ulama-ulama sesudahnya.
No comments:
Post a Comment