[ Pejuang Pena ]

Thursday, November 10, 2011

Orang Melayu patut malu pada Boon Ka Kong.


Wartawan : Sahidan Jaafar.

Bertempat di Restoran Lima Bintang di Pandan Indah, Kuala Lumpur, seorang Lelaki berambut uban memutih di kepalanya sedang menikmati pagi harinya dengan secawan teh tarik sambil membelek-belek naskhah lama Utusan Melayu Mingguan, bertarikh 22 Mei 2006.

Nama lelaki itu bukan Ali, Ahmad, Abu atau Kasim tetapi Boon Ka Kong. Boon yang berketurunan Tionghua itu cuba membaca tajuk sebuah rencana hiburan dalam akhbar tersebut.

“Senyuman Siti penuh makna! Betulkah sebutan saya?” Tanya Boon.

Betul!

Lelaki yang berasal dari Jerantut, Pahang itu membaca lagi : “Siti Nurhaliza sentiasa memberi senyuman ketika bergambar, namun gelora di dalam hatinya hanya dia sahaja yang tahu…”

Boon menyambung bacaannya : “Bukan mudah menjadi artis popular tanah air tambah pula kalau artis itu sedang bercinta. Sejak kebelakangan ini kisah percintaan penyanyi Siti Nurhaliza terus mencuri perhatian ramai. Walaupun penyanyi tersohor itu mengakui, hatinya sudah dimiliki dan bersedia mendirikan rumah tangga namun Siti tetap menjadi buruan untuk mendapatkan cerita perkembangan terbaru tentang dirinya…”

Kali ini wajahnya berseri-seri. Tidak ada keraguan lagi, memang lelaki Cina ini mahir membaca Jawi.

Artikel bertulisan Jawi yang memuatkan kisah penyanyi nombor satu negara yang dilamun cinta dengan Datuk K pada 2006 itu penuh dengan tanda highlighter berwarna hijau.

“Kalau saudara nak tahu, inilah artikel Jawi pertama yang saya baca!” beritahu Boon.

Ketika awal-awal belajar, bacaan Boon masih merangkak-rangkak dan dia terpaksa menandakan bahagian-bahagian tertentu dalam artikel tentang kisah Siti Nurhaliza yang tidak difahaminya.

Sekiranya Boon masih lagi sukar memahaminya dia akan merujuk Daftar, Ejaan Rumi-Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sentiasa dibawanya ke mana-mana dalam sebuah beg. Beg khas itu penuh dengan bahan-bahan bertulisan Jawi seperti akhbar, kamus, dan buku latihan Jawi peringkat tadika.

“Mula-mula memang pening, macam mana nak sambung huruf jadikan ayat. Adoi!” kata Boon lagi.

Beberapa artikel bertulisan Jawi turt dibaca antaranya, Melayu lupa warisan sendiri – Rais dan Tiga sebab hidupkan Utusan Melayu – Hishammuddin.

Setelah berpuas hati mendengar sebutan bacaanya tadi, kesimpulannya Boon memang fasih membaca Jawi, layak diberi lima bintang!

Selepas menunjukkan kehebatannya membaca Utusan Melayu, kali ini Boon cuba menunjukkan kemahirannya menulis Jawi Pula. Bolehkah Boon?

Lelaki berusia 60 tahun itu pun mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen tulisan khat daripada begnya. Pena khat di tangan Boon menari-nari. Ayat demi ayat Jawi terbentuk dengan cantik, berbunyi  : “Laut bergelora telah diterokai, pantai sudah di depan mata.”

Boon kemudian menjelaskan bahawa ayat yang ditulisnnya itu melambangkan perjuangannya selama ini untuk belajar Jawi.

Dalam tempoh lima tahun Boon mengalami bermacam-macam kesusahan sebelum berjaya membaca dan menulis Jawi seperti yang dikecapinya sekarang.

Cerita lelaki Cina itu lagi, dia terpaksa mengalami pelbagai seksaan kerana belajar sendiri tanpa sebarang tunjuk ajar sesiapa. Malah Boon tidak malu mengaku dia terpaksa membeli buku Jawi kanak-kanak tadika semasa mula-mula berlatih belajar Jawi.

Boon pernah berputus asa. Hampir sepuluh kali dia berhenti belajar membaca Jawi kerana merasa tiada 
harapan untuk menguasainya. Tetapi minatnya kembali berputik selepas membeli sebuah buku belajar Jawi dari DBP.

Apakah formula yang Boon gunakan hingga boleh membaca dan menulis Jawi?

“Formula PDS,” jawab Boon.

Apa itu PDS, saudara Boon?

Hah, hah, hah! Lelaki Cina itu ketawa besar.

“Paksa diri! Dera diri! Seksa diri!” jawab Boon.

Boon pun menulis lagi, kali ini ditujukan khas kepada Mastika : “Khas untuk Mastika – Selagi cubaan tidak dibuat dan selagi cabaran tidak dihadapi maka hilanglah semua kenangan, gagallah segala impian.”

Selepas berbual-bual di restoran berkenaan, Boon mengajak ke teksinya untuk menunjukkan dalam teksinya juga terdapat ayat-ayat yang ditulis dalam tulisan Jawi.

“Kadang-kadang ada orang Cina sendiri tak percaya saya bangsa Cina bila tengok ada tulisan Jawi dalam teksi. Mereka Tanya saya, awak Islam ke? Saya kata tidak.”

“Mereka tanya belajar Jawi nak masuk Islam ke? Saya kata tidak. Saya belajar sebab saya jatuh cinta dengan Jawi. Bila orang tahu saya pandai Jawi, mereka panggil saya Jawi Boon,” ceritanya lagi.

Semasa berada dalam teksinya sekali lagi Boon mengambil kertas kecil yang tersedia untuk latihannya menulis Jawi. Boon menulis ayat yang berbunyi : “Akar nibung meresap, akar mati dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu. – Jawi Boon, 17.11.2008”

Ayat ini menurut Boon menggambarkan perasaannya selepas akhbar Jawi ditutup pada 29 Januari 2006 setelah tiada lagi pembacanya. Boon sendiri begitu kecewa dan menghubungi Utusan untuk bertanyakan mengapa akhbar Jawi itu ditutup. Akhirnya Boon mendapat jawapan bahawa akhbar itu akan ditebitkan semula di bawah dana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Boon menunjukkan naskhah Utusan Melayu bertarikh 1 Mei 2006 sambil membaca tajuk besarnya : “ Melayu lupa warisan sendiri – Rais.”

Dia kemudian membaca ayat seterusnya : “Penutupan itu jelas menunjukkan orang Melayu tidak mempedulikan sedangkan hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri. Kerana tulisan Jawi telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama 600 tahun. Ada masyarakat Melayu berpeluk tubuh melihat tulisan Jawi dari pentas budaya orang Melayu sendiri…”

“Jika Jawi hilang di dunia, rugilah bangsa Melayu,” kata Boon. Boon sendiri sayangkan tulisan Cina yang menjadi lambang jati diri bangsanya. Dia juga sayangkan tulisan Jawi kerana pada surat beranaknya masih tertera tulisan Jawi.

Pada pandangan Boon, inilah satu-satunya tulisan yang paling unik dan berseni di dunia kerana kebanyakan tulisan di dunia bermula dari kiri ke kanan tetapi tulisan Jawi dari kanan ke kiri.

“Saya sendiri banyak dapat manfaatnya. Saya dapat aktifkan otak saya yang letih selepas memandu. Otak yang tidak aktif akan kecut dan lemah. Belajar Jawi dapat elak saya jadi nyanyuk dan pelupa!” beritahu Boon sambil tersenyum.

Ehem, ehem! Ada sesiapa yang rasa malu pada Boon Ka Kong?

7 comments:

  1. "saya tak malu,sbb saya reti bc jawi..asasnya dari sekolah rendah dulu shja......tapi org melayu yg tak reti baca jawi dan tak rasa nak belajar patut kena malu..."

    ReplyDelete
  2. Tahniah pada yang pandai baca, kalau tak pandai bagi saya tak lambat kalau baru nak mula belajar dari sekarang.

    ReplyDelete
  3. Bagusnya sebab dia berminat nak belajar jawi. :)

    ReplyDelete
  4. Berapa ramai hari ini orang yg nak menghargai warisan budaya kita, walaupun kita pandai membaca jawi ttp sy rasa kita memang patut sangat berasa malu kerana bangsa lain tahu menghargai apa yg sepatutnya orang melayu sendiri bangga dan mewarisi apa yg telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang kita dahulu.

    Seandainya ada kalangan kita yg maseh tahu betapa suatu rahsia terkandung di dalam bahasa jawi ini, sy yakin generasi muda tetap tidak berminat dengan tulisan jawi ini krn Agama Islam hari ini berkait rapat dengan tulisan jawi dan generasi kini sudah banyak mengabaikan nilai susila kehidupan beragama.

    ReplyDelete
  5. hm, nice. sy pun xmalu, sbb sy memg pandai bc jawi. n lg cantik lau pakcik ni pandai baca quran =)

    ReplyDelete
  6. Yup. Tulisan Jawilah yang menjadi tulsan rasmi nenek moyang zaman berzaman sebelum datangnya tulisan Rumi. Dan dengan tulisan ini masyarakat kita lebih dekat mengenali Islam, anak-anak kecil sudah pandai membaca alQuran, dan sedikit demi sedikit pemahaman Islam akan terserap masuk dalam kehidupan seharian.

    ReplyDelete
  7. salam...posting yg baik islam(melayu) patut malu dengan mr.boon ini..mari kita hidupkan kembali tulisan JAWI agar tidak hilang ditelan zaman..
    takkan melayu hilang didunia.

    ReplyDelete