[ Pejuang Pena ]

Tuesday, November 15, 2011

Perkahwinan dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.



(PENGERTIAN PERKAHWINAN DAN PERNIKAHAN)


Perkahwinan dari segi bahasa bererti pertemuan dan perikatan.Orang Arab berkata, “Dia mengahwinkan seseorang atau dia mengahwinkan kepadanya” bermaksud dia mengikatnya dengan sesuatu.Dan dinamakan sebagai 'kahwin' kepada mereka berdua (suami dan isteri) apabila mereka diikat dengan akad nikah.Firman Allah dalam kata-kataNya kepada Adam,surah Al-Baqarah ayat 35 :

اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
Maksudnya : “Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga.”
               
Pernikahan pula dari segi bahasa bererti percantuman dan penggabungan. Orang Arab berkata, “Pokok itu berkahwin apabila berhayun-hayun dan bercantum antara satu sama lain.”

Dan dinamakan akad antara lelaki dan perempuan dengan 'nikah' kerana mereka saling berkait dan bertemu antara satu sama lain.Al-Qunawi berkata, “Dinamakan nikah adalah bagi suami dan isteri yang berhubung antara satu sama lain secara syarak hinggalah mereka berdua tidak sehaluan.”

Pentakrifan daripada Undang-Undang Perilaku Manusia Jordan pula disebut dalam artikel kedua iaitu perkahwinan bererti akad di antara lelaki dan perempuan yang dihalalkan oleh syarak untuk membina keluarga dan mengembangkan keturunan.

Dan yang dimaksudkan dengan akad ialah persepakatan antara dua belah pihak dengan menepati serta mentaati kesemua perjanjian yang telah dipersetujui.

Pihak yang dimaksudkan ialah pasangan suami isteri sepertimana yang telah disebut dalam pentakrifan.Ada juga sebahagian ‘Ulamak berpendapat bahawa pihak yang dimaksudkan adalah suami dan wali kepada isteri.

Pentakrifan akad tersebut difahami atas dasar persepakatan dan komitmen yang diberi oleh kedua-dua belah pihak yang mendatangkan kesan seperti hal persetubuhan suami isteri,mahar dan nafqah.Adapun persepakatan yang tidak mendatangkan kesan tidaklah dinamakan akad seperti perjanjian,jual beli dan pertunangan.

Maksud perempuan yang boleh dijadikan isteri adalah perempuan yang dihalalkan di sisi syarak untuk berkahwin dengannya,maka tidaklah boleh ibu,anak perempuan dan saudara perempuan.

Takrif itu juga menjelaskan matlamat akad nikah iaitu membentuk keluarga dan melahirkan keturunan.

                                                                                
(KEPENTINGAN PERKAHWINAN)

Dalam pandangan Syari’at Islam perkahwinan mempunyai kepentingan yang besar dalam kehidupan seluruh umat dan individu.Antaranya :

i.Allah menjadikan perkahwinan sebagai satu proses untuk mengembangkan umat manusia.Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 49 :

وَمِن كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya : “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu menjadi orang yang ingat (Tuhan).”

ii.Daripada diri kita Allah ciptakan pasangan untuk saling bermesraan,dan penciptaan ini adalah dalil yang menunjukkan Allah itu Maha Pencipta sepertimana jelas firmanNya dalam surah Ar-Rum ayat 21 :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا
Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya adalah Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.”

iii.Dengan perkahwinan maka tesebarlah keturunan secara meluas,dan dengan cara inilah memelihara umat manusia daripada pupus.

iv.Dengan perkahwinan juga menyelamatkan seseorang individu daripada melakukan pebuatan keji,justeru melahirkan jiwa dan hati yang tenang.Rentetan itu perkahwinan telah menyahut seruan fitrah kerana jika seruan itu tidak dijawab menyebabkan kekacauan yang memudharatkan empunya diri.

v.Perkahwinan menjalinkan hubungan erat sesama masyarakat dan sesama ahli keluarga.Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 54 :

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاء بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا
Maksudnya : “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air lalu menjadikannya baka dan pertalian keluarga (persemendaan).”

(PENSYARI’ATAN PERKAHWINAN,HUKUM SERTA GAMBARANNYA)

1.PENSYARI’ATAN

Banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah yang diturunkan bagi menjelaskan tuntutan kahwin dan galakan terhadapnya seperti firman Allah dalam surah An-Nur ayat 32 :

وَأَنكِحُوا الأَيَامَى مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ
Maksudnya : “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu,dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu.”

Dan Firman Allah lagi dalam surah An-Nisak ayat tiga yang berbunyi :

فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء
Maksudnya : “Maka kahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan.”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج
 Maksudnya : “Wahai pemuda-pemuda sekalian,siapa yang mampu (zahir dan batin) di kalangan kamu,maka kahwinlah.”

Rasulullah juga melarang keras sesiapa yang mahu terus membujang dan menjauhi alam perkahwinan.Baginda memberitahu bahawa perkahwinan adalah sebahagian daripada sunnah,sesiapa yang membencinya maka dia bukanlah daripada golongan baginda.

Oleh kerana banyaknya dalil-dalil yang memerintah serta menggalakkan demikian,maka para ‘Ulamak bersepakat atas pensyari’atannya.Ibnu Qudamah berkata, “Hukum asal bagi syari’at perkahwinan adalah Al-Quran,As-Sunnah dan sepakat ‘Ulamak.”

2.HUKUM PERKAHWINAN

Sebahagian ‘Ulamak antaranya Az-Dzahiriah berpendapat bahawa perkahwinan adalah fardhu ‘ain,maka berdosalah sesiapa yang mengingkarinya.Dan sebahagian lagi berpendapat bahawa ia adalah fardhu kifayah sepertimana jihad dan solat jenazah.Jumhur ‘Ulamak pula cenderong kepada wajib bagi orang yang ditakuti dirinya akan berzina,sunat bagi orang yang mampu mengawal dirinya,dan haram bagi orang yang tiada kemampuan malah menzalimi isterinya.Dan yang paling baik adalah bagi orang yang tidak menyusahkan dirinya dengan perkahwinan itu malah lebih senang untuk beribadah.

Dan yang jelas bagi saya (penulis) tentang dalil-dalil tersebut adalah menunjukkan kepada sunat muakkad,manakala ayat Al-Quran tadi sebagai penerangan pensyari’atan yang lengkap untuk memberi keizinan bagi sesorang mukallaf itu untuk berkahwin.Pensyari’atan itu juga adalah untuk menolak pandangan bahawa membujang itu adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah,justeru mengangkat martabat perkahwinan.

Sesungguhnya perkahwinan bukanlah perkara keji bahkan suatu kelebihan,cukuplah naluri di lubuk hati manusia membuktikan keinginan seseorang untuk berkahwin kerana padanya terdapat perasaan yang sangat kuat yang mempertahankan diri sesorang untuk memenuhi kehendaknya.Tidak perlulah kepada perintah (dalil) tegas supaya sesorang itu dapat menerima seruan fitrah.Begitu juga perintah makan dan minum,memadai untuk memberitahu keharusan dan pensyari’atannya.Ketahuilah bahawa syari’at tidak akan mendatangkan dalil luaran dalam menuntut sesuatu perbuatan yang mana ia adalah fitrah dalam jiwa manusia seperti pernikahan,makan dan minum.Adapun perbuatan-perbuatan yang bukan dari kemahuan manusia,maka didatangkan dalil-dalil luaran untuk menegaskannya seperti jihad,zakat dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Apabila  sesorang itu sudah tiada naluri untuk berkahwin,ataupun masih ada tetapi kabur disebabkan penyakit seperti angkuh,maka ketika itu orang-orang seperti ini diwajibkan kahwin baginya.Hujah yang mengatakan ditakuti berzina tidak boleh dipakai lagi kerana sememangnya maksud perkahwinan itu untuk mendapatkan anak dan mengembangkan generasi,dan perkara ini tidak akan wujud bagi sesiapa yang tiada syahwat.

Tidak bolehlah mengharamkan perkahwinan bagi golongon tadi kerana matlamat perkahwinan yang lain boleh tercapai,antaranya sosial antara suami isteri,tanggungjawab menunaikan nafqah kepada isteri,persiapan rumah dan menyediakan makanan.Walau bagaimanapun hendaklah pihak yang mempunyai aib atau kecacatan daripada melakukan perhubungan tidak merahsiakannya,jika pihak kedua meredhainya tidaklah dikira sebagai satu kesalahan.

3.GAMBARAN PERKAHWINAN

Sudah menjadi kebiasaan bagi para muslimin melaksanakan akad nikah dengan acara keramaian dan kemeriahan.Walau apa cara sekalipun kita hendaklah berpegang pada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

Umat Islam tidak mengadakan sambutan pada akad jual beli dan tidak pula pada akad sewa seperti mereka membuat sambutan pada akad nikah.Semua akad-akad ini berbeza dengan akad nikah yang mana memerlukan ijab dan qabul dan saksi,kerana perkahwinan adalah sebuah hadiah besar dalam Islam yang harus melepasi suatu tahap pertengahan.

Ketika akad nikah dilangsungkan kaum kerabat,jiran-jiran dan rakan-rakan dijemput hadir untuk meraikannya.Selepas itu ada pula khutbah khas yang diajarkan oleh Rasulullah,lantaran itu wujudlah khutbah Juma’at dan khutbah Hari Raya.Khutbah itu dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah dan selawat ke atas Nabi,kemudian dibacakan ayat suci kalamullah yang mengharapkan ketaqwaan.Selepas itu barulah diijabkabulkan dengan kehadiran saksi.Rasulullah mengarahkan supaya nikah tersebut diisytiharkan dengan pukulan gendang dan kenduri-kendara,doakanlah juga untuk pasangan pengantin itu keberkatan dan kebahagiaan.

Walaupun ada perkahwinan yang tidak disambut dalam bentuk adat rasmi seperti tadi (memadai dengan ijab dan kabul serta disaksikan dua orang saksi sahaja) maka perkahwinan itu tetap dikira sah.

Syari’at tidak mensyaratkan akad nikah semestinya dilakukan di masjid sepertimana tidak disyaratkan orang ‘alim untuk mengetuai akad nikah,begitu juga pada pendaftaran khas (bertulis).

Sesungguhnya perkahwinan dalam Islam dilaksanakan atas peranan dua belah pihak,kemudian disempurnakan dengan kerelaan mereka yang menepati syari’at Allah.Kerelaan yang dimaksudkan  adalah kemampuan untuk meneruskan dan kemampuan untuk memutuskan iaitu sang suami mempunyai kemampuan untuk menceraikan,manakala isteri berkuasa untuk menuntut cerai.Qadhi pula berhak untuk memisahkan antara mereka disebabkan kes-kes tertentu.

Segala undang-undang yang ditetapkan oleh negara Islam hendaklah dipatuhi seperti kewajiban mendokumentasikan akad nikah dengan penulisan.Akad tersebut di bawah tanggungjawab Qadhi atau rujukan terus kepada pejabat pengurusan perkahwinan.Negara Islam mewajibkan demikian kerana berlakunya pertelingkahan dan perselisihan.Sekiranya akad nikah berlangsung dengan sempurna,tidaklah dikira batal di sisi Allah tetapi pihak berkenaan dikenakan denda oleh kerajaan.

Inilah gambaran perkahwinan dalam Syari’at Islam.Adapun perkahwinan di sisi orang-orang Nasrani,tidak sempurna perkahwinan kecuali dengan sembahyang Iklil yang dikendalikan oleh paderi sebagai melepasi upacara gereja.Perempuan yang halal untuk lelaki atau lelaki yang halal untuk perempuan tiadalah akad baginya kerana pada pendapat mereka memadai hanya dengan sembahyang yang diketuai oleh paderi.

Pelaksanaan di dalam gereja tersebut menjadikan perkahwinan itu tersembunyi yang mana tidak membenarkan pasangan pengantin untuk berpisah (bercerai) sama sekali.Mereka menasabkan secara langsung keturunan mereka kepada Nabi Isa,prinsip mereka adalah, “Setiap apa yang telah Allah hubungkan maka tidak bolehlah manusia pisahkannya.” Peraturan gereja ini tidak diiktiraf sebagai perkahwinan yang bertamadun seperti perkawinan yang telah masyhur pada hari ini.

Akad nikah yang diajar oleh Syari’at Islam adalah sebagai membandingkan dengan umat-umat lain.Ia sebagai jalan penyelesaian bagi dua belah pihak yang bertentangan,Profesor As-Suba’i rahimahullah mengkelasifikasikan kepada berikut ; orang-orang kristian dan golongan penyembah berhala mengatakan akad perkahwinan adalah berlandaskan agama,tidak tercapai akad itu melainkan dengan kelolaan agamawan ataupun melalui perantaraan mereka.Jika akad tersebut membatasi prasyarat berikut maka ia tidak diiktiraf di sisi agama.

Sedang puak komunis dan undang-undang barat moden mengatakan akad perkahwinan adalah berlandaskan tamadun murni,tiada kaitan dengan agama.Mereka membenarkan perkahwinan antara orang Islam dengan kafir dan Islam dengan Buddha atau Ateis.Dibolehkan juga perkahwinan sesama saudara seperti mengahwini saudara perempuan susuan atau ibu susuan.Agama tidaklah menjadi sempadan bagi mereka.Dan tiada kesalahan untuk mendaftar di gereja setelah mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara.

*Catatan Sang Pemikir : Berikut adalah terjemahan tulisan Dr. Umar Sulayman al-Ashqar (boleh dapatkan maklumat beliau di wikipedia).

No comments:

Post a Comment